Selepas tujuh hari kelahiran anaknya, semalam Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Datuk Khalid mengumumkan nama untuk puteri mereka.

Siti Aafiyah Binti Khalid nama diberi bagi menggantikan panggilannya Fatimah Az Zahra selama seminggu lalu.

Kata Siti nama itu dipilih bersempena doa yang diajarkan Nabi Muhammad SAW kepada bapa saudaranya, Al Abbas.Bermaksud segala yang baik-baik saja, ilham untuk nama tersebut tercetus ketika pasangan ini menunaikan umrah tahun lalu.

“Sepanjang di sana, saya sering mendengar doa berkenaan. Malah maksud Aafiyah juga merangkumi yang baik-baik saja.

“Sepanjang hamil, saya sering mendapat kiriman doa ini yang menyebut nama Aafiyah. Jadi, saya dan suami sepakat memilih nama ini,” kata Siti dalam majlis tahnik, cukur jambul dan aqiqah di kediamannya yang disempurnakan oleh Mufti Wilayah Persekutuan Datuk Dr. Zulkifli al-Bakri.

Sementara itu Datuk Khalid atau Datuk K, tidak berselindung dengan perasaannya yang terlalu gembira bila melihat hasrat isteri untuk bergelar ibu akhirnya tercapai.

“Happy sangat tengok hasrat Siti yang sekian lama nak jadi ibu tercapai. Perasaan saya bercampur baur, gembira, sedih kerana doa kami termakbul.

“Jika Siti menanti 11 tahun, saya menanti lebih lama hampir 18 tahun untuk dapat anak perempuan.

“Sebenarnya selepas rumah ini siap semua anak ada bilik masing-masing dan ada bilik disediakan untuk anak perempuan. Selepas sekian lama baru sekarang ia dihuni,”ujar Datuk K.

Hilang sakit bila anak depan mata

Dalam majlis itu juga Siti berkongsi pengalaman bersalin dan detik detik yang dilalui selepas tujuh hari bergelar ibu.

“Inilah impian dan doa saya yang menjadi kenyataan. Dulu usap-usap perut kini dah ada depan mata. Syukur kerana dia dilahirkan sempurna.

“Pengalaman melahirkan setiap wanita itu berbeza. Saya sendiri kehilangan banyak darah waktu bersalin tapi dengan kecekapan doktor yang merawat saya dapat dipulihkan.

“Saya ditahan satu hari di wad bersalin dan hari ketiga alhamdulillah saya dah boleh berjalan. Walaupun bersalin secara caesarean saya kuatkan diri dan semangat.

“Saya tak boleh terlalu takut untuk berjalan walaupun tahu ada luka. Tapi bila lihat bayi depan mata hilang segala sakit,”ujarnya.

Menantu ajar cara susukan bayi

Biarpun mengambil khidmat penjagaan berpantang Natalis ujar Siti dia turut dibantu oleh ibu dan juga ibu mentuanya. Malah turut mendapat sesi nasihat penyusuan istimewa dari menantunya Tya Ariffin.

“Saya bertuah ada ibu dan ibu mentua yang tinggal bersama. Saya ambil petua dari mereka. Tapi saya rasa cabaran besar selepas melahirkan adalah untuk susukan anak.

“Ya Allah, bukan senang. Tapi bila fikir mak saya boleh susukan lapan orang anak, kenapa saya seorang anak saja nak mengeluh.

“Saya juga bersyukur menantu banyak tolong saya dalam hal penyusuan. Dia beri tunjuk ajar apa yang perlu saya buat, apa yang perlu saya makan, pasangkan mesin dan sebagainya.

“Dia macam cikgu. Selalu mak yang ajar anak untuk susukan bayi, saya special sikit, menantu yang ajar,”ceritanya.

Cuma tidur tiga jam

Akui Siti lagi selama menjadi ibu, dia juga sudah mula berjaga malam untuk menjaga dan menyusukan bayinya.

“Macam hari ini saya cuma tidur 3 jam saja sebab anak saya jenis yang siang tidur malam berjaga.

“Semakin dia membesar, dia makin kerap nak menyusu badan. Jadi sebagai ibu kena berkorban, sebab nak anak kita sihat,”ujarnya.

Siti selamat bersalin pada 19 Mac lalu secara pembedahan. Aafiyah dilahirkan dengan berat 3.55kg di Hospital Glen Eagle, Kuala Lumpur. Berita kelahiran anak penyanyi nombor satu tanah air ini disambut gembira oleh netizen.

 

Sumber: Siti Official Video

 

 

 

Tinggalkan Komen

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Dikendali Oleh Astro Group

error: