Menjelang raya ini rasanya ramai wanita yang sudah menjeling-jeling barang di kedai emas. Jadi kebiasaan kita untuk mengganti atau menambah koleksi barang kemas di hari raya supaya lengan, leher mahu pun jari tampak lebih berseri nanti.

Tapi hendak membeli rantai, gelang mahu pun cincin emas sudah tentulah perlu pertimbangan yang teliti. Maklumlah harganya mahal.

Bagaimanapun ada berita gembira untuk anda yang tinggal di Semenanjung Melaysia dan mahu membeli emas pada harga murah dan berbaloi. Kalau nak tahu tempat terbaik untuk anda kunjungi adalah di pekan Kuala Pilah.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pekan ini dikatakan sebagai syurga emas murah. Sebabnya mereka yang membeli barang kemas di sini boleh berjimat sekitar RM15 ke RM30 segram.

Bermakna jika membeli gelang emas seberat 8 gram, anda sudah mampu jimat RM120.

Jika berkunjung ke pekan Kuala Pilah atau lebih dikenali nama “Pilah” oleh penduduk setempat, anda akan perasan kedai emas yang wujud di setiap deretan kedai di sana.

Ini kerana di Kuala Pilah, tidak tahulah apa kisahnya, kebanyakan kedai yang menjual emas di situ tidak berdaftar dengan Persatuan Pekedai Emas Malaysia.

Apabila tidak didaftarkan, penjual emas berhak menentukan sendiri harga jualan mereka yang pastinya berbeza dengan jualan peniaga berdaftar yang perlu mengikut harga persatuan.

Panduan ke Pilah

Untuk ke pekan Kuala Pilah, jika anda dari Kuala Lumpur hanya ikut lebuhraya LEKAS dan ikut saja papan tanda ke Kuala Pilah.

Dari Melaka anda boleh mengambil jalan melalui Inas, sementara yang datang dari Pantai Timur, boleh mengikut Jalan Muadzam Shah atau jalan Bentong melalui Simpang Pelangai.

Nak tahu berbaloi atau tidak beli emas di Kuala Pilah kenalah datang sendiri dan lihat ragam pembeli di sini.Kalau tanya pengunjung yang datang jangan terkejut jika rata-ratanya bukan orang Pilah.

Kedai emas di sini mungkin tidaklah seperti premis yang popular di bandar besar tapi produknya tetap sama.

Ketika artikel ini diperoleh harga emas di butik mewah berharga RM185 segram,  tapi di Kuala Pilah harganya hanya sekitar RM168-RM170. Menariknya harga itu masih boleh ditawar sampai puas hati.

Sumber – iluminasi.com, sinarharian.com.my

 

Anda Mungkin SUka
KOMEN