Tahun 2017 adalah tahun di mana ibu bapa terbeban dengan peningkatan kos perbelanjaan persekolahan anak-anak.

Timbalan Pengerusi Biro Kebajikan Kemanusiaan dan Bencana Alam Amanah, Mariam Abdul Rashid berkata, keperitan itu lebih dirasai oleh ibu bapa yang berpendapatan rendah dan pada tahap miskin yang mempunyai ramai tanggungan anak bersekolah.

“Kenaikan kos adalah dari pakaian, beg, kasut sekolah sehinggalah kepada kenaikan yuran dan tambang bas sekolah.

“Ini adalah kerana kesan daripada kejatuhan ekonomi negara dan kenaikan kos kehidupan pada tahun ini dalam masa yang sama cukai GST yang dikenakan di samping kenaikan harga barang-barang keperluan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, ada juga ibu bapa yang terpaksa membuat pinjaman peribadi bagi menampung kehidupan dan pembelajaran anak-anak.

Demikian laporan yang dipetik daripada akhbar Sinar Harian semalam.  Perkara ini memang tidak dinafikan lagi. Rata-rata ibu bapa yang mempunyai anak bersekolah mengeluh perkara yang sama seminggu dua ini.

Jika sudah punya seorang anak yang bersekolah pun sudah terasa banyak belanja yang harus dikeluarkan apatah lagi jika punya empat atau lima orang anak.

Lebih menyedihkan perbelanjaan yang naik mendadak ini tidak selari dengan kenaikan gaji yang tidaklah sebanyak mana. Malah ada juga yang langsung tidak mendapat kenaikan gaji.

Justeru antara solusi disarankan untuk mengelakkan masalah kewangan setiap kali menjelang tahun baru ibu bapa disaran membuat tabungan khusus untuk tujuan ini setiap bulan.

Membuat pinjaman peribadi seharusnya dielakkan kerana hanya menambah hutang yang seterusnya menjadi penyebab masalah kewangan pada masa akan datang.  

Sumber Sinar Harian Online

KOMEN