Siapa Yang Suka Kunyah Ais, Tolong Hentikan. Doktor Ini Jelaskan Bahayanya!

9660

 

Kalau minum minuman sejuk jadi tabiat kebanyakan dari kita mengunyah atau menggigit ais. Saja suka-suka tapi ramai tak tahu bahawa kita sedang merosakkan gigi sendiri.

Perkara ini dikongsi oleh Dr Muhamad Iqbal dari Medical Mythbusters Malaysia.

Sedang menjahanamkan gigi sendiri

Kalau anda seorang pemakan atau pengunyah ais tegar, anda sebenarnya sedang menjahanamkan gigi anda tanpa anda sedar.

Sikit-sikit gigi anda akan mengalami kehilangan struktur gigi yang bersifat mikro.

Makin banyak dan lama anda kunyah ais, makin banyak struktur gigi yang hilang.

Gigi berlekuk

Ini dinamakan “Abfraction”. Gigi anda akan berlubang tapi bukan berlubang macam tak gosok gigi tu. Gigi anda akan “berlekuk”, terutamanya di bahagian leher gigi.

Ini disebabkan oleh kesan trauma yang berpanjangan ke atas gigi anda akibat daripada kerap mengunyah sesuatu yang keras seperti ais.

Kesan daripada “abfraction” ini akan menyebabkan gigi lama kelamaan akan menjadi sensitif, dan jika tak dibendung, gigi boleh patah dan pecah kerana telah banyak struktur gigi yang hilang tanpa disedari.

Saluran saraf gigi mati mengejut

Mari saya ceritakan tentang makan ais ini. Saya pernah dapat seorang pesakit ni, mengadu gigi geraham dia pecah. Bila saya check, mulutnya bersih, gigi semua tak ada rosak kecuali yang pecah tu. Satu gigi je.

Dia memang ada tabiat mengunyah ais lepas makan-makan di kedai. Sambil berborak-borak dia ambil seketul ais dan kunyah. Lepas satu, satu.

Pecah gigi dia tu, sampai nampak saluran akar. Eh tak sakit ke? Dia jawab tak. Maknanya bukan sahaja gigi pecah, tapi saluran saraf mengalami trauma. Terus ‘mati mengejut’.

Jadi untuk rawat gigi dia, kena buat rawatan saluran akar (root canal treatment) dulu, baru tampal dan sarung gigi (crown).

Kepada yang suka makan ais, kurangkan dan berpada-padalah.

Dr Muhamad Iqbal
Doktor Gigi
Medical Mythbusters Malaysia.

Tinggalkan Komen