Ramai yang idamkan dapur yang cantik, kemas dan luas. Meski ada keinginan tapi faktor bajet selalu jadi halangan.
Namun begitu nak dapatkan dapur yang teratur, kemas tak semestinya perlu modal yang besar. Boleh tiru cara Raja Nurhazwani yang melakukan makeover dapur kediaman ibunya. Bajetnya tak sampai pun RM800. Sesuai sangat kan!
Dapur sebelum makeover
Keadaan sebelum memulakan makeover. Terdapat 3 masalah utama yang saya kenalpasti iaitu:
1. Kurang pencahayaan
2. Ruang dapur sempit
3. Kedudukan barang tidak tersusun
4. Bajet
Untuk mengatasi masalah ini saya telah menghadkan bajet untuk projek ini sebanyak RM800.Itulah anggaran untuk peralatan utama yang saya gunakan :
- 4 roll plain wallpaper ( RM 17/each @ Shoppe)
- 2 roll brick wallpaper ( RM 16/each @ Shoppe)
- 1 set meja & kerusi ( RM 350 @ Shoppe)• 1 set blind ( RM 45 @ shoppe)
- 2 Unit rak Hyllis saiz besar ( RM 60.00/each @ Ikea) saya beli dengan personal shopper
- 3 liter Cat (RM15. 10/each @ Hardware)
- Storage (RM80 @ Ecoshop)
TOTAL : RM 740.30
Dapur sebelum & selepas makeover
Inilah hasilnya
Meja untuk letak barang ditukar pada yang lebih ringkas
Tempat letak barang khusus diadakan supaya kemas
Bahagian singki & tingkap berubah wajah
Dapur memasak
Selepas guna wallpaper brick pvc terus nampak beza
Rak tambahan untuk mudah letak peralatan dapur.
Sumber: Raja Nurhazwani
Didik Anak Lelaki 5 Perkara Ini Sebelum Mereka Masuk Usia Remaja
Tanggungjawab anak lelaki dalam keluarga memang besar. Tak kira anak sulung atau anak bongsu mereka seharusnya jadi pelindung pada adik beradik perempuan.
Bukan itu saja anak lelaki seharusnya didik menjadi seorang yang bertanggungjawab sejak dari kecil lagi. Kerana mereka adalah bakal suami, bapa, ketua keluarga yang di bahu mereka terletak amanah yang cukup besar.
Justeru itu supaya menjadi lelaki yang lengkap pakejnya perkara berikut menurut Coach Parenting Taufiq Razif perlu diajar kepada anak lelaki sebelum mereka menjengah usia remaja.
Didik Anak lelaki #5 Perkara Ini Sebelum Usia Remaja
#1. Melindungi
Didik anak lelaki untuk MELINDUNGI maruah adik perempuannya kerana pada saat kita tiada, anak lelaki lah yang menjadi tempat berpaut dan berlindung adik beradik perempuannya
#2. Lemah lembut
Didik anak lelaki untuk LEMAH LEMBUT dengan adik beradik perempuannya kerana anak lelaki yang tegas dalam kelembutan lebih berkesan untuk membentuk adik beradik perempuannya
#3. Rajin
Didik anak lelaki sifat RAJIN terutamanya dalam membuat kerja rumah kerana itu cara terbaik untuk mereka tumbuh dewasa menjadi suami yang memahami bebanan kerja seorang isteri
#4. Hormat
Didik anak lelaki untuk HORMAT pada ayahnya kerana ayah adalah hero dan idola pertama dalam kehidupannya. Sekali hormat itu hilang, si anak boleh jadi hilang panduan
#5. Mencintai
Didik anak lelaki untuk MENCINTAI ibunya kerana ibu adalah pintu syurga paling dekat pada seorang anak lelaki. Anak perempuan, setelah berkahwin pintu syurga utamanya berpindah daripada ibu kepada suami tetapi pada anak lelaki, ibunya lah pintu syurga utamanya buat selama lamanya
Sumber: Taufiq Razif
Teknik Mudah Tanam Pokok Kesum Tepi Rumah Supaya Pokok Rimbun, Daun Lebar-Lebar
Daun kesum memang banyak kegunaan dalam masakan, lagi lagi kalau di rumah selalu masak laksa dan asam pedas. Memang elok sangat tanam.
Tanam sepasu pun jadilah, boleh guna daun kesum yang segar untuk masakan. Kalau dapat daun yang lebar dan besar lagi seronok. Macam hasil tanaman Mohd Syafiq Ahmad Khasasi atau dikenali juga sebagai Cikgu Kebun.
Nak dapat hasil pokok kesum yang sama begini, boleh ikut cara tanam yang dikongsi oleh beliau.
Teknik mudah tanam pokok kesum
Pokok kesum ini antara pokok yang kena ada di kebun dapur CK sebab kami sekeluarga suka makan laksa Kedah, jadi boleh petik segar-segar ja. Bagi yang nak belajar tanam pokok kesum, sila ikut tip ini. Moga berjaya tanam dan ada pokok kesum rimbun ni tepi tingkap dapur. Syok kan.
Cara- caranya
1. Cari benih pokok kesum yang sihat segar sama ada beli di pasar atau nurseri.
2. Sediakan medium tanah yang sesuai. Bab tanah ni CK ajar yang paling mudah, guna tanah merah campur sabut sahaja. Nisbah 70% tanah 30% sabut.
3. Cari pasu rendah tapi mempunyai permukaan yang lebar, pastikan pasu tidak mempunyai banyak lubang, cukup 2 lubang sahaja.
4. Potong daun kesum 5 ruas satu keratan, buang semua daun sebelah bawah dan tinggalkan 3 helai daun sebelah atas sahaja.
5. Letakkan hormon pengakaran pada keratan batang yang telah hangpa kerat tadi. Jika mahu pokok rimbun, banyakkan keratan untuk disemai.
6. Boleh terus tanam kesemua keratan tersebut. Tapi CK pilih untuk semai terlebih dahulu dalam cup air atau polybag kecil.
7. Satu polybag kecil boleh semai 2 atau 3 keratan batang guna tanah yang sama seperti di atas.
8. Kenapa CK semai dahulu? Tujuannya kita akan tanam pokok kesum yang betul-betul stabil dan hidup sahaja dalam pasu tadi.
9. Pokok kesum mula berakar selepas 2 minggu semaian dan boleh terus dipindahkan ke dalam pasu.
10. Jika semai tadi 7 polybag, dan hidup kesemunya jadi tanam kesemua 7 polybag yang mempunyai pokok tu kedalam satu pasu sahaja. Baru akan dapat pokok yang rimbun nanti.
11 . Jangan lupa, kena letak baja untuk proses pokok kesum membesar, CK akan guna Baja Wangi Organik, hanya perlu tabur 2 minggu sekali sahaja.
12. Siram 1 hari 2 kali, pokok kesum suka air banyak jadi jika terlebih siram tidak ada masalah.
13. Tip penting juga pokok kesum tidak suka cahaya matahari terus, jadi letak pokok kesum bernaung di bawah pokok lain atau bawah jaring hitam.
Semoga bermanfaat.
Sumber: Mohd Syafiq Ahmad Khasasi
Cara Selesaikan Masalah Tanah Pusaka Ada Banyak Nama Dengan Bahagian Makin Mengecil
Tanah pusaka sering jadi isu terutama kalangan adik beradik, pada masa yang sama sering juga dilengah-lengahkan urusannya. Tambah lagi kalau tanah pusaka ada di kampung dan banyak nama yang nak dibahagi, dengan bahagian makin kecil.
Bagi yang berdepan masalah ini berikut adalah cadangan dari peguam allahyarham Salkukhairi Abd Sukor untuk menyelesaikannya. Jangan sampai berbalah sesama adik beradik kerana perihal tanah.
1. Isu bahagian tanah pusaka geran kongsi yang semakin mengecil apabila penama asal meninggal dunia adalah isu yang banyak dihadapi oleh masyarakat kita hari ini.
2. Apabila penama asal meninggal dunia, bahagiannya akan di turun milik kepada waris- waris mereka.
3. Kesannya, di dalam geran tanah tersebut semakin banyak penama yang masing-masing akan memiliki bahagian yang semakin kecil saiznya.
4. Keadaan ini akan menyukarkan proses untuk mengurusniagakan dan membangunkan tanah tersebut. Bahkan ianya mungkin tidak lagi praktikal untuk dibangunkan termasuklah untuk dibuat pecah bahagian.
5. Ini kerana untuk melakukan sesuatu urusniaga atau membangunkan tanah tersebut, persetujuan daripada setiap penama adalah diperlukan.
6. Proses untuk mendapatkan persetujuan tersebut akan menjadi lebih sukar sekiranya ada penama yang tidak setuju atau tidak memberi kerjasama sepenuhnya.
7. Akhirnya tanah tersebut terbiar begitu sahaja. Masing-masing buat tak tahu dan enggan bertanggungjawab.
Bagaimana cara untuk mengatasi masalah ini?
Di sini saya gariskan beberapa cadangan yang mungkin boleh dilakukan:
I. Lantik seorang wakil kuasa (Power of Attorney – PA)
Lantik seorang wakil kuasa(PA) di kalangan penama tersebut yang boleh dipercayai yang akan dipertanggungjawabkan untuk menguruskan segala perkara berkaitan tanah tersebut.
Melalui cara ini semua penama akan tandatangan satu Surat Wakil Kuasa (PA) untuk memberi kuasa kepada wakil kuasa tadi untuk menguruskan urusan berkaitan tanah tersebut.
Pun begitu kuasa PA ini perlu diperhalusi dan dihadkan setakat mana yang perlu agar kuasa PA itu tidak terlalu luas sehingga menyebakan beliau salah guna kuasa termasuklah memindahmilikkan tanah tersebut kepada dirinya sendiri.
II. Semua penama jual bahagian masing-masing
Semua penama jual bahagian masing-masing kepada seorang atau 2 orang penama yang berkemampuan dan banyak wang yang akan membeli bahagian- bahagian tanah tersebut. Harga jualan sewajarnya mengikut harga pasaran semasa atau harga yang dipersetujui bersama.
Sekiranya PA telah ditandatangani, hanya penama yang membeli dan wakil kuasa sahaja yang akan tandatangan SNP dan Borang Pindah milik. Tak perlu lagi dapatkan tandatangan daripada semua penama. Pun begitu setiap penama wajar dimaklumkan sebelum proses jual beli dan pindah milik itu dilakukan.
Sewajarnya proses jual beli ini diuruskan melalui seorang peguam yang akan bertindak sebagai peguamcara urusan jual beli dan sebagai stakeholder untuk mengagih-ahihkan pembayaran harga jual beli kepada setiap penama mengikut bahagian masing-masing.
III. Tubuhkan koperasi atau syarikat anak beranak.
Tubuhkan koperasi atau syarikat anak beranak di mana tanah tadi akan menjadi aset kepada syarikat atau koperasi tersebut.
Melalui cara ini setiap waris akan diberikan sijil saham mengikut bahagian masing-masing dan tanah tersebut akan dimajukan atau diusahakan dengan sesuatu aktiviti yang dapat menjana pendapatan kepada syarikat atau koperasi tersebut.
Setiap setahun sekali, hasil keuntungan perniagaan daripada tanah tersebut akan dibahagi-bahgaikan kepada setiap penama mengikut bahagian saham masing-masing.
IV. Majukan tanah tersebut sebagai projek perumahan
Boleh juga majukan tanah tersebut sebagai projek perumahan sama ada melalui syarikat atau koperasi adik beradik yang ditubuhkan tadi atau boleh JV dengan pemaju yang dipercayai.
Jika majukan sendiri, boleh serah balik tanah tadi kepada kerajaan dan mohon dikeluarkan geran individu yang berasingan dan seterusnya boleh bina rumah atas tanah-tanah tersebut untuk dijual.
Hasil jualan sama ada akan dibahagi-bahgaikan mengikut bahagian masing-masing atau boleh dimasukkan sebagai pendapatan syarikat dan setiap penama akan dapat keuntungan setiap tahun hasil daripada pemajuan dan penjualan rumah rumah tersebut.
8. Walau apapun, ini hanyalah sekadar cadangan sahaja. Ianya mudah diperkatakan tetapi tidak mudah untuk dilaksanakan.
9. Perancangan yang teliti dan rapi serta sikap percaya satu sama lain dan saling jujur dan amanah di kalangan setiap penama dalam melaksanakan perancangan tersebut di atas amatlah diperlukan.
10. Sifat ego dan tamak haruslah dibuang jauh jauh. Jangan fikir untuk untang jangka masa pendek sahaja.
11. Yang penting, melalui cadangan ini masing-masing akan dapat keuntungan jangka masa panjang yang lebih besar dan berbaloi berbanding masing-masing berbalah soal berebut hak masing-masing terhadap bahagian masing-masing yang sekangkang kera tersebut.
Sumber: SALKUKHAIRI ABD SUKOR