Kisah ini VK ambil daripada Succes Story dari laman web kevinzahri.com. Membaca kisah mereka yang berjaya menurunkan berat badan ini memang memberi inspirasi terutama bagi yang sedang dalam misi menguruskan badan.

Lebih menarik kisah mereka adalah realiti dan mereka tunjukkan caranya sekali termasuk pemakanan dan juga senaman yang diamalkan.
Salah satu yang mendapat  perhatian VK adalah wanita bernama Nur Farihan Idris. Dari berat 100 kg dia turun sebanyak 42 kg dalam tempoh setahun. Purata dia menurunkan 3.5 kg sebulan.  Tidak 'skip' makan sebaliknya makan lima kali sehari, dia kini gembira dengan berat 58 kg. Bagaimana pun menurut Nur Farihan, dia menjaga pemakanan dan mengira kalori yang diambil. Ia mesti tidak lebih daripada jumlah kalori yang ditetapkan dalam sehari.  VK kongsi kisahnya yang dipetik dari kevinzahri.com . Panjang lebar tapi berbaloi membacanya.

“Seperti orang lain (yang mempunyai masalah obesiti) saya juga punya keinginan untuk menurunkan berat badan. Cita-cita untuk kurus sudah lama ada, sejak dibangku sekolah lagi. Saya sering berpendapat, mustahil untuk kurus kerana memang sejak kecil saya berbadan bulat. Setiap kali balik kampung saya akan ditegur dan diperli orang tentang saiz badan saya. Perasaan sedih dan marah tu pastilah ada. Tapi apa boleh buat, saya telankan saja. Berat badan saya makin bertambah setiap tahun hingga mencecah ke angka 100kg lebih. Baju dan seluar bukan senang nak cari, kalau ada pun tak banyak pilihan.
Tahun 2009 saya pernah cuba untuk kurus. Ibu bapa saya yang menyuruh saya bersenam kerap. Saya pergi ke gim tanpa ada ilmu langsung tentang bagaimana cara untuk bersenam dan berdiet dengan betul. Bayangkan, siang saya ke gim, malam pula saya makan dengan sangat banyak kononnya lemak dibadan dah disingkir sewaktu berada di gim.

Keputusannya?
Memang saya tetap gemuk dan berat badan saya tak turun. Waktu itu sangat kecewa dan saya rasa usaha saya langsung tak membuahkan hasil (walhal cara saya yang salah). Awal tahun 2013, sekali lagi hati saya terdetik untuk kurus apabila secara tak sengaja saya terbaca tentang perkongsian kisah kejayaan menurunkan berat badan (di Facebook dan website Kevin Zahri).
Saya sangat teruja dan gembira dengan perkongsian mereka. Kadang kala tertanya juga, betul ke apa yang saya baca, seperti tak percaya ada orang yang berjaya turun berkilo-kilo hanya dengan menjaga makan dan bersenam. Jadi bermula dari situ setiap hari saya memperbanyakkan bahan bacaan tentang cara untuk menurunkan berat badan dan cara untuk menjaga serta memilih pemakanan harian.

Amalan gaya hidup sebelum berubah?
Fast food adalah antara tempat kegemaran saya. Pantang ada duit, saya akan laburkan pada makanan. Lebih-lebih lagi waktu di universiti dulu, makan memang salah satu dari hobi saya. Bayangkan setiap hari saya akan makan 2 bungkus nasi lemak berlauk ayam. Air manis tu semestinya perlu dan saya sangat gemar makan coklat. Sayur-sayuran lansung tidak dipandang.

Menu Diet yang Farihan amalkan?
Seminggu sekali akan ada “cheat day” sebagai ‘reward’. Saya makan sumber-sumber semula jadi seperti ayam, ikan, buah, sayur-sayuran yg dimasak sendiri. saya lebih selesa masak sendiri di rumah berbanding makan diluar kerana kita boleh mengawal sukatan garam, gula, minyak dan sebagainya. Boleh kukus, grill, bakar atau rebus.
7 am: Sarapan saya makan roti wholegrain bersama telur sebiji serta teh hijau.
10 am: Makan epal sebiji.
12 pm: Tengah hari saya makan nasi kurang segenggam, sayuran, ikan atau ayam bakar seketul.
3 pm: Kunyah kekacang sebab kacag mengandungi lemak baik (lebih kurang 10-12 biji)
6 pm: Makan malam pula bergantung pada rutin saya. Kalau hari tu saya bersenam di gim saya akan minum susu bersama oat atau makan ayam /ikan brsama sayur.
Seminggu sekali akan ada “cheat day” sebagai ‘reward’ (saya suka manisan, jadi saya akan reward diri saya dengan coklat) tetapi tidaklah makan mengikut nafsu, masih dalam kawalan)

http://support.karangkraf.com/editorial/vk/061015/farihan%20yg%20ini%20new.jpg

Senaman, macam-macam!
Saya akan melakukan senaman seperti jogging, swimming, cycling, skipping, walking, tak kisah apa-apa pun setiap hari kecuali hujung minggu kerana waktu itu adalah hari untuk badan saya berehat. Rutin senaman saya di gim pula ialah gabungan antara kardio dan weight lifting (angkat berat). Saya akui senaman angkat berat amat membantu dalam menurunan berat badan saya dan juga dapat mengelakkan kulit di bahagiaan tertentu menjadi lembik (menggeleber) setelah penurunan berat badan (selalunya dialami oleh mereka yang terlampau gemuk seperti saya).

Tanpa Produk Kurus
Saya tidak mengambil sebarang produk kurus kerana kurang percaya. Tambahan pula, bila saya lihat kejayaan orang lain (kurus tanpa pengambilan pil atau produk kurus), saya rasa yakin yang saya juga mampu lakukan. Bagi saya, walaupun kita makan pil kurus kita masih perlu menjaga pemakanan dan juga bersenam. Maka saya pilih untuk melabur duit saya pergi ke gim daripada membeli produk/pil kurus.

Tip Mudah Untuk Kurus?

  1. Kurangkan atau kalau boleh elakkan gula, garam, minyak, makanan bersodium tinggi, makanan diproses (daging burger, nugget, kentang goreng dan lain-lain) serta makanan segera.
  2. Makan sumber-sumber semula jadi. Seperti ayam, ikan, buah-buahan dan sayur-sayuran.
  3. Makan kerap tetapi dalam jumlah yang sedikit. Kurangkan pengambilan karbhidrat. Pastikan nasi yang diambil kurang segenggam. Lebihkan sayur-sayuran.
  4. Lupakan terus air bergas/berkarbonat. Banyakkan minum air kosong atau green tea.

Motivasi dan nasihat

  • Paling penting, 80% kurus adalah dari penjagaan makanan, 20% senaman akan mmbantu mmpercepatkan proses kurus. Maknanya andai kita bersenam setiap hari pun tapi pemakanan harian tidak dijaga/dikawal sememangnya agak susah sedikit.
  • Jangan terlalu memaksa badan untuk cepat kurus. Ini akan menyebabkan badan cepat berasa bosan dan stres. Apabila stres, proses penurunan berat akan terganggu.
  • Kena ingat, kita gemuk bertahun-tahun takkan nak kurus dalam masa seminggu. Sabar.
  • Untuk kekal bersemangat, banyakkan membaca kisah kejayaan orang yang telah berjaya.

Semoga kisah Farihan memberi inspirasi pada mereka yang sedang gigih menguruskan badan.
 

KOMEN
Artikel Berkaitan