Cara Betul Bedakkan Bayi Lepas Mandi Supaya Tak Beri Kesan Pada Paru-paru Anak

2347

 

Sudah jadi rutin kebiasaan kaum ibu sejak dari dulu lagi tabur bedak pada bayi selepas mandi.

Kalau tak buat macam tak lengkap pula dan ada juga yang membuat tanggapan ibu yang tak ‘membedakkan’ bayi adalah ‘ibu pemalas’.

Tapi sebenarnya ramai ibu tak tahu penggunaan bedak pada bayi tidaklah digalakkan sebab ia boleh menimbulkan kemudaratan terutama buat bayi yang mempunyai masalah berat badan kurang.

Malah sebelum ini juga ada syarikat pengeluar jenama barangan bayi yang disaman akibat bedak yang digunakan dikatakan menjadi punca seorang wanita mengalami kanser ovari.

Namun untuk anak kecil, kesannya berbeza. Baca perkongsian daripada Dr Zubaidi Hj Ahmad tentang risiko penggunaan bedak pada bayi.

Elok ke guna bedak pada bayi?

Ramai para ibu yang menggunakan bedak pada bayi mereka selepas dimandikan. Tujuannya agar bayi menjadi lebih wangi, lebih segar dan bagi mengelakkan ruam pada kulit.

Namun begitu saya mencadangkan agar menggunakan bedak bayi dengan cara yang betul. Jika tidak bedak bayi boleh mendatangkan kemudaratan.

American Academy of Pediatrics tidak menggalakkan penggunakan bedak bayi kerana ia boleh mendatangkan masalah berkaitan dengan pernafasan.

Ramai para ibu yang tidak menyedari hal ini. Mereka tidak menyedari jika digunakan dengan banyak boleh menyebabkan bayi terhidu bedak ini.

Bahaya terhidu berterusan

Bedak merupakan partikel yang kecil dan halus seperti debu. Jika terhidu (walaupun sedikit) secara berterusan setiap hari, ia boleh menyebabkan batuk, selesema malah menyebabkan paru-paru mudah berlendir.

Terutama jika bayi mengalami masalah seperti berat badan yang kurang ketika dilahirkan, lahir pramatang, mengalami masalah pernafasan akibat masalah jantung dan paru-paru sejak lahir.

Malah ada kalanya bedak bayi boleh menyebabkan alahan pada kulit bayi kerana bedak itu memerangkap peluh pada kulit. Jika tidak dibersihkan segera ia akan menyebabkan bayi mengalami ruam dan rasa gatal.

Walaupun bedak bayi digunakan bertujuan untuk mengurangkan ruam dan alahan, ia harus digunakan dengan betul. Pilih bedak bayi yang sesuai.

Cara guna bedak yang betul

  • Pilih bedak bayi yang tidak memiliki bau yang terlalu kuat.
  • Jangan menepuk-nepuk bedak bayi menggunakan kapas atau puff powder, kerana dapat membuat partikel bedak berterbangan dan boleh menyebabkan senang masuk ke dalam rongga pernafasan.
  • Bila bedak bayi menyebabkan kemerahan dan rasa gatal pada bayi, atau menyebabkan bayi mengalami selsema dan batuk, hentikan penggunaannya.
  • Banyak lagi cara mengurangkan ruam pada bayi seperti menggunakan pakaian yang longgar dan lembut, dan perbaiki pengudaraan dalam bilik menggunakan kipas.

Kulit bayi sememangnya sangat lembut dan wangi. Mengapa perlu diletakkan bedak lagi?

Semoga bermanfaat.

 

Sumber: Dr Zubaidi Hj Ahmad