Sebak membaca kisah dugaan saat disahkan hamil yang dihadapi ibu ini. Saat Datuk Siti Nurhaliza bergembira dengan kehamilan dia pula sebaliknya.

Ini kehamilannya yang ketujuh dan sebenarnya dilarang oleh doktor kerana boleh menyebabkan dia kehilangan nyawa dan dia pernah berdepan situasi yang sama dalam dua kehamilan sebelum ini.

Dia nekad teruskan kehamilan walaupun tidak disarankan doktor. Tapi ajaibnya kuasa Tuhan, apa yang berlaku adalah sebaliknya.

Ikuti kisah yang ditulis bak novel perjuangan Nor atau dikenali sebagai Bonda Nor dalam meneruskan kehamilan anak ke tujuh.

Sebak menonton video Siti

Siti Nurhaliza. Saya menonton rakaman video Siti menemani menantunya bersalin ketika itu. Dari sekalian yang ada, Siti yang tampak teruja sekali.

Sebaik sahaja bayi tersebut lahir, beliau bagai tidak tentu arah.. bertepuk tangan, meraup muka sambil tersenyum gembira.. berjalan ke sana ke mari dengan wajah yang cukup berseri-seri.

Saya sebak! Masya-Allah. Siti tampak begitu teruja dengan kelahiran seorang bayi hingga terdetik doa sepintas lalu di hati saya.

“Ya Allah, kurniakanlah anak untuknya. Berilah dia peluang untuk merasai pengalaman melahirkan anaknya sendiri.”

Sungguh. Rasa kasih kepada insan sebaiknya buat rasa kasihan memenuhi jiwa. Lalu doa dan harapan dikirimkan kepada yang Maha Mendengar di langit sana.

Saya memohon kepada Allah agar Siti boleh hamil. Ketika itu saya sendiri sedang hamilkan anak yang ketujuh.

Ironinya, saya mendoakan Siti agar hamil seperti yang dirancang, walhal ketika itu saya sendiri sedang berdepan dengan satu kehamilan yang ‘dilarang’.

Throwback hampir dua kali hilang nyawa

Throwback – kisah pelahiran terdahulu : ya – saya hampir saja kehilangan nyawa. 2 times retained placenta. Uterine Inversion. Bleeding. Red alert. HB menjunam ke level orang nazak. Allahu.. Sakit yang terpaksa saya tempuhi ketika itu, jangan cakaplah. Trauma!

Ia komplikasi yang sangat berisiko tinggi akan berulang lagi. Maka saya akur pada nasihat pakar O&G agar tidak mengandung lagi.

Tapi takdir tidak begitu. Bicara takdir seringkali berbeza dengan kehendak manusia. Yang tidak mahu, Dia beri. Yang teringin sangat, Dia sekat.

Lihat saja betapa banyaknya bayi yang dibuang merata-rata tanda kehadirannya tidak dipinta. Kita juga lihat betapa ramainya orang disekeliling kita yang sudah lama berumahtangga namun masih tidak beroleh cahaya mata. Meruntun jiwa mendengar rintihan pengharapan mereka. Allah..

Demikianlah yang dinamakan ujian. Sengaja Allah mahu lihat respons kita. Tentang sejauhmana kita mahu percaya pada aturan takdir-Nya. Sejauh mana kita mampu berusaha dan mahu reda apa adanya.

Semalam, saya terbaca kisah perjuangan Siti untuk mendapatkan zuriat. Subhanallah. Termenung panjang saya.

IKLAN

Bergelut dengan usaha untuk beroleh zuriat sedang dalam masa yang sama harus bergelut juga tuntutan kariernya – ternyata perjuangan Siti untuk merentasi ujian ini tidak semudah yang disangka.

Hamil Kegembiraan Buat Siti, Tapi Risiko Gadai Nyawa Menanti Ibu Ini Bila Hamil Anak Ke-7

Saya dan Siti sama-sama diuji dengan kisah zuriat

11 tahun Siti mencuba rawatan ini, rawatan itu. Dalam kesibukannya, beliau tetap tidak berputus asa. Berjuang habis-habisan walaupun terpaksa berdepan pula dengan masalah berat badan dan ‘krisis rawatan’ Ya. Siti tidak peduli bahkan terus berusaha lagi dan lagi.

Selain itu:  Muka Mat Saleh Tapi Cakap Nogori, Kelas Kau Jade! Anak Norazimah Menetap Di Perancis Curi Perhatian Netizen Di Malaysia

Akhirnya, sesudah 11 tahun, hasratnya untuk hamil kini menjadi kenyataan. Siti mengandung 4 bulan. Subhanallah. Satu berita yang cukup indah dan disambut dengan penuh syukur oleh jutaan insan yang mengasihinya.

Ujian. Saya dan Siti sama-sama diuji dengan kisah zuriat. Walaupun jalan cerita kami jauh berbeza, tapi ada sesuatu yang sama. Mujahadah untuk melepasi ujian Allah!

Siti berjuang untuk hamil. Saya pula terpaksa berjuang setelah disahkan hamil. Beliau menyambut berita kehamilannya dengan penuh syukur dan gembira tanda ujian tersebut sudah hampir sampai ke penamatnya.

Saya pula menyambut berita kehamilan saya dengan penuh keliru tanda ujian baru saja bermula.

“Ini soal nyawa. Risikonya – nyawa puan. Anak-anak puan masih kecil. Masih perlu perhatian dan kasih sayang seorang ibu!”

Gugurkan kandungan ini? Allahu Rabbi. Bergeloranya rasa hati bila terpaksa berdepan dengan pilihan ini. Nyawa si anak atau nyawa sendiri? Sungguh! Dalam kesibukan tugas harian, saya mengalami kemurungan!

Rahsia kehamilan dari keluarga

Berita kehamilan saya menjadi khabar rahsia walaupun kepada ahli keluarga. Walaupun pada mak. Walaupun pada ibu mentua. Sengaja saya rahsiakan kerana tidak mahu ada yang mendesak saya agar menggugurkannya!

Begitulah. Saya nekad. Kehamilan diteruskan dan saya sedang berdepan dengan satu pertaruhan. Hidup atau mati. Di saat genting seperti itu, doa adalah senjata yang tidak pernah saya tinggalkan. Pantang bertemu waktu mustajab doa, hati dan lidah berlumba-lumba merayu belas dari Allah.

Pelbagai jenis ubat dan rawatan kami usahakan. Berulang alik dari klinik ini, klinik itu, hospital swasta, hospital kerajaan, homeopati, rawatan tradisional. Air zam-zam juga bahkan setia menemani bacaan al-Quran saya setiap hari!

IKLAN

Memang. Hati sekejap bergolak, sekejap tenang. Namun saya berusaha melawan semua bisikan negatif yang singgah. Hampir setiap malam, saya bangun solat hajat dan terus menerus melakukan solat istikharah. Waktu orang lain lena, saya sedang menangis mengadukan resah hati kepada Allah. Memohon Allah memberikan kekuatan. Memohon keselamatan.

Perut yang semakin membesar saya usap dengan penuh yakin bahawa nyawa bayi di dalamnya akan selamat. Tapi nyawa saya sendiri… sungguh saya tidak pasti. Menghitung hari kelahirannya bagaikan menghitung hari kematian sendiri. Sayu!

Krisis emosi yang berlaku agak parah juga. Tapi saya keraskan hati saja. Ketika saya sepatutnya seronok membeli baju baby, rasa ngilu yang menusuk hati. Diam-diam menyeka airmata.. Hati tertanya-tanya….Ya Allah, baju ini… sempatkah aku yang memakaikannya?

Itu belum masuk detik menawan keperitan berdepan si kecil 2 tahun saya yang masih mahu dimanjakan. Tersedar tengah malam cari mama. Allah… Menitik-nitik airmata setiap kali dia tertidur di atas pangkuan saya. Tertanya-tanya lagi.. Bagaimana dia jika saya mati?

Serah kain batik lepas pada suami

Namun rasanya detik paling sayu bagi saya ialah sewaktu menyiapkan beg pakaian untuk ke hospital. Saya yang memang jarang berkain batik terpaksa menyelongkar almari untuk mencarinya.

Sewaktu membelek-belek beberapa helai kain batik yang ada, tiba-tiba terpegang sehelai kain batik lepas – kain batik yang belum berjahit, entah pemberian siapa. Yang pasti, hanya itu satu-satunya kain batik lepas yang saya ada.

Selain itu:  Demi Anak-anak Ibu Ini Sanggup Bina Sendiri Kolam. Sebulan Siap, Bajet RM5k!

Lama saya terpaku memegangnya. Ada satu rasa yang sangat sukar digambarkan. Ngilu. Pilu.

“Abang, kalau apa-apa jadi nanti, ini kain batik lepas ya. Kat rumah kita ada sehelai ni je. Ada simpan kat sini.”

Saya menuturkannya secara bersahaja. Berjuang menahan airmata dari tumpah. Suami saya tampak terkedu. Kemudian hanya tunduk memandang sejadah.

Diam. Sama-sama terdiam.

Ya, kami sama-sama faham. Kain batik seperti itu, yang selalu digunakan untuk menutup jenazah. Justeru agak lama juga kami terdiam. Masing-masing melayan bicara hati sendiri. Allahu Rabbi. Beratnya menanggung sesuatu yang tidak pasti.

Hope for the best. Prepare for the worst. Memang saya berusaha untuk memperjuangkan kehamilan anak ini, saya masih mahu untuk terus hidup, tapi saya tahu yang saya tetap perlu bersedia dengan apa pun kemungkinan yang bakal terjadi.

IKLAN

Berita kehamilan saya hanya mula tersebar pada bulan terakhir. Ia saat kritikal untuk saya mengharapkan senjata terakhir – doa daripada sesiapa saja yang sudi mendoakan.

Tak terungkap rasa sayu dan terharu setiap kali menerima mesej seperti…
“Kami semua di sini buatkan solat hajat.”
“Saya baru lepas bacakan Yaasin untuk…”

Takdirnya begitulah. Entah mujarab rawatan yang mana, entah berkat doa siapa, yang pastinya, saya selamat melahirkan seorang bayi perempuan. Alhamdulillah, selamat tanpa pembedahan walaupun itu yang pakar dan ramai doktor sarankan.

Masya-Allah. Tabarakallah. Nikmat Allah yang mana mahu saya dustakan?

Keajaiban sentiasa ada

Ini kisah perjuangan. Kisah mujahadah. Berapa ramai daripada kalangan kita yang diam-diam sedang bermujahadah merentasi ujian Allah? Semua! Semua kena! Tidak ada yang terlepas!

Kawan, satu perkara yang ingin saya pesankan.. keajaiban itu masih ada. Ya, keajaiban sentiasa ada selagi kita percaya bahawa bantuan Allah itu semudah lafaz KUNFAYAKUN saja.

Sebagai manusia, memang kadang kita rasa lemah bila berdepan dengan ujian. Kalau ikut logik akal kadang rasa mahu mengalah saja.

Tapi kita juga telah lihat dan dengar sebegitu banyaknya kisah-kisah yang memberi inspirasi kepada kita. Yang berbelas tahun tiada zuriat, akhirnya hamil. Yang sepatutnya tiada harapan untuk hidup lagi masih bernyawa hingga ke hari ini.

Episod ujian Siti dan perjuangannya untuk mendapatkan zuriat berakhir sebaik saja beliau hamil. Episod ujian saya dan perjuangan untuk zuriat juga tamat sebaik saja anak ketujuh ini dilahirkan dengan selamat.

Namun pasti saja akan ada episod ujian yang seterusnya. Justeru bekalan pengalaman dan kekuatan daripada ujian ini seharusnya menjadi guru yang baik untuk kami terus percaya bahawa setiap berdepan dengan ujian, yang perlu terus menerus dilakukan ialah berjuang untuk menang. Bukan mengalah dengan mudah hingga terlupa bahawa Allah itu ada dan kita sama sekali tidak boleh berputus asa!

Masya-Allah. Betapa indahnya hidup bila usaha dan tawakkal sentiasa mengiringi kita. Percayalah. Jika Allah ada di hati kita, Insya-Allah walau sedahsyat mana pun laut berkocak, kita masih mampu menjinakkan ombak!

Sumber: Nor

 

 

 

 

 

Life-hacks petik jari je! Jom baca VANILLA KISMIS seeNI.
Download seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI