Ubah Suai Bilik Tidur 48 Jam, Bajet Cuma RM600 Tapi Hasilnya Memang Cantik & Beza Sangat!

3137

 

Walau pun kedudukannya terlindung tak nampak di pandangan orang luar, tapi kita mesti nak bilik tidur kelihatan cantik kan. Barulah tenang dan rasa relaks bila berehat.

Nak dapatkan bilik tidur yang cantik juga tak semestinya modal yang besar. Macam yang dilakukan Nur Diyana ini.

Menariknya dia mengubah suai biliknya dalam tempoh 48 jam dengan modal RM600 saja. Boleh tiru cara dia melakukannya.

Warna sama 10 tahun

Inilah bilik asal saya di rumah ibu. Dah 10 tahun warna bilik ni merah menyala dan pink pekat huhu. Bilik ni besar dan kami kongsi tidur bila adik beradik balik sebab tu letak dua katil queen. Memang hanya bilik tidur semata.

Walaupun tak ada rupa, katil sentiasa kemas ya huhu. Katil yang lagi satu tu saya tolak percuma je pada kedai perabot terpakai dan tilam tu pun semua angkut. 3 bulan lepas saya memang kosongkan bilik sy terus.

Beza kan lepas ubah suai!

Tadaaa… Ini lah keadaan bilik selepas. Siap ada ruang menonton sendiri. Saya tambah corak wainscoting guna masking tape saja sebab tak mampu nak upah orang buat hihi, mahal kan tapi teringin jugak nak ikut trend. Kod cat Silver Grey dan Owen jenama Acristar. Satu tong ada 7 liter. Dua tong saja saya guna untuk cat bilik ni.

Siap ada ruang menonton ya!

Close up. Itu pokok bunga segar ya, namanya Money Plants, memang saya pergi ke nursery untuk indoor plant. Besar tu baru RM30. Pasu saya guna tong sampah dari kedai Eco saje. Lepas buat beberapa bacaan, saya rasa pokok asli pilihan yang lebih bijak dan jauh lebih murah.

Cuma kalau ada anak kecil dan haiwan peliharaan kena consider dulu, buat bacaan, jangan sembarang beli sebab ada yang tak sesuai ya. Kerusi tu kerusi babah saya, tak termasuk dalam bajet ya.

Meja ni asalnya warna coklat, dan meja kopi. Tapi sayang nak buang elok lagi kan. Jadi saya tukar warna putih, maaf ada tak kemas sikit hihi.

Katil dah berusia 20 tahun

Katil yang ada dalam bilik ini usianya dah 20 tahun. Saya tak nak buang, sayang sebab kayunya masih kukuh, saya tukar warna saje.

Sekarang sudah warna putih! Cadar marble saya beli di igshop, saya sengaja terbalikkan. Bagi warna kelabu, yang sebenarnya coraknya penuh marble hehehe.

Ada tempat khas untuk solat

Almari ni saya jual pada pusat perabot terpakai. Meja tu yang saya cat putih semula. Langsir pun sedih tengok ha asal boleh.

 

Inilah rupanya kawasan tadi, tanpa almari, nampak lebih luas kan? Saya sengaja pasangkan tirai dari Ikea tu untuk lebih privasi gitu. So nak bersiap ke nak solat takde la orang terus nampak kita sebab bila bukak pintu bilik, dari tangga terus nampak kawasan ni.

Tak guna almari, pakai rak saja

Saya dah tak guna almari, saya guna rak ini saja, hanger besi dari Eco Shop saje. Kami adik beradik dah belajar jauh-jauh jadi balik rumah ibu bila cuti saja. Baju tak banyak, praktikal la open concept macam ni. Kalau nak buat kat bilik sendiri, sesuai untuk ada almari terus. Dari sudut lain. Tirai tu macam pembahagi ruang la gitu.

Tak beli barang mahal

Ini je rasanya investment yang mahal kot pada saya sebagai seorang student hehehe. Kedua-duanya dari HomePro. Meja ni saya beli masa tengah promo, harganya cuma RM139.90 saja.

Cermin tu saya guna cermin untuk tandas, sebab nak jimat space tak nak cermin besar (mahal). Since cermin ni boleh adjust in certain degree, jadi nampak dari kepala ke kaki hehehe!

Pokok hidup (Money Plant) dalam pasu eco shop warna senada.Dummy book tu saya beli banyak cuma RM0.50 sen satu masa clearance sale di Index Living.

Apa je yang tak ada kat Eco Shop ni? Tema Tropical Scandi pun ada, saya rasa sesuai, saya ambil lah!

Kisahnya saya beli kain langsir, dah nak jahit kain tak cukup. Tapi takpe bedal saje lah! Dari nagoya cuma RM7 semeter.

Wainscoting buat sendiri

Saya malas nak beli cat putih jadi saya spray je untuk buat wainscoting. Bila spray dah kering, saya tampal masking tape ikut cara yang pernah viral dulu, kredit tu Shafeq Bada atas perkongsian beliau.

Nampak la mewah sikit kan lepas dah dikemaskan? Walaupun guna bajet masking tape saje tapi masa nak kemaskan garisan tu semula lepas siap cat dan cabut masking tape lenguh juga la tangan hehehe.

Total bajet lebih kurang RM600

Inilah bajet penuhnya. Pricey juga pada saya sebab saya tukar cat, beli cadar dan langsir baru. Kalau encik/cik nak guna apa yang dah ada, mesti jauh lebih murah. Selamat mencuba!

Sumber: Nur Diyana

Tinggalkan Komen