Salah satu tempat dalam rumah yang wajib kita bersihkan dan akan selalu buat kita geram adalah tepi tingkap. Selalunya inilah lokasi yang penuh dengan tahi cicak.
Bukan saja nampak kotor tapi baunya pun busuk. Bagi yang ada masalah ini di rumah boleh ikut petua daripada Roslina Hashim ini untuk menghalau cicak sekali gus menghindarkan dari masalah tahi cicak di lantai dan juga tepi tingkap.
Bahan-bahan yang diperlukan ialah:
- 1/3 cuka makan
- 1/3 air
- 1/3 cecair pencuci pinggan
Cara membuat:
Campurkan kesemua bahan-bahan diatas. Sembur di kawasan yang cicak suka bersembunyi terutama berhampiran dengan lampu.
Racun ini boleh juga digunakan untuk halau semut. Lepas semburan, cicak takkan lagi berani datang di kawasan yang telah di spray tadi. Semoga membantu.
Siapa Patut Pegang Geran Tanah Bila Ada Banyak Nama? Jangan Gaduh Adik Beradik Ini Solusinya
Selalu terjadi konflik antara adik beradik tentang siapa yang patut pegang geran tanah bila di dalamnya punya banyak nama. Ada yang sampai bermasam muka sebab takut nak beri adik beradik lain pegang.
Supaya masalah ini tidak berlarutan, Konsultan Guaman Tanah yang juga Pengasas E-Guaman Hartanah, Salkukhairi Abd Sukor memberi penjelasan tentang solusinya.
Isu kecil saja
Masalah ini selalu dihadapi oleh penama-penama dalam geran kongsi pemilikan bersama. Isu ini kecil je sebenarnya. Tapi disebabkan tiada ilmu, benda kecil pun boleh jadi bahan untuk berbalah satu sama lain.
Banyak saya dapati hanya satu pihak sahaja yang “konker” pegang geran. Bila orang lain nak pinjam geran untuk sesuatu urusan, bukan main kerek nya dia.
Konon takut geran hilang lah. Takut nanti tak pulang balik lah. Macam-macam alasan diberi nya. Macam lah geran tanah tu boleh bawak mati dalam kubur.
Tak perlu takut kalau tak pegang geran
Sebenarnya, isu siapa yang patut pegang geran tanah tu tak penting pun. Dan tak sepatutnya pun dijadikan bahan untuk berbalah.
Asalkan nama anda ada didaftarkan dalam geran tersebut sebagai pemilik berdaftar, dari segi perundangan hak dan kepentingan anda akan sentiasa dilindungi oleh undang-undang. Jadi apa nak takut kalau tak pegang geran sekalipun.
Tiada masalah kalau nak pindah milik/ jual tanah
Habis tu nanti kalau dia seorang saja yang pegang geran, kalau saya nak jual atau buat pindahmilik kepada anak saya macam mana? Banyak jugak yang tanya soalan ni.
Sebenarnya tak de masalah, kalaulah sekiranya pemilik bersama yang pegang geran tu tak kasi pinjam geran untuk anda uruskan urusan pindahmilik, anda sebenarnya boleh tulis surat kepada pejabat tanah memaklumkan yang anda ingin melakukan urusan pendaftaran pindahmilik tetapi pemilik bersama yang pegang geran tersebut enggan serahkan geran tanah asal tersebut kepada anda.
Pejabat tanah boleh arahkan pemilik bersama yang pegang geran asal tanah tadi menyerahkan geran tanah asal tersebut kepada pejabat tanah untuk tujuan di atas.
Boleh buat geran pendua jika enggan serah
Sekiranya pemilik bersama tadi enggan beri kerjasama, pejabat tanah boleh keluarkan GERAN PENDUA untuk membolehkan urusan pendaftaran pindahmilik tadi dilakukan.
Bukan itu sahaja, pemilik bersama yang degil tak nak serah geran tanah asal tadi boleh diambil tindakan undang-undang seperti didenda atau dipenjara.
Kemudian ada juga yang tanya. Tak boleh ke pejabat tanah keluarkan satu geran seorang kepada setiap pemilik bersama? Baru lah senang.
Dalam Kanun Tanah Negara menyatakan dalam satu masa, hanya satu Suratan Hakmilik Asal (Geran Tanah Asal) sahaja akan dikeluarkan untuk satu bidang tanah.
Ertinya, setiap satu tanah hanya akan ada satu geran asal sahaja. Dia tidak akan jadi 10 geran atau 20 geran untuk satu tanah, walaupun penama dalam geran itu melebihi seorang.
Jadi soal siapa nak pegang geran asal tu pakat-pakat lah anda selesaikan secara baik.
Amalan biasa, pemilik paling besar bahagian akan pegang
Dalam Kanun Tanah Negara tak de pun menetapkan syarat-syarat siapa yang patut pegang geran untuk tanah geran pemilikan bersama ni. Cuma dari segi amalan kebiasaannya, mungkin pemilik bersama yang mempunyai bahagian terbesar yang akan pegang geran.
Pun begitu ia tidak semestinya begitu. Boleh sahaja kalau nak dibuat penggiliran siapa yang pegang geran. Misalnya tahun ni Pak Abu pegang geran. Tahun depan Pak Karim. Begitulah seterusnya sampai semua pemilik bersama dalam geran tu merasa pegang geran asal tanah tersebut.
Boleh simpan di Pejabat Tanah
Tetapi kalau masih nak bergaduh jugak, simpan sahaja lah geran asal tanah tu kat pejabat tanah. Kalau korang nak tahu, Pejabat tanah ada sediakan perkhidmatan menyimpan geran asal bagi sesuatu tanah.
Cara ini lebih baik dan lebih selamat. Geran pun selamat. Tak payah nak bergaduh soal siapa nak pegang geran lagi.
Kalau mana mana pemilik bersama ada sebarang urusan nak buat berkenaan tanah tersebut seperti nak buat urusan pindahmilik bahagian dia kepada anak dia misalnya, boleh terus ke pejabat tanah dan petugas di pejabat tanah akan dapatkanya untuk anda. Selepas selesai urusan tersebut, pejabat tanah akan simpan dan jaga geran tersebut bagi pihak anda.
Inilah pentingnya ilmu perundangan hartanah. Kalau takde ilmu pasti semua tindakan kita akan berdasarkan emosi dan perasaan.
Jika faham undang-undang masalah tanah selesai dengan baik
Urusan tanah ni kalau nak selesai guna emosi dan perasaan, memang tak kan selesai lah jawabnya. Sebaliknya nak selesai kena ikut lah Undang-undang.
Undang-undang tanah di negara kita ni bukan semalam baru kerajaan gubal.
Dah ada sejak merdeka lagi. Jadi ia antara Undang-undang yang boleh dikatakan lengkap dan detail di negara kita. Pendek kata, jika anda faham undang-undang, insyaallah semua masalah berkenaan tanah akan dapat diselesaikan dengan baik.
Sumber: Salkukhairi Abd Sukor
Lelaki Ini Kongsi Cara Buat Gazebo Sendiri, Berbekal Carian Google & Panduan Tukang
Gazebo ini nampak macam hasil kerja tukang berpengalaman ini tapi hakikatnya ia dibina oleh Abu Kasim Md Jani yang hanya berbekalkan carian di Google dan panduan dari tukang.
Namun dek kerana nekad akhirnya terhasil gazebo seperti yang diinginkan. Bagi yang nak cuba, perkongsian beliau boleh dijadikan rujukan.
DIY gazebo, beranikan diri buat
First time buat gazebo. Asalnya kawan bagi tiang 4 batang, nekad buat saja. Memang puas tanya tukang, tengok gazebo orang dan Google. Beranikan diri jer buat.
1.Penyediaan tapak, tambak dan ratakan tanah.
2.Buat tapak. Tiang batu beli 2 batang, potong dua.
3.Tegakkan tiang, letak saja kayu atas tiang batu. Tapi pada batu bubuh puting besi 2 inci masuk ke tapak tiang supaya tiang kayu tak bergerak.
4.Buat rangka bumbung. Pasang bahagian bawah dulu. Sampai atas nanti pasang tongkat supaya tak bergerak.
5.Buat lantai. Skirting bawah guna papan biasa kemudian potong buat design. Dah siap lantai sapu minyak guna Timbertone tapi saya campur sikit cat hitam untuk bagi gelap lagi.
6.Pasang kipas dan lampu (upah kawan). Buat siling. Kalau nak senang cat putih siling asbestos 2×4 tu. Letak sebelah atas baru paku dengan kayu gegulung untuk bubuh genting.
7.Siap. Papan bunga kat sisi tu pun buat sendiri. Sekarang baru tahu mengapa orang buat gazebo tak buat bumbung nasi lemak. Sebab banyak pakai genting, rabung dan muncung itik kat hujung tu.
Ini hasilnya gazebo ukuran 8×8 bermodal RM3k, lagi jimat dari upah orang buat.
Terbaru dah ada penambahan tangga dan lantai.
Selamat mencuba.
Sumber: Abu Kasim Md Jani
Wanita Ada ‘Misai’ Praktik 5 Cara Mudah Untuk Hilangkannya
Disebabkan hormon, ramai wanita yang ditumbuhi bulu halus di atas bibir. Ada sesetengahnya ketara sampai nampak macam misai.
Masalah ini juga boleh menyebabkan wanita malu nak jumpa dan berbual dengan orang . Automatik rasa kurang keyakinan diri.
Tapi jangan biarkan masalah terus merunsingkan hati dan fikiran. Praktikkan lima cara ini untuk hilangkan misai atau bulu halus atas mulut.
1. Serbuk Kunyit
Ambil dua sudu teh serbuk kunyit dan dua sudu teh susu segar. Campur keduanya hingga jadi pes. Kemudian sapu di bahagian atas bibir.
Bila sudah kering, bilas dengan air bersih. Tapi cara ini mungkin akan meninggalkan warna kuning di atas bibir.
2. Tepung Kosong
Cara ini sama dengan petua di atas. Campurkan tepung gandum dan susu. Bancuh dan sapu atas bibir tu. Setelah itu, kopek dan tarik sisa tepung yang telah kering di kawasan tersebut.
3. Gula dan Lemon
Cara ini bukan sahaja boleh hilangkan bulu halus atas bibir, tapi juga boleh mencerahkan kulit. Pertama sekali panaskan gula dalam kuali kemudian masukkan jus lemon supaya air jadi likat.
Sapukan campuran pada bahagian atas bibir. Biarkan beberapa ketika sebelum menekannya dengan kain yang bersih.
Urut kawasan tersebut dengan gerakan membulat sambil kain tersebut ditarik ke arah bulu-bulu halus itu tumbuh (untuk menarik keluar bulu dari akarnya).
4. Putih Telur
Ambil putih telur lalu campurkan dengan tepung jagung dan gula. Gaul sebati dan sapukan pes tersebut di bahagian berbulu halus. Biarkan selama 30 minit sebelum mengupas dan menariknya.
5. Skrub Madu & Aprikot
Cara ini juga boleh mengeluarkan sel kulit mati yang ada pada permukaan kulit sekali gus buat wajah bersih dan halus.
Campurkan buah aprikot kering bersama madu. Sapukan campuran di seluruh wajah anda dan tunggu sehingga 15 minit.
Buat gerakan membulat pada bahagian wajah yang mempunyai bulu halis dengan lembut. Sudah selesai bilas dengan air suam.
Selamat mencuba!