7 Kegunaan Soda Bikarbonat Selain Buat Kek! Bantu Mudahkan Kerja Mak-Mak Di Rumah Juga

759

 

Berfungsi sebagai agen penaik, soda bikarbonat banyak digunakan dalam menyediakan kek, roti dan pastri.

Rasanya dalam kebanyakan rumah pasti ada soda bikarbonat atau pun dikenali juga dengan nama Baking Soda.

Tapi kegunaan soda bikarbonat ini bukan terhad untuk memasak kek, roti atau biskit saja, ia juga sangat berguna terutama sebagai bahan membersihkan kotoran di rumah.

Jadi jangan simpan untuk buat kek saja bahan ini, gunakan ia untuk membantu kita buat kerja rumah.

1. Bahan pencuci dapur

Soda bikarbonat boleh menjadi bahan pencuci yang efektif. Letakkan sedikit serbuk ini ke atas span atau kain basah untuk membersihkan mikrowave, peti sejuk, dan peti sejuk beku.

Selain itu ia sesuai dicampurkan dengan sabun untuk membuang kotoran gris, air teh, air kopi dan kotoran makanan pada kuali/periuk dan mencuci buah-buahan dan sayur-sayuran dan periuk.

2. Pencuci pakaian

Soda bikarbonat boleh membantu proses pencucian pakaian menjadi lebih mudah dengan melarutkannya ke dalam air atau tabur serbuk ini di atas pakaian atau di dalam mesin basuh.

Ia akan membantu melembutkan pakaian dan menyah bau pakaian. Dalam masa yang sama, ia boleh membantu membuang kotoran kuning, gris dan dakwat yang biasa ada pada bahagian tertentu pakaian seperti kolar, pergelangan tangan baju, dan pakaian dalam.

Jika pencuci dan peluntur yang digunakan belum cukup kuat untuk membersih, tingkatkan kuasanya dengan menambah soda bikarbonat semasa proses bilasan.

3. Bahan pembersih tandas

Ya, buat kali ketiganya, soda bikarbonat sesuai digunakan sebagai bahan pencuci tandas. Ada beberapa cara untuk mengaplikasikannya. Antaranya ialah dengan membancuhnya di dalam botol spray. Kemudian semburkan ia pada langsir mandian dan dinding untuk menyah kulat.

Boleh juga bancuh serbuk soda bikarbonat di dalam baldi yang penuh dengan air dan jirus ke dalam paip untuk menanggalkan kotoran degil dalam paip yang menyempitkan laluannya. Boleh juga menggunakannya untuk menyah kuman pada lantai tandas dan bilik air.

4. Pengilat barang berharga

Anda boleh juga membersihkan barang kemas, barangan perak dan aksesori besi, pinggan mangkuk dan kristal sehingga berkilat dengan bantuan serbuk soda bikarbonat.

5. Bersihkan kesan dakwat

Selain itu ia boleh menanggalkan kesan atau kotoran krayon, dakwat dan pen dakwat kekal (permanent marker) pada pakaian dan tangan.

6. Hapus bau

Soda bikarbonat juga berkuasa menghapuskan bau kurang enak dengan meneutralkan semula bau-bauan persekitaran dan barang. Letakkan sedikit serbuk ini ke atas kain basah atau tinggalkan ia di dalam cawan.

Ia boleh digunakan di dapur dengan menyah bau dan kuman pada papan pemotong, bau masakan di dapur, bau busuk daripada tong sampah dan  bau tangan selepas menyiang ikan. Selain itu, ia boleh hapuskan bau kasut, bau tilam dan bau urin binatang seperti kucing dan anjing.

7. Elak serangga

Masukkan serbuk soda bikarbonat dan sedikit serbuk gula halus. Gaulkan sekata. Anda boleh letak campuran ini pada laluan serangga seperti semut, dan lipas untuk menyahnya.

Banyak sungguh kegunaan soda bikarbonat ini, jadi kalau tak masak kek usah biarkan saja dalam almari gunakan untuk tujuan membersihkan kediaman pula. Tak membazir kan!

Sumber: The Vocket

Tinggalkan Komen