
Ibu Zahirah Macwilson, Maslinda Yusoff mendedahkan hubungan dengan salah seorang anaknya sudah lama renggang sejak Ogos 2024, sekali gus mengejutkan ramai pengikutnya di media sosial.
Menerusi satu hantaran di Instagram, Maslinda, 53, memaklumkan bahawa dia dan suaminya sudah beberapa kali turun ke Kuala Lumpur dalam usaha memperbaiki hubungan tersebut. Namun, segala ikhtiar yang dilakukan masih belum membuahkan hasil.
“Sebenarnya, hubungan saya dengan anak saya sudah tak rapat sejak Ogos 2024 lagi.
Dah berkali-kali saya dan suami turun ke Kuala Lumpur cuba memulihkan dan memperbaiki keadaan, secara peribadi dan melalui ustaz sebagai orang tengah, tetapi tidak diterima,” katanya.
Bagaimanapun, Maslinda tidak mendedahkan identiti anak yang dimaksudkan dalam perkongsian tersebut.
Menurut Maslinda, sebelum ini dia memilih untuk berdiam diri dan terus bersabar demi menjaga hubungan kekeluargaan.
Namun, keadaan berubah apabila dia menerima satu mesej WhatsApp daripada anaknya yang disifatkan sangat menyedihkan dan menggores perasaannya.
“Dah lama saya berdiam diri dan bersabar, tetapi bila dia WhatsApp saya semalam dan berkata sesuatu yang sangat menyedihkan dan menyakitkan hati saya, kesabaran saya terus hilang.
Semakin saya biarkan semakin melampau dan biadab. Sebab itu saya terus berkongsi dalam media sosial.
Saya tahu anak saya lebih takut kepada media sosial daripada kemurkaan Allah,” ujarnya.
Luahan tersebut mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan netizen yang bersimpati dengan situasi yang dihadapi oleh beliau.
Dalam hantaran sama, ibu Zahirah Macwilson itu turut meluahkan rasa kecewa terhadap apa yang berlaku dan memilih menyerahkan segala urusan kepada Allah SWT.
Beliau berharap segala doa yang dipanjatkan bersama suaminya ketika berada di Tanah Suci, termasuk di hadapan Kaabah dan ketika berada di Arafah, dimakbulkan.
“Semoga doa-doa kami di depan Kaabah dan di Arafah dimakbulkan.
Ya Allah, aku tidak berdaya lagi. Aku serahkan segala urusanku kepada-Mu, Ya Allah,” katanya.
Luahan itu turut menyentuh hati ramai yang memahami perasaan seorang ibu apabila berdepan konflik dalam keluarga.
Sebelum ini, Maslinda turut mencetuskan perhatian menerusi platform Threads apabila memberi bayangan bahawa dirinya dikenakan syarat tertentu untuk bertemu cucunya.
Dalam perkongsian terdahulu, beliau meluahkan rasa terkilan mengenai perkara tersebut, namun tidak memperincikan individu yang dimaksudkan.
Perkongsian itu sekali lagi mengundang pelbagai spekulasi dalam kalangan netizen, namun Maslinda kekal tidak menamakan mana-mana pihak secara terbuka.
Perkongsian ibu Zahirah Macwilson itu menerima pelbagai reaksi daripada orang ramai yang berharap hubungan anak-beranak tersebut dapat dipulihkan.
Menerusi ruangan komen, ramai menitipkan kata-kata semangat dan mendoakan agar segala urusan keluarga mereka dipermudahkan.
“Saya faham sangat. Jangan putus berdoa. Allah tak kejam,” tulis ibu kepada pelakon Anna Jobling, Ariz Arop.
Dalam masa sama, ramai turut berharap kemelut keluarga ini dapat diselesaikan secara baik kerana hubungan antara ibu bapa dan anak merupakan ikatan yang amat besar nilainya. Ramai juga mengingatkan agar orang luar tidak membuat sebarang andaian atau spekulasi memandangkan identiti individu yang dimaksudkan tidak pernah didedahkan oleh Maslinda.
Semoga segala salah faham yang berlaku dapat diselesaikan dengan penuh hikmah dan hubungan kekeluargaan kembali terjalin erat pada masa akan datang.