Dengan adanya peralatan yang lebih canggih berbanding 10 tahun lalu, pasti ianya dapat membantu pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan terhadap sesuatu jenayah. Itu yang diharapkan oleh Jazimin Abdul Jalil, bapa kepada Allahyarham Nurin Jazlin terhadap kes anaknya.

Bapa mana yang tidak sedih melihat anaknya mati dibunuh namun pembunuhnya masih bebas entah di mana.

Menurut laporan Sinar Harian, Jazimin meletakkan harapan tinggi kepada pihak polis dan kerajaan untuk mengesan suspek yang membunuh anaknya. Kes pada 2007 itu berakhir dengan paparan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) seorang lelaki menaiki motosikal telah meletakkan beg sukan yang mengandungi mayat kanak-kanak perempuan itu.

Bapa dan keluarga selepas itu diminta mengecam mayat, namun enggan mengakui mayat kanak-kanak itu adalah anaknya. Ujian asid deoksiribonukliek (DNA) mengesahkan kanak-kanak yang dibunuh kejam itu adalah Nurin Jazlin.

 

Tolong buka semula kes

“Bukan saya seorang atau ibunya tetapi seluruh rakyat Malaysia sedang menunggu jawapan pihak berkuasa untuk tahu siapa pembunuh sebenar Nurin Jazlin,” katanya.

Bapa kepada empat orang anak itu, turut menggesa campur tangan kerajaan agar siasatan anaknya dapat dibuka semula.

“Kalau (Menteri Kewangan) Lim Guan Eng mahu buka kes Teoh Beng Hock, saya berharap kes anak saya dapat dibuka semula demi keadilan arwah dan keluarga saya,” katanya.

Jazimin berkata, dia bersedia memberi kerjasama terhadap siasatan kes anaknya itu demi mengenalpasti siapa pembunuh Nurin Jazlin.

Flash back 10 tahun lepas

Pada 20 Ogos 2007, Nurin Jazlin, 8, hilang selepas keluar ke pasar malam berhampiran rumahnya di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Usaha pelbagai pihak mencari Nurin di sekitar Kuala Lumpur dan negeri lain gagal menemui kanak-kanak itu.

Namun, selepas 27 hari kehilangannya, negara dikejutkan dengan penemuan mayat seorang kanak-kanak perempuan dalam sebuah beg pakaian yang ditinggalkan di sebuah premis perniagaan di Petaling Jaya.

 

Sumber: http://www.sinarharian.com.my/nasional/siasat-semula-kes-nurin-jazlin-1.856685

Tinggalkan Komen

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Dikendali Oleh Astro Group

error: