Keghairahan wanita di Kelantan untuk nampak cantik dengan cepat tanpa tahu kesan dan akibat menggunakan kosmetik dan ubat tidak berdaftar melalui belian dalam talian (online) semakin
berleluasa dan perkara itu perlu diberi perhatian serius.

Terbaru, ada di antara mereka yang membeli ubat suntikan vitamin C yang tidak mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan sanggup mendapatkan perkhidmatan untuk suntikan di klinik swasta yang sebelum ini pernah diserbu.

Pengarah Kesihatan Negeri, Datuk Ahmad Razin Ahmad Maher berkata, atas intipan dan risikan selama dua minggu Pegawai Penguatkuasaan Farmasi cawangan negeri, berjaya mengesan lapan syarikat yang aktif menjual ubat-ubatan tidak berdaftar di beberapa daerah termasuk Tumpat, Pasir Mas dan Kuala Krai.

“Pemeriksaan ke atas premis terbabit kita telah merampas 106 jenis ubat tidak berdaftar dan 20 produk kosmetik tidak bernotifikasi bernilai RM263,881.

“Ini merupakan rampasan terbesar tahun ini dan kita harap dengan rampasan ini dapat memberi kesedaran kepada peniaga tentang bahaya kesan ubat dan kosmetik tidak berdaftar dan tiada kelulusan KKM,” katanya kepada sidang media di sini semalam.

http://support.karangkraf.com/editorial/vk/TAHUN%202016/Jun/10/new1.jpg

Ahmad Razin (dua kanan) menunjukkan antara ubat dan kosmetik yang tidak berdaftar dan tidak mendapat kelulusan KKM yang berjaya dirampas dalam serbuan baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Pengarah Kesihatan negeri (Farmasi), Shaik Nurudin bin Shaik Shahrudin. Ahmad Razin berkata, dalam tempoh terbabit, pihaknya juga turut membuat penyaringan di Internet yang memfokuskan kepada pengiklan dan pemilik produk di negeri ini.

“Hasil pemantauan itu kita mengesan 33 laman web dan media sosial seperti Facebook dan Instagram yang mengiklankan produk mereka tanpa kelulusan daripada Lembaga Iklan Ubat, Jabatan Kesihatan.

“Selain itu, mereka juga melakukan kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 dan Akta Ubat (Iklan dan Penjualan) 1965,” katanya.

Ahmad Razin berkata, pihaknya telah menghantar laporan semua laman web tersebut kepada Bahagian Perkhidmatan Farmasi, Kementerian Kesihatan Malaysia untuk tindakan lanjut seperti menyekat dan menutupnya.

“Penggunaan ubat-ubatan dan produk kosmetik tidak sah ini dikhuatiri memudaratkan pengguna sehingga mengakibatkan kegagalan organ seperti hati dan buah pinggang.

“Ada antara produk ini mengandungi dadah yang terkawal dan pengambilannya perlu pengawasan pakar,” katanya.

Pihaknya turut mengesan ada klinik swasta agar tidak terlibat dalam memberikan suntikan bahan terlarang itu kepada pengguna.

“Kita telah mengambil tindakan menggantung operasi selama enam bulan sebuah klinik swasta di Kota Bharu yang menjual ubatan psikotropik berlebihan.

“Malah klinik terbabit turut mengemukakan nombor kad pengenalan palsu untuk tujuan tersebut,” katanya.


Sumber:http://www.sinarharian.com.my

 

 

Anda Mungkin SUka
KOMEN