Menjadi rutin biasa setiap kali menjelang peperiksaan besar, pelajar akan datang bertemu guru untuk memohon maaf dan restu mohon menghalalkan ilmu yang diajar oleh guru.

Tapi acara memohon restu yang dirakam ini cukup istimewa sekali malah menyentuh hati ramai hingga tular di media sosial.

Dirakam oleh seorang guru bernama Duzaimah Kamarurin tanpa dirancang, video berdurasi hampir 10 minit ini memaparkan empat orang pelajar tingkatan lima cacat pendengaran atau pekak datang bertemu guru tersebut untuk memohon restu menghalalkan ilmu sebelum mereka menempuh peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Disampaikan dengan cara mereka tersendiri, sesi itu dimulai bila oleh pelajar Anas yang memohon Cikgu Duzaimah menghalalkan ilmu yang diperoleh. Ia diikuti dengan seorang lagi pelajar bernama Faiz yang turut memohon kemaafan dari guru tersebut.

Dalam sesi yang penuh dengan nasihat untuk para pelajar itu paling menyentuh hati ketika ini bila Faiz dalam bahasa isyaratnya mengatakan mahu menarik gurunya ke syurga di akhirat kelak. Malah dia menghargai jasa guru itu sampai akhir hayatnya.

Kata-kata itu tersebut untuk membuatkan guru yang membahasakan dirinya Cikgu Zimah itu menangis terharu malah memeluk anak murid tersebut.

Cikgu pulak minta maaf

Menariknya dalam sesi yang turut melibatkan dua lagi pelajar lain guru tersebut tak henti-henti memohon kemaafan dari anak muridnya itu selain meminta dihalalkan jika berlaku kekurangan selama dia mengajar.

Dia juga berulang kali memberitahu bahawa pelajar-pelajarnya itu tiada dosa dengannya kerana segalanya sudah dimaafkan.

Cukup mengenali sikap dan latar belakang setiap pelajarnya, Cikgu Duzaimah juga memberi nasihat yang berbeza buat mereka.

Malah berjanji akan terus membantu mereka walaupun sudah tamat persekolahan kerana perhubungan mereka akan kekal selama-lamanya.

Video yang mendapat banyak reaksi dari netizen ini, rata-ratanya sebak malah menitiskan air mata bila mendengar dan melihat aksi pelajar ini. Begitu juga bila melihat keakraban serta kemesraan guru ini dengan pelajarnya.

Dimuat naik oleh guru berkenaan dalam akaun Facebook, video yang melibatkan pelajar bernama Faiz dan Anas itu telah pun mendapat hampir sejuta tontonan sejak 3 November lalu.

Sumber:  دوزيمه كمارورر

 

 

Tinggalkan Komen

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Kumpulan Karangkraf

error: