Tuhan menguji hamba-Nya dengan pelbagai cara. Ada dengan kemiskinan, penyakit, kehilangan dan sebagainya.

Pasangan ini pula diduga dengan rezeki cahaya mata yang belum kunjung tiba selepas setahun melangsungkan perkahwinan.

Bagaimana pun si isteri tak pernah putus asa malah sentiasa berikhtiar dengan pelbagai cara dan kaedah.

Satu ketika harapan isteri untuk hamil semakin berbunga mekar selepas melakukan urutan kesuburan. Akan tetapi ia punah sekelip mata gara-gara sikap pemandu yang cuai menyebabkan mereka terbabit dalam kemalangan hingga isteri mengalami kecederaan akibat usus terkoyak

Suami, Ahmad Saiduddin Amran berkongsi perasaannya tentang apa yang berlaku pada isterinya Aina Nadrah Rosli. Doakan semoga isterinya sembuh dan tabah berdepan dugaan ini.

"Sakitnya, bang. Macam mana Sayang nak pregnant ni, bang. Kenapa jadi pada kita, bang?" Begitulah rintihan yang pertama terucap dari mulut isteri sejurus selepas kenderaan kami menghentam Kia Spectra silver yang secara tiba-tiba dari arah bertentangan yang masuk melintang ke lorong kami yang sebenarnya dapat dielakkan dengan sikap pemanduan yang betul.

"Buka seat-belt. Kita keluar dulu," ujar saya yang turut menahan pedih kesakitan akibat momentum dari renggutan seat-belt pada abdomen semasa hentaman.

Kelihatan orang ramai yang melihat kejadian tersebut sudah mula mengerumuni kenderaan yang terlibat. Kami berdua segera dipapah ke tepi jalan.

"Apa jadi kepada driver kereta tu?" saya bertanya kepada salah seorang saksi kejadian yang membantu kami keluar dari kenderaan.
"Tak sedar. Kepala luka."

Hati saya sedikit kecewa mendengarkan jawapannya. "Kenapa tidak mati saja?" getus hati saya.  Atau sekurang-kurangnya patah riuk.

Tidak sahaja tabiat pemanduannya membahayakan nyawa orang lain. Lebih dari itu, dia telah mencederakan bukan sahaja batang tubuh, sekaligus harapan isteri saya.

Baru buat urutan untuk kesuburan

Beberapa minit sebelum kejadian, di dalam kereta, isteri dengan penuh semangat dan harapan berkongsi saranan untuk bertungku perut sesampainya nanti kami di Semenyih.

Ketika itu kami dalam perjalanan untuk pulang dari Parit Buntar, kampung bapa mentua saya, menuju ke tol Taiping (U). Katanya, saranan itu dia peroleh dari Mak Su-nya yang juga baru saja memberikan urutan bagi kesuburan pada pagi hari sebelum kejadian.

Setelah hampir setahun melangsungkan pernikahan dan masih belum wujud tanda-tanda dikurniakan zuriat, kami mengambil keputusan mencari ikhtiar supaya isteri mudah hamil.

Sebutlah apa saja kaedah yang kami tidak pernah ikhtiarkan dalam tempoh setahun ini. Dari kaedah tradisional, 'sunnah', produk komersial terlajak laris, sehinggalah ke perubatan moden, hampir kesemuanya pernah kami ikhtiarkan.

Setakat ini, belum satu pun yang berjaya. Bukanlah sedikit yang telah kami belanjakan untuk tujuan itu. Sejujurnya, saya separuh putus harapan. "Kalau ada rezeki, adalah. Kalau tiada, nak buat macam mana," itulah yang sentiasa saya ujarkan kepada diri.

Saya mula mengambil semula kafein yang pernah saya hindarkan kira-kira selama dua bulan semasa kami mencuba kehamilan. Saya turut mula culas mengambil makanan tambahan bagi kesuburan selagi tidak diperingatkan isteri.

Dia mahu hamil sebelum Raya Haji

Namun, isteri tiada nampak tanda berputus asa. Gagal satu ikhtiar, gigih dia mencari ikhtiar yang lain. Pada asalnya, sebelum mendapat saranan bertungku, selepas raya isteri bercadang untuk pergi berurut dengan tukang urut kesuburan wanita di Kuala Selangor.

Sebelum Raya Haji, katanya dia mahu hamil, kalau diizinkan Tuhan. Kalau tidak, manalah mahu letak air mukanya di hadapan sepupu-sepapat yang antaranya telah menimang cahaya mata dan sebahagian lagi hanya menunggu masa, walaupun tarikh pernikahan mereka berlangsung selepas kami.

Namun kesemuanya telah musnah gara-gara sikap pemandu Kia Spectra yang sepatutnya mampus tempoh hari.

"Bang, kalau terjadi apa-apa pada Sayang lepas ni, Abang maafkan Sayang, ya?" ujar isteri tiba-tiba setibanya kami di KK Bagan Serai bagi mendapatkan rawatan, sebelum dipindahkan ke Hospital Taiping dengan ambulans.

Allah. Itulah kali pertama air mata jantan ini tumpah di hadapan isteri. Sekalipun bukan salahnya, tetap dia meminta maaf. Saya mampu bersabar dengan lamanya kesakitan suatu penantian.

Namun, melihat isteri yang putus harapan, yang selama ini dialah yang menjadi sumber harapan, hati suami mana yang tidak luluh. Pernah suatu hari juga, dia berkata, "Kasihan Abang, Sayang tak dapat berikan zuriat sebelum Abang berumur 3-series."

Sejam sebelum isteri dipindahkan ke Bilik Pembedahan (OT), saya tidak mampu berkata sepatah pun kepadanya kecuali tumpahlah genangan air mata yang gigih ditahan-tahan ini.

"Maafkan Abang, ya." Itulah saja yang mampu saya luahkan sebagai kalimat yang mungkin adalah yang terakhir.
"Bukan salah Abang."

Sayangku Aina Nadrah Rosli

Biarlah 5 atau 10 atau 20 tahun sekalipun, Abang berjanji tidak akan lagi berputus asa berikhtiar untuk mendapatkan zuriat. Justeru, kuatkanlah semangat, janganlah putus harapan untuk terus hidup, untuk anak, untuk cita-cita dan segalanya.

Segeralah sembuh dan sedar. Ramai di sini yang tidak putus berdoa demi kepulanganmu. Ya Allah, Kau ampunilah dosa-dosa isteriku sebagai ganjarannya bersabar dalam menanggung kesakitan.

Dialah yang sering membangkitkan untuk mendirikan Subuh, menyediakan sahur dan iftarku, selalu mengajakku berjemaah menunaikan solat, dan mengingatkanku agar tidak melupakan Kalam-Mu.

Engkau tahu bahawa amalan-amalan yang dia lakukan ini semata-mata mengharapkan keredhaan-Mu, maka keluarkanlah dia dari kesulitan ini dan permudahkanlah kesembuhannya. Amin.



Sumber Facebook Ahmad Saifuddin Amran

 

 

Artikel Berkaitan
Anda Mungkin SUka
KOMEN