Sejak minggu lepas lagi video parodi Kak Girl melakukan aksi lip sync  mendapat perhatian ramai.  Menghayati lagu yang 'disampaikan' sambil pelbagai mimik muka dan menari tak dinafikan ramai terhibur dengan gelagatnya.

Sebab itulah juga video Kak Girl atau nama sebenarnya Nur Amira Maslan mendapat banyak perkongsian dan tular di laman sosial.

Tapi dalam ramai yang merasakan ia lucu hingga mendapat gelaran sebagai Penghubur Alam maya ada juga yang mengecam dan mempersoalkan motif dia berbuat sesuatu yang dianggap memalukan diri. Sengaja cari publisiti murah, tak malu ke buat aksi begitu? Ini antara komen orang ramai.

Malah suaminya, Mohamad Hafizi Marzuki, 25 yang turut terbabit dalam video itu tak ketinggalan menjadi mangsa. 'Suami dia tak marah ke bini buat macam tu', soalan sedemikian juga antara reaksi netizen sewaktu menonton parodi Kak Girl.

Menjelaskan perkara tersebut, kata Kak Girl keluarga dan suami tidak pernah menghalangnya untuk melakukan aksi ‘lip sync’ di laman sosial. Malah mereka menyokong hobi kegemarannya itu yang sudah dipraktikkan sejak kecil lagi.

"Sejak kebelakangan ini, banyak video saya yang dimuat naik ditemani suami di sebelah. Ramai yang geli hati dengan reaksi suami saya yang seperti tidak ada perasaan dengan gelagat saya, tetapi itulah dia yang sebenar.

"Dia memang seorang yang susah untuk ketawa tetapi dia tidak kisah terbabit dalam video ‘lip sync’ saya," katanya.

Saja Tunjuk Bakat

Bercerita tentang aktiviti merakam dan memuat naik video parodi ini kata Kak Giri, 28  pada mulanya ia hanya sekadar untuk suka-suka namun selepas beberapa video menjadi tular, dia mempunyai pengikut yang gemar membuat permintaan untuk persembahannya.

"Sejak di bangku sekolah lagi saya suka menonjolkan bakat yang saya ada dan bermula dari itu pelbagai pengalaman yang saya lalui seperti menyertai pertandingan, terima tawaran berlakon iklan dan juara cabaran ‘lip sync’ di sebuah stesen radio tempatan.

"Selepas menang cabaran itu tahun lepas, saya mula aktif untuk video ‘lip sync’ di media sosial dan tidak sangka ramai yang memberi reaksi positif serta menerima ribuan perkongsian di laman sosial," kata anak jati Johor Bahru itu.

Menurutnya, terdapat juga pihak yang mengecam dengan tindakannya itu namun dia tidak kisah dan mengambil positif dengan reaksi orang ramai termasuk teguran serta nasihat yang diberi.

“Memang nampak seperti membuang masa, tetapi kita tidak tahu ada rezeki yang muncul selepas itu contohnya saya ditawarkan sebagai pelakon tambahan dalam filem tempatan yang bakal ditayangkan awal tahun depan.

“Saya menganggap melalui media sosial adalah saluran untuk saya tunjukkan bakat yang ada. Orang yang boleh terima, saya hargai," kata anak sulung daripada lima beradik itu.

Sumber: Harian Metro
 

Anda Mungkin SUka
KOMEN