Tak seperti kisah pengorbanan cinta yang selalu kita baca, kisah ini lebih agung dari itu, bak kata penulisnya. Memang benar kerana di dalamnya ada pengorbanan yang betul-betul membuat kita terharu.

Pengorbanan seorang abang untuk menjaga adiknya yang sakit dan OKU. Kisah Nazrul dan Natasya ini pasti buat air mata kita bergenang kerana insan yang sanggup berkorban ini hanyalah seorang abang yang baru berusia 14 tahun.

Sudah pasti atas dasar kasih sayang dan memahami makna tanggungjawab Nazrul sanggup berhenti sekolah demi menjaga adiknya yang sakit selama lapan tahun sebelum Natasya menghembuskan nafas terakhir baru-baru ini.

Selama lapan tahun inilah dia setia di sisi adiknya  setiap kali dimasukkan ke hospital, menjaga, mengangkat dan memandikan Natasha di rumah malah segala-galanya sanggup dilakukan demi adik yang disayangi.

Ikuti kisah pengorbanan yang dikongsi dari Facebook Wan Shahriza. Beliau mengikuti perkembangan dua beradik ini selama terlibat dalam NGO membantu anak-anak pesakit kanser di Hospital Kuala Lumpur. Ia selayaknya dikongsi dan dibaca oleh ramai untuk dijadikan pengajaran tentang makna kasih sayang sejati.

http://support.karangkraf.com/editorial/vk/TAHUN%202016/Mac/14/Capture1.jpg

Hari ini saya ingin bercerita tentang sebuah kisah cinta.

Dan seperti kisah-kisah cinta lainnya, yang menjadikan ianya agung ialah kerana adanya pengorbanan yang dilakukan tanpa mengharapkan balasan, dilakukan atas dasar kasih sayang sejati, penuh tulus dan tiada pretensi.

Ini kisah Nazrul dan Natasya. Kisah perjalanan kasih sayang melewati masa dan ujian Tuhan.

Natasya, ialah seorang anak yg periang, aktif dan bijak. Setelah memasuki Darjah Satu dan teruja dengan perkara-perkara baru yang dipelajarinya di sekolah, Natasya akan balik dan bercerita pada datuk dan neneknya tentang harinya di sekolah.

Datuk dan nenek, yang membelanya penuh kasih sayang sejak kecil, akan mendengar dan melayan keterujaan cucu kesayangan yang sedang meneroka hidup dan alam.

Nazrul akan turut mendengar ketika mulut adiknya itu becok bercerita. Mereka berdua dan seorang lagi adik mereka tinggal bersama datuk dan nenek di sebelah bapanya apabila ibu bapa mereka berpisah.

Dan kemudian ujian melanda.

Natasya didiagnos dengan kanser otak di usia 7 tahun. Setelah tiga pembedahan dilakukan membuang tumor di otaknya, Natasya berhenti meneroka hidup dan alam.

Dia tidak lagi memahami apa yg sedang berlaku di sekelilingnya. Tidak lagi mampu bergerak dan bercakap. Malah penglihatannya juga menjadi kabur. Maka terbaringlah dia dalam dunianya sendiri. Nenek dan Datuklah yang terus menjaganya. Dan abangnya Nazrul yang cuma setahun lebih tua.

Nazrul akan berbaring di sebelah Natasya, mengagah-agah adiknya sampai Natasya terkekek-kekek ketawa, berbual-bual dengannya dan terus menyayanginya tanpa syarat dan batasan.


Apabila Kasih Sayang Hadir Bersama Tanggungjawab, Tiada Yang Membebankan

Setiap bulan akan ada bekalan ubat yang sampai ke rumah. Dihantar dari farmasi HKL. Pelbagai ubatan untuk membantu Natasya meneruskan hidup. Bukan lagi menyembuhkan.

Antara yang wajib diambil saban hari ialah ubat sawan yang kerap terjadi pada Natasya. Doktor memang sudah berpesan tentang sawan yang boleh meragut nyawanya.

Dan Natasya juga masih perlu dibawa ke HKL untuk pemeriksaan dan rawatan. Di bawah wad neuro. Cuma kerana di.KK3, ada katil tambahan disediakan untuk penjaga pesakit, maka nenek memohon untuk menumpang di wad KK3. Ada katil tambahan untuk dia dan Nazrul berkongsi tidur.

Rutin ini berterusan selama 8 tahun.

Setiap kali ke hospital, Nazrul akan bersama menjaga Natasya di wad bersama nenek. Nenek sudah beransur tua dan kian lemah. Natasya membesar dan semakin berat untuk mampu diuruskan Nenek. Dan Nazrul lah yang akan membantu. Anak muda yang cergas dan kuat, walau fizikalnya nampak kurus.

"Nazrul lah yg tolong mandikan adik. Bila Tasya dah besar ni, makcik dah tak larat nak angkat dan mandikan. Hanya balik-balikkan badan dia dan lap. Nazrul lah yg akan angkat adik ke bilik air dan mandikan. Suka sangat Tasya kalau abang dia balik."

Rutin rawatan di hospital yg berterusan dan kerap, memaksa Nazrul untuk mengorbankan sekolah untuk menjaga adik. Akhirnya, semasa di Tingkatan 2, Nazrul berhenti sekolah secara rasmi. Mungkin sudah tidak sanggup mendengar guru- guru bertanya bila dia kerap dan lama tidak hadir.

Ibu-ibu pesakit lain dan nurse-nurse di KK3 kenal Nazrul. Seorang abang yang menjaga adiknya bersama nenek yang tua di wad. Semua urusan Natasya boleh dilakukannya. Memberi ubat, menukar pampers, memandikan, menyuapkan makanan, meneman dan menghiburkan.

Tanggungjawab yang besar untuk seorang anak yang masih di awal usia belasan. Tapi apabila kasih sayang hadir bersama tanggungjawab, tiada yang besar dan membebankan. Nazrul akan melakukan segalanya untuk Natasya tanpa bersungut.       

Kisah cinta yang bertahan selama 8 tahun.                                                                                                                              

Hari Terakhir Bersama Natasya

Natasya meninggal Februari 2016 apabila mengalami sawan, di usia 15 tahun. Seorang ibu di wad KK3 bercerita di saat Nazrul berlari menyorong adiknya dgn wajah cemas masuk ke wad, masih berharap yang sesuatu masih boleh dilakukan.

Natasya disahkan sudah meninggal dunia.

"Demam si Nazrul ni lepas adik meninggal. Dialah yang rapat dengan adik."

Nazrul yang turut berada bersama kami ketika nenek bercerita, hanya diam dan sesekali tersenyum apabila namanya disebut. Saya melihat satu waktu dia menatap gambar Natasya di handphonenya. Gambar terakhir, sehari sebelum kepulangan arwah ke rahmatullah.

"Nazrul sekolah balik ye...Adik pun dah takde. Nazrul kena belajar semula. Kena pikirkan masa depan," saya memujuknya. Dia hanya senyum sambil kakinya menguis-nguis lantai.

"Tu lah, makcik cakap macam tu lah. Tapi nampak dia macam dah takde hati nak ke sekolah. Dah dua tahun lebih dah tak sekolah. Duduk rumah tolong makcik macam ni lah.

"Petang nanti gi ambik adik dia yg Tingkatan 2 dari sekolah. Kalau takpun, dia ikut ayah dia.. bantu ayah buat kerja kontrak. Nazrul ni nampak je kurus, tapi kuat dia ni.. angkat2 besi tu dah biasa."

Nenek sedang mengalami sakit belikat. Mungkin kerana usia atau kerana bertahun-tahun menjaga cucu yang hanya mampu berbaring dan sesekali duduk. Tak mampu Nenek berdiri lama.

Semasa saya sampai ke rumah mereka di Selayang, kedengaran Nazrul sedang membasuh pinggan di dapur, dan tak lama membawa air minuman keluar. Nazrul dan Datuk menghantar saya hingga ke kereta. Sebelum beredar meninggalkan rumah mereka, saya berpesan sekali lagi,

"Nazrul sekolah balik ye."

Dan dari cermin sisi, saya melihat susuk tubuh Nazrul yang berdiri memandang kereta saya yg perlahan beransur pergi. Saya melihat seorang anak, cucu dan abang yang begitu baik.

Saya melihat sebuah kisah tanggungjawab dan pengorbanan. Dan di sepanjang perjalanan, saya terus melihat sebuah cerita kehidupan yang diuji kesukaran, tetapi diindahkan dengan kasih sayang.

Seorang lagi anak yang dalam hati saya telah saya lantik sebagai guru, mengajar saya di sekolah kehidupan.


Semoga ramai lagi abang seperti Nazrul di luar sana yang memahami erti tanggungjawab pada adik-adiknya dan menumpahkan sepenuh kasih sayang untuk mereka.

Facebook Wan Shahriza.
 

Anda Mungkin SUka
KOMEN