Tak dapat dinafikan bila salah memilih pembersih wajah, masalah kulit seperti jerawat boleh jadi makin serius. Atas sebab ini jugalah ada wanita yang mengalami masalah kulit ragu-ragu menggunakan sabun pembersih wajah yang ada di pasaran.

Namun masalahnya wajah tetap perlu dibersihkan setiap hari. Jadi apa alternatifnya? Jangan susah hati, pergi dapur dan cari empat bahan ini kerana ia mampu bertindak membersihkan wajah tanpa kesan sampingan.

1. Minyak zaitun
Kalau diperhatikan, banyak produk pembersih wajah menggunakan bahan asas minyak. Tapi paling selamat sudah tentu menggunakan yang semula jadi seperti minyak zaitun atau minyak kelapa. Minyak ini berkesan untuk menanggalkan kotoran pada kulit termasuklah mekap, dari maskara yang paling gelap hinggalah gincu.

2. Susu
Mungkin bagi setengah kita minum susu boleh menyebabkan masalah jerawat namun menggunakannya dengan cara dioles pada wajah mampu meredakan radang akibat jerawat.

Susu juga boleh digunakan untuk membersihkan mekap malah harganya mungkin jauh lebih murah dari pembersih yang anda beli. Salah satu caranya adalah dengan mengambil satu sudu makan minyak almond dan masukkan dalam semangkuk susu. Gosok campuran ini ke seluruh wajah, kemudian bersihkan.

3. Timun
Ada banyak produk kecantikan yang menggunakan timun untuk membantu menghapus kotoran wajah. Ini kerana timun memiliki sifat anti-inflamasi yang menenangkan iritasi dan jerawat pada wajah.

Bagi membersihkan wajah menggunakan sayuran ini, ambil sebiji timun lalu kisar hingga halus. Gosok pada kulit wajah untuk membersihkan kotoran. Anda juga boleh menambah sedikit susu atau minyak zaitun ke dalam campuran tersebut.

4. Yogurt

http://support.karangkraf.com/editorial/vk/TAHUN%202016/Feb/29/Yogurt-For-Skin-Face.jpg

Yogurt bukan saja boleh membersihkan kotoran wajah, malah boleh meredakan kulit wajah yang terbakar akibat sinar matahari. Caranya, ambil kapas bersih, celupkan ke dalam yogurt kosong lalu gosok ke seluruh wajah dalam gerakan bulat. Kemudian bilas hingga bersih.

Empat bahan yang disenaraikan ini mudah saja diperoleh malah murah. Tak perlu risau juga tentang kesan sampingan kerana 100 peratus semula jadi.

Sumber Medical Daily

Artikel Berkaitan
Anda Mungkin SUka
KOMEN