Jika suami atau anak kompelin kita ibu yang suka mendesak dan membebel, jangan ambil hati. Teruskan saja walaupun anak-anak mungkin rimas mendengarnya. Percayalah anak akan berterima kasih pada kita kemudian hari.
Sebabnya menurut kajian yang dikendalikan Universiti of Essex di England anak yang didesak ini berkemungkinan besar lebih berjaya berbanding anak daripada ibu yang tidak berbuat demikian.
Letak standard lebih tinggi
Sejak tahun 2004 hingga 2010 penyelidik telah mengikuti kehidupan 15,500 gadis remaja berumur 13 dan 14 tahun. Dari penelitian itu mereka mendapati anak dengan ibu yang suka mendesak selalunya meletakkan standard tinggi kepada anak dan lebih ramai anak ini berjaya melanjutkan pengajian ke kolej dan memiliki gaji besar.
Satu lagi bonus menjadi ibu suka mendesak ini,anak kurang terjebak dengan masalah sosial seperti hamil luar nikah. Jadinya punya ibu suka mendesak dan berleter ini ada kebaikannya. Mak-mak jadikan ini sebagai alasan kuat untuk terus membebel.
Sumber: Womansday
Teknik Goreng Ikan Untuk Dapat Hasil Ikan Goreng Yang ‘Juicy’, Rangup Di Luar, Lembap Di Dalam
Goreng ikan, semua boleh buat, macam senang kan. Tapi kalau tak tahu cara goreng ikan yang senang pun tak menjadi. Ikan melekat dan kering saja. Sudahnya bila sejuk ikan goreng pun keras.
Sebab itu kena tahu teknik cara untuk menggoreng ikan yang betul supaya dapat hasil gorengan yang cantik (tidak melekat pada kuali) dan ‘juicy’ (rangup di luar dan lembap di dalam).
Macam mana nak buat? Ikut penerangan ahli kimia Fatimah Salim ini. Menariknya ada sains yang perlu kita fahami di sebalik menggoreng ikan. Baru boleh dapat hasil gorengan ikan yang juicy.
Cara memasak & kawalan suhu
Ramai pasti tahu yang rasa ikan goreng dipengaruhi oleh jenis ikan, kesegarannya dan bahan perapannya. Tahukah anda rasa ikan goreng juga disumbangkan oleh cara memasak serta kawalan suhu semasa memasak?
Masalah yang sering timbul ialah untuk mendapatkan hasil gorengan yang cantik (tidak melekat pada kuali) dan ‘juicy’ (rangup di luar dan lembap di dalam). Mari kita selami sains disebalik menggoreng ikan ini.
Kenapa ikan melekat pada kuali apabila digoreng?
Ikan melekat pada kuali kerana permukaan ikan basah yang bersentuhan dengan permukaan kuali. Semasa mengoreng, api akan memanaskan kuali dan minyak.
Ikan yang bersentuhan dengan permukaan kuali lalu menyebabkan ikan terus mengering pada kuali dan menyebabkannya melekat. Keadaan ini akan menyukarkan proses menterbalikkan ikan dan sebahagian daripada isinya akan melekat pada kuali.
Bagaimana untuk mengelakkan ikan melekat pada kuali?
Untuk mengelakkan perlekatan ikan dengan permukaan kuali, panaskan minyak secukupnya (agak2 sehingga SEDIKIT berasap) kemudian masukkan ikan.
Disebabkan tidak larut bersama, perlanggaran antara molekul-molekul minyak dengan molekul-molekul air pada ikan akan menghasilkan bunyi gorengan yang kuat.
Minyak yang cukup panas ini akan menyebabkan air pada permukaan ikan meruap dengan cepat dan menjadikannya kering dan rangup. Maka, permukaan ikan yang bersentuhan dengan kuali tidak akan melekat.
Bagaimana untuk mendapatkan isi ikan yang juicy, ranggup di luar, lembap di dalam
Permukaan ikan yang rangup tadi akan menjadi selaput penghalang untuk air di dalam ikan daripada meruap seterusnya mengekalkan kelembapan (juiciness) dalam isi ikan.
Ikan haruslah dimasak SEKEJAP sahaja kerana struktur kimia ikatan protein isi ikan adalah longgar jika dibandingkan dengan daging ayam dan lembu. Maka ianya tidak memerlukan masa yang lama untuk dimasak.
Memasak ikan terlalu lama akan menyebabkan lembapan dalam isi ikan meruap, seterusnya menjadikan isinya keras. Ini sesuai untuk mereka yang sukakan ikan yang rangup dan garing.
Nota: Mereka yang menggunakan kuali kali lekat tidak akan mengalami masalah perlekatan semasa menggoreng kerana teknologi selaput pelinciran telah membantu.
Mudahnya, kena panaskan kuali sehingga meruap dan digoreng sekejap saja.
Sumber: Fatimah Salim
Harga Emas Dah Turun Tapi Mana Lagi Baik Beli Gold Bar Atau Barang Kemas
Harga emas dah turun, dah bolehlah kalau nak beli apa koleksi barang kemas yang berhajat di hati.
Tapi alang-alang dah turun elok juga beli gold bar untuk pelaburan. Jadi mana satu nak beli, barang kemas atau gold bar? Mungkin ramai yang dalam dilema ini juga kan.
Bagi membantu anda buat pilihan boleh baca perkongsian daripada Akhtar Syamir ini.
Gold Bar atau Barang Kemas? Yang mana saya patut beli?
Ini soalan yang sering saya dapat. Selalunya soalan begini saya akan balas dengan soalan pula.
Soalan pertama, nak beli emas untuk apa?
Jika untuk simpanan, kedua-duanya bagus. Beli emas tak pernah salah. Yang salah ialah ada duit tapi tak beli emas.
Jika untuk pelaburan, kedua-duanya juga bagus tetapi di dalam jangka masa yang panjang. Tidak semestinya 1 tahun. Kadang-kala 2 atau 3 tahun baru ada perbezaan.
Sebagai contoh sekarang apabila harga emas kembali turun. Ini bermakna, jika anda beli emas pada beberapa bulan yang lalu, anda masih belum untuk dari segi nilai duit.
Jika untuk perhiasan, orang yang senget sahaja akan pakai gold bar letak kat jari atau cuping telinga. Kalau nak buat loket mungkin tiada masalah, tapi macam takde erti. Jadi, untuk perhiasan terutamanya wanita, belilah barang kemas.
Soalan kedua, adakah anda lelaki atau wanita?
Jika anda seorang lelaki, satu soalan susulan saya perlu tanya. Adakah anda ada isteri atau tiada? Jika anda seorang suami, saya nasihatkan anda beli barang kemas. Bagi sahaja isteri pakai. Kenapa tidak beli gold bar?
Kerana barang kemas boleh beri apa yang gold bar beri, tetapi gold bar tidak boleh beri apa yang barang kemas boleh beri pada isteri iaitu kegembiraan, rasa dihargai, rasa cantik, rasa yakin dan segala rasa yang membuatkan senyuman dia meleret.
Ini bagi saya satu nilai bonus yang anda dapat apabila anda membeli barang kemas. Selain dapat menyimpan, anda juga dapat tengok pelaburan anda tergantung-gantung di sebelah sewaktu keluar atau di dalam rumah.
Jika anda beli gold bar sahaja, bagi saya anda sangat rugi kerana anda terlepas peluang percuma untuk menggembirakan isteri. Gold bar akan disimpan di dalam album dan diletakkan di suatu sudut. Mungkin sebulan sekali anda belek dan rasa puas hati kerana berjaya ada simpanan emas.
Tetapi apabila membeli barang kemas, kesannya setiap masa, setiap hari dan setiap ketika. Bayangkan masa isteri hulur nasi pun anda nampak pelaburan dan simpanan anda. Berkilau-kilau nasik lauk singgang ikan dengan budu anda. Hebat kan?
Takkan nak beli barang kemas je? Berapa banyak nak beli, jari ada 5 je, leher ada 1, pergelangan tangan ada 2, cuping telinga ada 2, pergelangan kaki ada 2 je. Kalau semua dah penuh, nak pakai kat mana?
Tak perlu risau bab tu, pandailah si isteri sesuaikan nak pakai yang mana, di mana dan masa bila. Tak salah pun ada pelbagai jenis dan rekaan. Belikan je kotak simpan barang kemas dan tengok simpanan anda semakin lama semakin memenuhi kotak.
Namun, ada para isteri yang “saya tak suka pakai emas”.Manusia kan diciptakan berbeza-beza? Tak salah pun kalau tak suka pakai emas. Kalau di kategori ini, selalunya orang sebegini tidak suka rekaan yang besar atau terlalu terperinci.
Jadi, nasihat saya beli barang kemas yang padu. Selalunya rekaan yang padu ini sangat ringkas tetapi berat. Contohnya rantai Gajah atau Dunhill yang padu. Beli sahaja satu yang 50 gram ke atas. Tak perlu dah nak beli yang cincin 20 bentuk untuk sampai ke 50 gram.
Ada juga yang gatal-gatal bila pakai barang kemas atau risau nak pakai emas. Ini ada dua pilihan. Sama ada beli juga barang kemas dan simpan, hanya pakai sekali sekala atau beli sahaja gold bar. Selesai masalah.
Mengenai soalan tentang jantina tadi. Jika anda seorang wanita pula, ada juga satu soalan susulan. Minat pakai barang kemas atau tidak? Jika ya, belilah barang kemas semampu yang boleh. Jika tidak, belilah gold bar dan simpan. Nak simpan dua-dua pun tiada masalah.
Soalan seterusnya, adakah anda seorang isteri. Jika ya, belilah barang kemas sebanyak yang boleh. Pakailah supaya anda sentiasa cantik, menarik dan gembira. Barang kemas juga boleh digunakan apabila keadaan memaksa.
Sama ada di masa yang memerlukan untuk membeli barang keperluan atau untuk membeli benda lain yang lebih penting. Ingatlah, emas sangat berguna dan sangat mudah dicairkan tak kira barang kemas atau gold bar.
Kemudian kita masuk pula bab Zakat Emas
Zakat Emas wajib dibayar apabila sudah sampai kadar uruf yang ditetapkan mengikut negeri. Ada dua kategori iaitu emas perhiasan (yang dipakai) dan emas bukan perhiasan (yang disimpan atau tidak dipakai).
Kadar uruf emas bukan perhiasan untuk seluruh negeri dalam Malaysia ialah 85 gram. Gold bar secara automatiknya masuk di dalam kategori emas bukan perhiasan. Jadi, jika anda ada gold bar seberat 100g, kali sahaja dengan harga emas semasa dan darab 2.5%. Dapatlah amaun zakat emas bukan perhiasan yang anda wajib bayar.
Untuk kadar uruf emas perhiasan pula berbeza mengikut negeri. Jika anda tanya mengapa, ini ada kena mengena dengan maksud uruf itu sendiri iaitu “adat kebiasaan”. Mungkin ada negeri-negeri yang sangat sinonim dengan emas, jadi kadar urufnya lebih tinggi berbanding negeri yang lain.
Untuk negeri Selangor contohnya, kadar uruf emas perhiasan ialah 800 gram. Jadi, apa yang lebih dari 800 gram itulah yang wajib dibayar zakatnya. Sebagai contoh emas perhiasan anda ada 900 gram, jadi 900 – 800 akan jadi 100 gram. Kali sahaja dengan harga emas semasa dan darab dengan 2.5%. Dapatlah nilai zakat emas perhiasan yang wajib dibayar.
Mudah bukan? Di sini saya senaraikan kadar uruf mengikut negeri. Ada kebarangkalian kadar ini ada pindaan, sila dapatkan kepastikan di pusat zakat negeri anda.
Selangor, Kuala Lumpur = 800g
Johor, Terengganu = 850g
Perak, Pahang = 500g
Negeri Semilan = 200g
Melaka = 180g
Kedah = 170g
Pulau Pinang = 165g
Sabah = 152g
Sarawak = 90g
Perlis = 85g
Kelantan = Tiada uruf
Kemudian masuk bahagian kepelbagaian. Dari segi mudah untuk menyimpan dan kepelbagaian pemakaian. Jika untuk perhiasan memang barang kemas paling mudah dipelbagaikan. Untuk kepelbagaian cara menyimpan, kedua-duanya mudah.
Untuk gold bar, boleh sahaja beli yang 1 gram. Harganya pun ikut harga semasa. Untuk barang kemas, ada sahaja cincin, subang atau charm yang beratnya kurang dari 1 gram.
Ada juga skim simpanan emas dari bank ternama yang boleh tambah ikut kemampuan dan anda tak perlu pegang emas pun. Ini pun boleh beli bawah 1 gram.
Jadi, yang mana satu patut beli? Tepuk dada tanya selera. Kedua-duanya tak salah jika anda mampu. Namun, saya secara peribadi lebih berminat untuk membeli barang kemas berbanding gold bar buat masa ini kerana ia memberi kebahagiaan dan kegembiraan buat isteri saya di samping dapat buat simpanan.
Yang penting, beli dan simpan emas. Bagus untuk simpanan, baik untuk pelaburan dan salah satu medium yang menggembirakan. Seperti yang saya kata sebelum ini. Beli emas tak salah, yang salah adalah apabila ada duit tapi tak beli emas.
Semoga dapat membantu anda membuat keputusan.
Sumber: Akhtar Syamir
Tanam Sendiri Timun Jepun, Di Balkoni Pun Menjadi! Pokok Tetap Subur Buahpun Segar Elok
Timun Jepun ini memang sedap. Ranggup dan sesuai jadi ulam. Lagi sedap dari timun biasa. Harganya pun lebih mahal.
Bagi yang ada hobi bercucuk tanam, bolehlah mencabar diri menanam timun Jepun ini seperti yang diusahakan oleh Asyraf Rahim.
Elok subur walaupun kali pertama menanamnya, paling menarik timun jepun ini ditanam di balkoni rumahnya saja. 45 hari dari semai benih dah boleh kutip hasilnya.
Beliau turut berkongsi kaedah penanaman yang dilakukan. Bagi yang nak mencuba boleh jadi perkongsiannya sebagai panduan. Paling penting penjagaannya.
Timun Jepun kebun balkoni
- Kaedah Hidroponik
- Benih F1 Green Eagle
- Media cocopeat+perlite (tanpa campuran tanah). Semai benih dalam cawan dulu, bila dah naik empat daun boleh alih ke pasu.
- Kaedah siraman, waktu mula-mula seminggu sekali. Bila dah mula berbuah, daun lebat, dua hari sekali. Kadang-kadang sehari sekali. Pasu yang digunakan ada floater sebagai water level indicator.
- Timun jepun ini jenis menjalar – saya pakai jaring trelis ikat pada railing balkoni.
- Baja AB kepekatan EC 1.5mS/cm, pH 6.6-6.8
- Forliar berjadual; Hydrogen Peroxide, Neem+Garlic Oil, Bactillus Subtilis, Kitosan, Trichoderma, Kristalon, Seaweed Solution.
- Tuaian -45 hari dari semaian benih, ke tuaian buah.
Kalau lihat dari penggunaan baja pun dah mencabar. Bagaimanapun kata Asyraf beliau banyak belajar ilmu tanaman ini di YouTube Bright Agrotech dan Hidroponikpedia dalam bahasa Indonesia. Tapi bila lihat hasil begini memang puas hati.
Semoga perkongsian beri manfaat pada yang suka bercucuk tanam.
Sumber: Asyraf Rahim