
Rezeki yang dikongsi bersama orang sekeliling selalunya memberi makna yang lebih besar, lebih-lebih lagi apabila ia melibatkan perjalanan ibadah ke Tanah Suci.
Itulah yang bakal dilalui pasangan usahawan terkenal, Datuk Seri Aliff Syukri dan isterinya, Datin Seri Shahida Mohd Rashid apabila mereka bakal membawa seramai 60 staf serta rakan niaga menunaikan umrah tidak lama lagi.
Menerusi perkongsian di media sosial, Shahida meluahkan rasa syukur apabila mereka sekeluarga diberi peluang untuk berangkat ke Tanah Suci bersama kakitangan dan rakan niaga yang selama ini menjadi antara tulang belakang kejayaan perniagaan mereka.
Lebih menarik, rombongan kali ini turut disertai ahli keluarga kakitangan terbabit, sekali gus menjadikan perjalanan ibadah tersebut lebih bermakna buat mereka yang terpilih.
Sebagai persediaan sebelum berangkat, pasangan usahawan ini turut menganjurkan kursus umrah khas di pejabat D’Herbs baru-baru ini.
Langkah tersebut dilakukan bagi memastikan semua jemaah mempunyai ilmu dan kefahaman yang mencukupi berkaitan ibadah umrah. Persediaan awal seperti ini penting supaya perjalanan ke Tanah Suci dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan teratur.
Menurut Shahida, debaran untuk berangkat semakin dirasai memandangkan tarikh perjalanan mereka kini hanya berbaki kira-kira sebulan sahaja lagi.
“Bismillahirrahmanirrahim. Ya ALLAH, permudahkanlah urusan kami semua untuk kami ke Tanah Suci. Genap sebulan lagi mama, papa, kami sekeluarga dan 60 orang staf serta rakan niaga akan berangkat.
Hari ini kami semua menghadiri Kursus Umrah dekat pejabat D’Herbs. Ramai staf yang pertama kali nak pergi.
Nampak sangat terpancar keseronokan pada raut wajah mereka. Mama ni pun tak sabar tau nak pergi.
Semoga dipermudahkan semuanya, amin.”
Apa yang lebih menyentuh hati, ramai dalam kalangan staf yang bakal menyertai rombongan tersebut difahamkan pertama kali berpeluang menjejakkan kaki ke Mekah.
Bukan sekadar menanggung kos perjalanan, pasangan ini juga dilihat mengambil berat soal persediaan jemaah agar semua peserta dapat melaksanakan ibadah dengan sempurna apabila berada di Tanah Suci kelak.
Sikap pemurah Aliff Syukri dan Shahida dalam menghargai pekerja bukanlah sesuatu yang baharu. Sebelum ini, pasangan tersebut pernah menjadi perhatian ramai apabila menaja percutian mewah buat kira-kira 200 kakitangan ke Pulau Redang sebagai tanda penghargaan atas usaha dan komitmen mereka.
Perkongsian mengenai rombongan umrah tersebut menerima pelbagai reaksi positif daripada wargamaya. Rata-rata memuji sikap pasangan berkenaan yang sentiasa berkongsi rezeki dengan staf serta individu yang banyak membantu perjalanan perniagaan mereka.
Ada juga yang mendoakan agar rezeki keluarga ini terus bertambah dan dipermudahkan segala urusan kerana tidak melupakan kebajikan pekerja walaupun sudah mencapai kejayaan besar dalam dunia perniagaan.
“Ya ALLAH, Kau lipat gandakan rezeki Datuk Aliff dan Datin sekeluarga yang selalu kerja kuat bukan untuk mereka sekeluarga sahaja, tetapi selalu berkongsi rezeki dengan staf mereka. Seronok sangat tengok.
Untung semua yang terpilih pergi dan terpilih oleh-Nya.
Semoga mendapat umrah yang mabrur.”
Kisah ini memberi inspirasi bahawa kejayaan yang sebenar bukan hanya diukur melalui jumlah kekayaan yang dimiliki, tetapi juga bagaimana seseorang menggunakan rezeki tersebut untuk memberi manfaat kepada orang lain.
Semoga perjalanan Aliff Syukri, Shahida, ahli keluarga, staf dan rakan niaga ke Tanah Suci dipermudahkan dari awal hingga akhir. Diharapkan semua jemaah memperoleh umrah yang mabrur serta pulang dengan pengalaman dan pengajaran yang bermanfaat untuk kehidupan mereka.