Ramai pasangan yang pergi dan pulang kerja bersama. Tapi sayangnya masa berdua dalam kereta itu tidak dimanfaatkan sepenuhnya.

Setelah kereta meninggalkan rumah dan melalui kesesakan jalan raya apa yang kamu lakukan? Berdiam diri  melayani fikiran masing-masing, sibuk dengan telefon atau tidur. Jika ini yang dilakukan sayang sungguh!

Alangkah baiknya jika waktu selama satu jam atau lebih di dalam kereta bersama pasangan digunakan untuk saling berkongsi cerita yang mampu mengeratkan lagi perhubungan. Berikut adalah apa yang seharusnya anda dan pasangan praktikkan.

Elakkan cerita tentang tempat kerja masing-masing.
Tapi selalunya inilah yang kerap dilakukan, isteri akan bercerita tentang urusan kerjanya begitu juga dengan suami. Segala masalah, kepenatan dan sebagainya akan diluahkan.

Tapi seharusnya ia dihindari, carilah topik tentang hubungan anda berdua, jangan sia-siakan waktu yang ada membicarakan tentang urusan pejabat yang memenatkan.

Usah mengumpat
Jiran tetangga, rakan di tempat kerja dan orang-orang di sekiling anda memang takkan habis dibualkan. Kadang-kadang keburukan, umpatan ataupun gossip akan terkeluar. Sudahlah tidak membawa apa-apa kebaikan pada hubungan, menambah dosa pula.

Tahan rasa mengantuk
Selalunya waktu suami memandu apa lagi di jalan yang sedang sesak, isteri di sebelah akan mula terbuai rasa mengantuk. Sedar-sedar saja, sang suami mungkin bercakap sendirian kerana si isteri sudahpun tertidur.

Tidur ketika suami sedang memandu sebenarnya melanggar sopan santun. Anda pastinya tidak melakukan hal itu ketika menumpang kereta rakan-rakan bukan?

Apa yang perlu dibualkan?

Kebahagiaan bersama
Bunyinya seperti jiwang karat tapi inilah yang perlu dilakukan. Bicarakan apa saja yang membuatkan anda dan pasangan bahagia dalam melayari rumah tangga. Tapi elakkan perbualan menjurus kepada sikap protes terhadap pasangan. Sudah pasti kita tidak mahu mewarnai pagi hari dengan pertengkaran bukan?

Komitmen suami isteri  
Inilah masanya untuk luahkan masalah yang dihadapi oleh anda suami isteri. Tentang peranan di rumah, perkongsian tugas,kewangan malah janji untuk membantu kerja rumah yang belum dipenuhi boleh juga dibicarakan ketika ini.  

Perkara lucu dan lawak
Humor memang akan menceriakan keadaan apatah lagi ketika suami sedang tension mengadap jalan yang sesak. Ceritakan perkara lawak yang anda lalui, supaya situasi berdua tidak terlalu serius.

Perkembangan diri dan pasangan
Bukan hanya perkembangan anak-anak tapi juga diri anda dan suami. Contohnya kejayaan anda menurunkan berat badan atau pun pencapaian anak.

Semoga tip ini membantu mengukuhkan perhubungan anda suami isteri. Jangan baca saja, praktikkan terus pagi esok.

KOMEN
Artikel Berkaitan