Semangat adik ini perlu jadi contoh bukan saja kepada pelajar sekolah tapi kita yang dewasa ini juga. Betapa apa jua halangan termasuk kesakitan mampu diatasi jika punya azam dan tekad yang kuat untuk meraih apa yang diingini.

Ini dibuktikan oleh Nik Nur Aisyah Amalyn Nik Sen, 18 yang menghidap kanser tulang memperoleh 8A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan semalam.

Kejayaan Aisyah itu juga luar jangkaan pihak sekolah kerana dia sebelum ini hanya hadir ke sekolah semasa di tingkatan lima sahaja.

Dua tahun dia diberikan cuti kerana perlu melakukan pembedahan serta menjalani rawatan di hospital sehingga anak ke empat daripada enam beradik ini tidak berpeluang menduduki Penilaian Menengah Rendah (PMR).

Bukan itu sahaja, sepanjang tingkatan lima Nik Nur Aisyah perlu berulang alik ke hospital setiap bulan untuk mendapatkan rawatan kemoterapi.

Malah dia juga perlu menggunakan tongkat empat setiap kali hadir ke sekolah untuk membantu pergerakannya.

"Semua ini tidak mematahkan semangat saya kerana ibu dan ayah sentiasa ada di sisi.

"Merekalah yang banyak memberikan sokongan dan sanggup berjaga malam bersama semata-sama menemani saya mengulang kaji pelajaran untuk menduduki SPM," katanya.

Pelajar Sekolah Menengah Tok Uban, Pasir Mas, Kelantan itu mendapat 5A+ bagi subjek Pendidikan Islam, Tasawur, Matematik, Ekonomi dan Sains. Manakala 2A bagi subjek Bahasa Melayu dan Sejarah serta 1A- untuk Bahasa Inggeris.

Untuk adik Aisyah teruskan semangat juangmu, kami doakan agar kamu kembali sihat.


Sumber Sinar Harian
 

Artikel Berkaitan
Anda Mungkin SUka
KOMEN