Perogol dalam rumah! Ayah rogol anak, abang rogol adik, malah ada datuk yang sudahpun berumur 80 tahun merogol cucu.

Membaca berita sebegini di media massa buat hati kaum wanita cukup beremosi. Jijik!

Golongan lelaki yang sepatutnya jadi pelindung ini hilang akal sanggup meratah darah daging sendiri kerana gagal menahan nafsu serakah.

Namun masalahnya inilah jenayah yang semakin banyak terjadi hari ini dan akan mengancam institusi kekeluargaan jika tidak ditangani.

Ibu dan ahli keluarga sebenarnya cukup berperanan dalam mencegah jenayah paling keji ini. Salah satunya adalah dengan cepat mengenal pasti ciri-ciri perogol dalam rumah ini.

Menurut penganalis jenayah Kamal Affendi Hashim, ciri-ciri ini boleh dikesan melalui tahap sebelum seseorang penjenayah seksual melakukan perbuatan terkutuk itu.

Kenal pasti percubaan-percubaan

Beliau yang ditemui Vanillakismis ketika sesi Wacana Sinar ke 51 bertajuk ‘Perogol Dalam Rumah’ baru-baru ini berkata tiga tahap tersebut adalah tahap persediaan mental, tahap persiapan dan ketiga, tahap percubaan oleh penjenayah seksual.

Jelasnya ibu atau ahli keluarga boleh mengesan perbuatan keji ini terutama pada tahap ketiga.

“Sebelum melakukan perbuatan keji merogol, penjenayah seksual ini akan melalui tiga tahap ini.

“Pertama persediaan dalam mental, kedua persiapan iaitu apa perlu mereka lakukan contoh memberi hadiah kepada mangsa dan sebagainya.

“Peringkat ketiga adalah percubaan atau attempt sebelum lakukan jenayah. Ada yang dilakukan secara perlahan-lahan.

“Misalnya masa anak tengah mandi, macam tak sengaja bukak pintu bilik air, mandi dengan anak, peluk anak waktu tidur dan sebagainya.

“Ahli keluarga boleh nampak perkara ini sebenarnya tapi bagi si anak atau mangsa ia mungkin dianggap sebagai perbuatan kerana sayang,”jelas Kamal.

Tegasnya sekiranya ibu atau ahli keluarga melihat perkara ini berlaku berterusan atau nampak berlaku kejanggalan dalam perbuatan bermakna ada asas untuk mempercayai jenayah itu sedang dalam proses berlaku.

“Ketika ini ibu atau ahli keluarga kena main peranan. Penting sangat untuk mempercayai anak. Ibu harus percaya kebolehan anak untuk mentafsir sesuatu perkara.

“Ada sesetengah ahli keluarga tak percaya contohnya bila anak kata datuk pegang bahagian tertentu tubuh mereka.

“Walau pun percubaan itu sedikit tapi ibu kena percaya. Kena halang kejadian buruk dari berlaku.

“Sekiranya ibu sendiri tidak percaya pada siapa lagi anak nak mengadu. Boleh jadi anak akan lari dari rumah dan mencetus masalah lain lagi,”terang Kamal lagi.

Apa perlu anak buat

Dalam pada itu pesannya, sekiranya anak atau mangsa perogol dalam rumah tidak tahu ke mana hendak dituju, mereka boleh menghubungi Talian Kasih 15999 kelolaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk memohon bantuan. Ataupun mangsa boleh terus saja ke hospital atau pun membuat laporan di balai polis.

 

Tinggalkan Komen

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Kumpulan Karangkraf

error: