Melihat anak bertungkus lumus berniaga online hingga kadang kala habis satu rumah bersepah dengan barangan perniagaan hati kecil ayah mulalah tersentuh kasihan.

Tanpa banyak bicara dia memulakan usaha membina pejabat untuk anaknya di rumah. Demi kasih pada anak dia berjaya mengubah garaj kereta di tepi rumah menjadi pejabat yang indah.

Perkongsian ini dibuat oleh Hajar Yahya sebagai dedikasi untuk ayahnya. Jom baca dan lihat hasil tangan ayahnya. memang mengagumkan.

Aku bangga punya abah macam dia

Artikel ini aku dedikasikan khas buat abah aku, Pakya. Walaupun dia tiada FB, kalau dia terbaca ni, aku harap dia tahu aku bangga punya ayah macam dia.

Bulan puasa tahun lepas pemula segalanya. Aku yang berniaga online sering mengeluh sebab tak punya ruang pejabat sendiri.

Habis satu rumah bersepah dengan barang perniagaan aku. Depan TV tempat aku tulis pesanan, di dapur kering tempat aku bungkus barang, di ruang tamu tempat aku buat sepah dan macam-macam lagi.

“Abah, boleh tak nak guna bilik jadikan ofis? Buat macam ofis betul.”

Aku harap dia jawab ya.

Sebaliknya dia jawab, “Tak boleh. Nanti abah buatkan ofis untuk awak.”

Speechless…

Ayah mula bertukang

Tak lama lepas tu, lepas raya seingat aku. Abah aku mula mengemas garaj kereta dia. Dia bersihkan lantai garaj dan buka atap. Selepas itu, bahan-bahan binaan pula sampai. Batu blok, pasir, simen selambak di depan rumah.

Tak banyak cakap, abah aku pun mula kerja buruh kasar dia. Naik batu blok satu persatu. Usai solat Subuh, aku tengok abah dah siap salin “uniform” kerja. Garaj yang dulu kosong tanpa dinding, sudah ada dinding.

http://polopoly.karangkraf.com:8080/polopoly/polopoly_fs/1.684599.1496653070!/image/image.jpg

Tak mengeluh, tak mengadu. Semuanya dia buat sendiri. Aku yang sayu. Ya Allah bergenang air mata aku tengok dia usung kereta sorong penuh dengan pasir dan simen pukul 1 tengahari. Ayah tak banyak cakap

“Abah, makan dulu. Dah tengahari ni.”

“Nantilah. Abah nak siapkan ni sikit je lagi.” Dia balas ringkas.

Ya. Itulah abah aku. Orang kata “action speaks louder than words”.

Ha macam itulah abah. Tak banyak cakap, dia buat je kerja. Dia buat semuanya dengan seikhlas hati. Dan kalau tengah kerja, dia mesti buat sampai habis.

Bayangkan kecil, sekali siap dua tingkat

Hari berganti hari, minggu berganti minggu. Dah berbaldi peluh keringat dia kalau aku boleh kutip dari mula dia buat kerja. Aku bayangkan pejabat aku tu nanti comel je.

Sebab saiz garaj hanya boleh muat sebuah kereta. Sekali siap jadi dua tingkat. Impress gila.

Ada tingkat bawah dan atas. Masa tu perasaan aku punyalah wowww tak terkata. Impress gila dengan abah aku. Garaj kereta sepatutnya bertukar menjadi pejabat kecil. Yang tersergam indah depan aku adalah sebuah rumah kecil.

Lengkap segalanya. Ada ruang tamu, ada ruang dapur siap kabinet, ada bilik tidur, ada ruang rehat, ada tandas semualah. Bergenang air mata aku sekali lagi dengan abah. Betapa besar pengorbanan dia pada aku.

Semua ada dalam kepala abah

Dan aku sedar, latarbelakang pendidikan bukan segalanya. Yang penting semangat dan usaha tanpa putus asa. Abah bukan arkitek apatah lagi engineer.

Dari sekolah rendah, kalau cikgu tanya ayah awak kerja apa, aku jawab aku anak tukang kayu. Bertukang dah sebati dalam darah yang mengalir dalam diri dia.

Ada sesekali aku terdengar perbualan tetamu yang datang ke rumah dengan abah.

“Mana pakcik dapat idea buat rumah ni?”

“Semuanya dah ada dalam kepala ni. Automatik siap dengan kiraan kos dan bahan-bahan.” Dia balas selamba.

Kena ikut tema & ikut citarasa abah

Wallahualam. Mungkin itu anugerah Allah pada abah. Jujurnya rumah kecil ini banyak yang custom made. Tingkap labuh ni semuanya abah tempah ikut saiz yang dia nak. Semua ikut cita rasa abah.

Kabinet dapur pun abah buat ikut selera sendiri. Hiasan dan dekorasi pun semuanya kami cari sendiri. Tinjau sana sini baru beli. Dan mesti kena ikut tema dan citarasa abah.

Jemputlah tengok gambar hasil tangan abah dan aku (sikit je hias-hias). Untuk barang dalam rumah, kebanyakannya dari Ikea dan Mr DIY. Ringkas tetapi sedap mata memandang pada kami.

Akhir kata sebagai penutup, cinta ayah itu kadang kala memang tak terlihat. Tak nampak. Tapi kita pasti merasakannya. Ayah yang tak banyak bicara terkesan tak peduli, tetapi sesungguhnya yang ada dalam hatinya adalah kita.

Abah, pinjamkan aku hatimu agar aku belajar bagaimana menghadapi masalah tanpa mengeluh sedikit pun. Di setiap keringatmu, di setiap lelah nafasmu, penuh dengan kasih sayangmu. Terima kasih abah.

Hajar Yahya,

Anak Pakya selamanya.

 

Sumber: Hajar Yahya

 

Anda Mungkin SUka
KOMEN