Sejak semalam banyak perkongsian tentang imej model dan pelakon terkenal satu ketika dulu Natasha Hudson yang berniqab. Lebih dari itu sebenarnya ramai yang mahu tahu tentang cerita di sebalik penghijrahan dirinya.

Perkongsian yang dipetik pada akaun tumblr beliau yang diterjemah dalam bahasa Melayu ini menceritakan segala-galanya. Ternyata hijrahnya penuh suka duka.  Semoga beliau istiqamah dan kisah ini memberi inspirasi buat wanita lain yang dalam usaha melakukan hijrah.

Saya rasa bagai dilahirkan semula

Mungkin ada terfikir atau ramai yang tertanya-tanya apa yang terjadi kepada saya? Pada saya hidup adalah suatu perjalanan mencari diri sendiri. Dunia adalah  dugaan untuk kita. Allah mahu hamba-Nya benar-benar pasti dan bahagia. 

Allah memberi banyak peluang kepada kita. Ramai yang tidak tahu bahawa saya pernah mengenakan niqab sebelum ini semasa proses hijrah. Kecuali anda yang mengikuti akaun instagram lama saya. Namun saya tidak lagi memakainya sejak setahun lalu. Selepas hijrah pada tahun 2012 dulu, saya mengambil inisiatif untuk menyambung pelajaran. Saya mengambil diploma dan ijazah dalam Pengajian Islam.

Mendekati agama telah membuka mata saya. Saya rasa seperti dilahirkan semua. Saya mula mencintai agama dan menjadi ekstrim serta ketagih untuk mempelajarinya. Saya menghadiri semua kelas, kursus dan seminar agama yang ada. Saya jadi sangat dahagakan ilmu pengetahuan.

Saya turut mempengaruhi orang di sekelilingnya. Namun, bukan semua tertarik untuk mengikut jalan yang sama seperti saya. Tapi tak mengapa. Saya katakan pada diri tak perlu buang masa lagi. Hidup ini singkat dan saya mesti buat yang terbaik untuk saya dan mereka yang disekeliling saya.

Hidup saya ibarat roller coaster. Datang dari perkahwinan campur dan keluarga yang bercerai berai. Saya anak sulung yang terpaksa berdikari mencari wang dalam dunia hiburan dan glamour, pernah dilanda kontroversi kerana bercerai di usia muda, pernah menjadi ibu tunggal, memperoleh wang yang banyak daripada kerjaya dalam dunia hiburan tapi ke semua itu tidak membawa saya ke mana-mana kecuali kekosongan yang bersarang di dalam diri.

Dia memberi hadiah yang tak pernah saya terima

Saya sekali lagi berkahwin dengan lelaki yang telah dikenali sejak zaman remaja.  Kami mengenali antara satu sama lain selama 3 tahun sebelum berkahwin. Dan ketika itu saya masih lagi tidak pasti dengan keputusan yang saya buat. Tapi rancangan Allah lebih besar.

Suatu hari sebelum kami berkahwin dia memberi saya hadiah yang tidak pernah diberi oleh sesiapa pun kepada saya sebelum ini. Tiket penerbangan ke tempat yang paling indah di dunia. Saya mahu bertaubat dan menyembuhkan luka-luka lama dari masa silam. Ia adalah tempat yang betul-betul ingin  saya kunjungi iaitu Makkah dan Madinah Al Munawarah.

Dia pergi dahulu ke tanah suci dan saya menyusul. Itu merupakan peluang untuk kami mencari petunjuk Allah kerana kami berdua memang mahukan jawapan. Alhamdulillah, tidak lama selepas pulang dari tanah suci kami berkahwin dalam satu majlis ringkas yang diadakan di masjid dan dihadiri oleh keluarga
dan rakan-rakan.

Kami mempunyai 3 orang cahaya mata dan hingga sekarang dia tidak pernah putus asa untuk membimbing saya. Dia tak pernah berhenti mendorong dan mengingatkan saya. Dia mahukan kehidupan yang baru dan keluarga yang mendapat panduan yang betul.

Pernah hilang kawan, hilang kerja

Hijrah bukannya mudah. Saya dapat kawan baru, hilang kawan dan pernah hilang kerja. Kita fikir orang sekeliling kita baik dan semuanya sempurna tapi percayalah kita semua sakit dan jiwa kita perlu dirawat. Terlalu banyak ujian yang menimpa dan saya terpaksa mencari petunjuk Allah berulang kali. Iri hati, cemburu dan tamak adalah sifat yang membunuh manusia. Saya mahu menjauhkan diri dari segalanya yang mencemarkan.

Saya katakan pada diri bahawa kadang-kadang kita perlu bersendirian. Ia adalah cara terbaik untuk mencari ilmu dan kepastian tentang diri kita. Kita perlu merawat hati kita sendiri.  Beberapa kali saya meninggalkan chat grup yang saya sertai untuk mengasingkan diri dan kawan-kawan mungkin tertanya apa yang terjadi pada saya sekarang.

Sukar untuk saya jelaskan apa yang saya lalui. Secara mental dan fizikalnya, ia mengambil masa untuk menjadi seorang Muslim yang sempurna. Hijrah itu pengalaman yang berlaku setiap hari. Saya dikelilingi orang bijak pandai dan insan-insan hebat yang membuatkan saya mahu lebih ke hadapan. Semakin banyak ilmu yang ditimba, semakin saya ingin mengasingkan diri dari semua orang dan meninggalkan segala hal-hal duniawi.

Saya rasa seperti mahu meninggalkan kerja dan bisnes saya. Saya letih dengan kecantikan dan perhatian dari orang lain. Saya juga berasa penat mencari wang sehinggalah satu hari saya mengambil keputusan untuk memakai semula niqab dan terus mencari Allah. Keputusan itu memang mengejutkan. Saya harus membiasakan diri dengan batasannya.

Ia merupakan medan perjuangan buat saya kerana ada kalangan yang rapat  memanggil saya Wahabi dan saya di diskriminasikan tapi saya tak peduli. Saya lakukan ini kerana Allah dan Dia tahu apa dalam hati saya.Itu yang penting. Sebenarnya saya sudah penat dengan pandangan orang ke mana-mana saya pergi. Mereka berbisik nama saya dan mengambil gambar. Saya cuma mahukan privacy.

Tak lama kemudian saya hamil anak ketiga dan ketika ini saya berdepan dugaan paling besar. Saya perlu ke kelas setiap hari, kepenatan dan emosi mula tidak stabil. Saya jadi cepat marah, stres dan tak sanggup lagi mengenakan niqab. Lama kelamaan saya semakin jauh dan satu tahap saya menanggalkannya. Ketika itu iman saya di tahap yang rendah.

Saya takut pada banyak perkara. Saya jadi tidak yakin dan kembali pada kehidupan lama dengan khimar tanpa niqab. Pada masa itu saya tak takut lagi pada perhatian orang lain, saya jadi lali. Selama lebih setahun membesarkan anak-anak saya diuji. Saya rasa kehilangan. Saya mencari dan saya kembali kepada dunia fesyen blogger. 

Adakah ini petanda dari-Nya

Saya mahu mencari sumber kewangan untuk famili. Saya mulakan bisnes dan saya berjaya. Ia menyeronokkan tapi tak memberi kepuasan. Sekali lagi tertanya-tanya adakah ini petanda dari-Nya. Saya mohon jawapan. Kata suami, berdoalah banyak-banyak. Walau pun begitu, saya tidak berhenti dari pergi ke majlis-majlis agama. Saya mahukan jawapan dan mahukan asas yang kukuh. Saya juga mahukan kerjaya yang lebih baik.

Ketika itu saya rasa seperti mahu mengajar. Saya sukakan kanak-kanak. Tapi saya tidak mendapat peluang itu lagi. Pada masa yang sama saya tidak sihat beberapa bulan kebelakangan ini. Ia memberi kesan kepada mental dan fizikal saya. Saya rasakan hijrah itu telah hilang dalam diri saya. Saya tak tahu apa yang berlaku kepada diri saya dan meletakkan segalanya pada ketentuan Allah.

Apabila perkara yang kita rancang dan harapan tidak menjadi seperti yang kita mahukan ia buat saya terfikir. Apa sebenarnya yang saya cari. Kenapa semua ini terjadi kepada saya. Kesedihan dan kemurungan yang saya lalui selepas melahirkan anak ketiga menyedarkan saya tentang apa yang berlaku. Saya kepenatan dan hilang kekuatan serta semangat. Title 'supermom' yang saya pegang dulu entah ke mana.

Saya tak dapatkan rawatan atau terapi kerana saya bimbang bosan dengan ubat-ubatan dan juga kos rawatan yang mahal. Tapi saya ada bercerita tentang apa yang saya alami dengan rakan-rakan. Saya cuba jadi kuat, tenang dan meletakkan sepenuh kepercayaan kepada Allah SWT. Dan al Quran menjadi ubat saya.

Teringin berniqab semula

Beberapa bulan lalu saya teringin untuk memakai niqab kembali. Saya banyak membaca buku tentang niqab, sejarahnya, tentang agama, nabi dan sahabat-sahabat baginda. Baru-baru ini seminar Nouman Ali tentang Aisyah dan pendedahan berkaitan hijab memberi inspirasi kepada saya. Saya bertuah di kelilingi dan dipertemukan dengan rakan-rakan baru yang berniqab.

Mereka sungguh cukup mengagumkan saya, cukup tenang. Semua ini petunjuk seakan dari-Nya. setiap surah yang saya dengar atau kelas yang saya hadiri ada mesej tersendiri. Seperti ia ditujukan untuk saya. Saya merasakan Allah memanggil saya kembali, memberi saya petunjuk. Saya kembali mendalami agama,
cuba membetulkan bacaan dan memahaminya.

Saya cukup berterima kasih dengan ustazah dari Syria yang banyak membantu dan  cukup sabar dengan saya. Saya juga seperti sebelum ini membawa anak ke kelas, mereka perlu didedahkan sejak awal. Saya mula rasa tenang dan dekat dengan Quran. Bacaan saya semakin baik. Saya tidak lagi stres tentang apa yang berlaku. Dari situ saya mula mengajar Sirah, Pengajian Islam, hadis dan hafazan ringkas kepada kanak-kanak.

Allah sebaik-baik perancang

Saya pergi ke rumah mereka yang memerlukan khidmat saya. Saya bahagia apabila segalanya berlaku seperti yang sepatutnya. Saya mula merasakan ingin kembali memakai niqab beberapa hari lalu dan dengan ketentuan-Nya saya telah ditawarkan untuk mengajar kanak-kanak serta tawaran-tawaran lain juga yang datang secara tiba-tiba.

Allah adalah sebaik-baik perancang, kini saya mendapat semua jawapan saya cari. Saya dapat peluang mencari diri dan mengenali diri saya yang sebenar. Saya gembira dengan keputusan ini. Anak-anak menyokong keputusan saya terutamanya puteri sulungnya yang berumur 8 tahun. Dia ternyata rindukan saya yang berniqab dan dia juga mahu memakainya. Insya-Allah.

Saya mengharapkan doa daripada semua yang membaca kisah ini dan menjadi inspirasi kepada wanita-wanita di luar sana agar mengambil satu langkah pada satu masa untuk berhijrah. Bacalah Quran, belajar sebanyak mungkin tentang agama dan kembali kepada realiti. Kita tidak perlu menggembirakan orang lain kecuali Pencipta kita.

Sumber http://natashahudsonshares.tumblr.com

 

KOMEN
Artikel Berkaitan