Kita mungkin pernah membawa anak menziarah saudara atau kenalan yang sakit di hospital. Ia memang amalan yang dituntut namun membawa anak kecil ke persekitaran hospital sebenarnya punya risiko tersendiri.

Melalui perkongsian daripada Dr Zubaidi Hj Ahmad ini kita boleh nilaikan sendiri kewajaran untuk membawa anak yang masih kecil terutamanya menziarah pesakit di hospital.

Baru-baru ini seorang rakan membawa anaknya berjumpa saya. Sudah masuk kali ketiga beliau pergi ke klinik mendapatkan rawatan bagi luka di lutut anaknya.

Saya cuba bertanya bagaimana terjadinya luka. Seingat beliau, setelah balik dari melawat bapanya yang terlantar di hospital, anaknya ada mengadu ada luka lelasan (abrasion wound) pada lutut di kirinya akibat terjatuh di lantai wad. Dia telah menyapukan larutan ubat kuning (flavin) ke luka anaknya.

Setelah dua hari lukanya bertambah teruk dan mula mengeluarkan nanah.Dia segera mendapat rawatan doktor dari klinik berhampiran. Setelah tiga hari makan antibiotik yang diberikan, lukanya tetap tidak kurang.

Kemudian dia pergi semula ke klinik tersebut. Setelah dicuci lukanya,doktor memberikan antibiotik yang ‘lebih mahal’, seharusnya lebih baik namun anaknya mula mendapat demam.

Dijangkiti kuman paling agresif

Saya memeriksa luka pada lutut anak beliau. Bila saya buka balutan di lututnya, saya mendapati luka anak itu dalam keadaan yang amat teruk. Lukanya membusuk. Ini menyebabkan saya mula berfikir tentang kuman yang amat kuat dan resistant pada antibiotik.

Ianya bengkak,kemerah-merahan di sekitarnya, dan amat sakit apabila disentuh. Saya segera mengambil swab contoh nanah pada lukanya untuk dihantarkan ke makmal. Tujuan penghantaran swab ini untuk dianalisa jenis kuman bakteria yang menjangkiti luka pada lutut anak kawan saya ini dan antibiotik apa yang sensitif untuk membunuhnya.

Dengan penuh kepayahan akibat si anak yang tidak bekerjasama dan menangis trauma ketakutan, saya mendapati luka itu amat dalam sehingga menampakkan lapisan otot dan tulang tibia dan patella.

Setelah membalut luka saya mencadangkan agar dibawakan segera ke hospital untuk mendapat rawatan lanjut. Ini berdasarkan anaknya mula mendapat demam, keadaan lukanya amat teruk dan saya merasakan tanpa rawatan yang baik, luka anaknya akan melarat.

Saya faham rakan saya ini seorang yang amat sibuk dan isterinya juga berkerjaya. Tiga orang anak-anaknya masih lagi kecil. Mujurlah ada seorang pembantu rumah. Jika anaknya itu ditahan di hospital, tentu kehidupan mereka akan menjadi kelam kabut.

Namun setelah dipujuk , akhirnya beliau setuju. Itu pun setelah saya memberitahu risiko yang bakal menanti. Jika luka semakin teruk, maka ianya mengambil masa yang lebih lama untuk sembuh.

Tiga hari selepas itu, saya mendapat telefon dari microbiologist di makmal bahawa kebanyakan antibiotik tidak berkesan untuk membunuh kuman pada luka di lutut anak kawan saya. Setelah dua hari, saya menerima satu fax dari makmal yang sama, bahawa kuman yang terdapat pada lukanya disahkan sebagai /methicillin-resistant Staphylococcus aureus.

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.596143.1481168284!/image/image.png

Saya amat terkejut membaca laporan itu kerana setahu saya kuman yang sangat aggresif ini jarang berada di persekitaran. Ia hanya terdapat di hospital. Apakah anak kawan saya mendapat kuman itu dari hospital ketika ibu bapanya melawat datuknya yang sedang sakit?

Saya cuba menyusun logika urutan peristiwa. Kanak-kanak itu mungkin berlari di sekitar wad dan terjatuh. Ia mengalami luka kecil dilutut. Rakan saya tidak menyedari hal ini. Apabila pulang ke rumah, kuman telah mula memasuki tisu yang lebih dalam.

Rakan saya hanya menyapukan ubat sapu flavin yang bertindak sebagai antiseptik. Malangnya ia tidak membantu membunuh kuman. Selepas itu dia membawa ke klinik dan itulah seterusnya yang berlaku.

'Cross infection' jangkitan kuman berlaku di hospital

Situasi sebegini sering dielakkan daripada berlaku ketika berada di hospital. Ia dinamakan 'cross infection'. Bukan setakat pelawat, tetapi semua staf hospital yang bekerja, termasuk juga doktor dan jururawat adalah golongan yang berisiko untuk mendapat jangkitan kuman secara tidak sengaja ini.

Malah pesakit juga menghadapi risiko yang sama. Katakan dia dimasukkan ke hospital akibat masalah dalam perut dan perlukan pembedahan, tetapi setelah 10 hari di hospital, dia mengalami pneumonia pula akibat jangkitan kuman dari pesakit lain.

'Cross infection' adalah perpindahan kuman bakteria dari seseorang ke seorang yang lain, atau bahagian tubuh seseorang ke bahagian tubuh yang lain contohnya perpindahan kuman dari tangan ke mata.

Ia berlaku di mana-mana institusi kesihatan dan ianya melibatkan kuman-kuman bakteria yang merbahaya ialah Methicillin-resistant, Staphylococcus aureus, Pseudomonas aeruginosa, Clostridium difficile.

Ia boleh berlaku pada sistem ventilasi, atau peralatan yang dianggap bersih seperti cadar tilam. Ini bermakna sistem ventilasi menyalurkan udara yang dijangkiti kuman, antara kuman yang ditakuti ialah Legionella pneumophila yang menyerang paru-paru staf hospital, pesakit atau pelawat yang berada di kawasan itu. Ia adalah kuman yang sukar dibunuh dengan antibiotik.

Selain dari bakteria, 'cross infections' juga boleh disebabkan oleh virus, fungus, atau parasit yang mungkin memang sedia ada pada anggota pesakit atau datang dari persekitaran hospital yang tidak bersih, kakitangan hospital, pelawat atau pesakit yang lain.

Tidak hairanlah jika seseorang yang menjalani pembedahan, mengalami jangkitan kuman di tempat pembedahannya akibat jangkitan kuman ini. Mulanya ia akan menunjukkan kawasan yang merah, hangat dan sakit. Tidak lama kemudian ia menghasilkan nanah.

Jika kuman memasuki saluran darah, ia menyebabkan jangkitan kuman ke seluruh badan. Ia menyebabkan tekanan darah rendah, demam yang kuat, dan kadang kala kekeliruan minda. Pemeriksaan darah akan menunjukkan pesakit mengalami leucocytosis, iaitu sel darah putih yang banyak dalam tubuh.

Selalunya jangkitan kuman di hospital mudah berlaku pada orang yang mengalami tekanan mental, kurang zat makanan dan mempunyai masalah kesihatan seperti diabetes atau penyakit kanser. Kanak-kanak juga antara golongan yang mudah dijangkiti.

Nasihat saya bagi mereka yang ingin melawat pesakit di hospital, pastikan saudara sihat, tidak tinggal terlalu lama di sana atau membawa anak-anak yang belum mengerti apa-apa. Cukuplah menyatakan keprihatinan kita pada pesakit, memberikannya semangat dan motivasi dan mendoakannya agar cepat sembuh.

Sumber  http://drzubaidi.com

http://www.facebook.com/drzubaidi

 

KOMEN