Keterujaan menyediakan makanan untuk berbuka puasa menyebab ramai yang selalu berkongsi gambar makanan atau hidangan lazat ketika siang hari di laman Facebook.

"Buka puasa nanti nak masak gulai lemak nangkalah" antara status yang ditulis sambil memuat naik gambar hidangan tersebut hingga menyebabkan mereka yang melihat foto pada status itu menelan air liur.

Apakah hukum perbuatan ini kerana ada yang mengatakan ia haram. Pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus menjelaskan bahawa tindakan memuat naik gambar makanan di Facebook ketika bulan puasa tidak jatuh haram hukumnya.

Namun begitu katanya ulamak ada berpesan supaya janganlah kita ketika berpuasa bersikap terlampau menayang-nayangkan gambar makanan.

"Ada kata haram kita letak gambar makanan...jawapannya tidak begitu, sebab Rasulullah bersabda, kalau kita beli satu makanan atau kita masak makanan, lalu jiran kita lihat atau jiran kita tercium baunya sunat kita beri makanan kepada jiran kita itu, sunat beri kepada jiran kita yang senang dan kalau jiran kita yang kelaparan wajib kita beri.

"Masalah gambar ini orang kias, sebenarnya tidak haram, cuma kita jangan terlalu menayangkan gambar makanan kerana bukan semua orang mampu beli apa yang kita tunjukkan di media sosial, tetapi itulah hendak kata haram saya tidak berani," jelasnya ketika menjadi panel dalam program Bersama Ustaz Azhar Idrus, Aku, Ramadan dan Facebook  di Dewan Sultan Muhammad ke V, Kompleks Kumpulan Media Karangkraf, Seksyen 15 Shah Alam.

Bagaimanapun tambahnya adalah berdosa bagi mereka yang makan kerana gagal menahan nafsu di bulan puasa akibat melihat gambar tersebut.
 
Mengulas satu lagi isu pengguna Facebook yang tidak menghalalkan perkongsian atau 'share' resipi yang dimuat naik di media sosial kata Ustaz Azhar Idrus, ia tergantung dalam tiga situasi.

"Situasi pertama tuan dia izinkan, kedua tuan dia tidak izinkan dan ketiga kita tidak tahu sama ada dia izinkan atau tidak.

"Situasi yang pertama tuan dia izinkan iaitu dengan kata 'silakan kongsi' maknanya jelas tuan dia benarkan, situasi kedua kalau dia tidak izinkan jangan tulis kepada umum, dan situasi ketiga ialah dipanggil 'uruf' iaitu mengikut kebiasaannya kalau dia muat naik di media sosial, ia memang kita letak untuk dikongsi, wallaualam," katanya.

http://support.karangkraf.com/editorial/vk/TAHUN%202016/Mei/29/13327531_633863246763073_263154705369078831_n.jpg

Viralkan Berita Tak Sahih
Menyentuh tentang isu viral pula katanya, hari ini ramai yang berlumba-lumba menjadi orang pertama untuk berkongsi satu-satu berita di media sosial tanpa mengendahkan sumber tersebut mungkin dari orang yang fasik.

"Seharusnya kita kena berfikir dahulu sebelum memuat naik apa-apa berita. Kalau keburukan jangan hebahkan. Tak perlu sebarkan perkara-perkara yang tidak baik. Tanya dulu pada diri sendiri adakah elok kita sebarkan perkara-perkara begini contohnya menyebarkan berita seseorang itu meninggal sedangkan dia masih hidup,"ujarnya,

Dalam pada itu Ustaz Azhar Idrus juga turut menjawab persoalan tentang sikap sesetengah individu yang suka menguar-uarkan ibadah yang dilakukan di dalam Facebook, contohnya solat tahajud.

"Perbuatan ini termasuk dalam perbuatan suma'ah iaitu gemar memberitahu perbuatan amal yang dilakukan kepada orang lain. Mereka ini adalah golongan yang diperdaya oleh syaitan.

"Jaga diri kita, takut amalan kita hangus akibat perasaan riak. Silap 'post' habis pahala puasa dan juga ibadah,"ungkapnya dalam program yang turut menjemput Ebby Yus sebagai moderator.

 

 

Artikel Berkaitan
Anda Mungkin SUka
KOMEN