Lahir anak pertama perempuan, kedua pun perempuan. Tentunya ramai pasangan dalam situasi ini menaruh harapan besar agar kelahiran anak ketiga adalah lelaki.

Namun rezeki cahaya mata itu ketentuan Tuhan, ada yang dimakbulkan hajat beroleh anak lelaki tapi ramai juga yang tetap dianugerahkan anak perempuan.

Meski di hati terselit sedikit rasa kecewa namun ketentuan Ilahi ini harus kita terima dengan redha. Rezeki anak urusan Dia Yang Maha Esa.

Pasti ramai ahli keluarga atau teman yang berkata 'Ha! Perempuan Lagi" tapi hendaknya kita tidak teremosi dengan luahan sebegitu. Hakikatnya pasangan yang memiliki tiga orang anak perempuan punya kelebihan yang tersendiri malah disebut oleh Rasulullah s.a.w.

Rasulullah s.a.w pernah bersabda yang bermaksud :

“Sesiapa yang memiliki tiga anak perempuan, lalu dia bersabar dengan kerenah,kesusahan dan kesenangan mereka,nescaya Allah s.w.t akan memasukkannya ke dalam syurga dengan kelebihan rahmat-NYA untuk mereka.”

Seorang lelaki bertanya,
“Juga untuk dua anak perempuan wahai Rasulullah?”

Sabda baginda,
“Juga untuk dua anak perempuan.”

Seorang lelaki berkata,
“atau untuk seorang wahai Rasulullah?”

Rasulullah s.a.w menjawab,
“Juga untuk seorang.”

(Hadis Riwayat Ahmad dan Al-Hakim)

Namun, riwayat ini diperluaskan juga kepada seseorang yang memelihara saudara perempuan. Sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud :

“Tidak ada bagi sesiapa tiga orang anak perempuan ataupun tiga orang saudara perempuan, lalu dia berbuat baik kepada mereka,melainkan Allah Taala akan memasukkan mereka ke syurga.”

(Hadis Riwayat Al-Bukhari)

Daripada Aisyah r.a. dari Rasulullah s.a.w baginda telah bersabda yang maksudnya :

“Sesiapa yang diberati menanggung sesuatu urusan menjaga dan memelihara anak-anak perempuan, lalu ia menjaga dan memeliharanya dengan baik,nescaya mereka menjadi pelindung baginya daripada api neraka.”

(Hadis Riwayat Bukhari, Muslim dan Tirmidzi)

Daripada ayat-ayat ini kita boleh melihat betapa kelebihan memiliki ramai anak perempuan. Apatah lagi jika ibu bapa menjaga serta mendidiknya mengikut landasan yang betul dan anak itu sendiri patuh pada suruhan agama. Ia boleh menjadi pelindung ibu bapa daripada api neraka.


 

KOMEN