Buat Kuih Semperit Cara Paling Senang, Guna 3 Bahan Saja Bakar Pun Atas Dapur Gas. Elok Cantik Bunganya

Share

Semperit antara kuih raya wajib ada di setiap rumah dan kebanyakan kita pun buat sendiri saja kuih ini.

Tapi bagi yang takde oven atau oven rosak jangan risau, tetap boleh buat kuih semperit atau kuih bunga Cina ini. Kuih ini juga kita boleh bakar atas dapur gas saja. Hasilnya bunga tetap elok cantik tak kembang atau tumbang.

Tapi pastikan ikut langkah dan resipi yang dikongsi oleh Noriza Awang Hamat.

Biskut semperit 3 bahan, bakar atas dapur gas

Oven sis rosak tapi teringin nak buat biskut jadi sis cuba pakai kuali je. Wow, cantik kejadiannya!

Biskut bunga Cina atau semperit ini guna 3 bahan saja iaitu;
1 paket tepung jagung (350gm)
1/2 cawan susu pekat manis
1 cawan Planta

Cara membuat;

1. Kacau dulu Planta dengan susu pekat kemudian masukkan tepung jagung. Uli manja guna tangan saja.Kalau adunan masih lembik tambah sedikit demi sedikit tepung jagung.

2. Bila adunan semperit dah siap, terap guna acuan. Sis guna acuan pecah 14.

Cara bakar kuih atas dapur gas:

1. Boleh guna pan, kuali atau periuk bertutup. Alas pelapik besi untuk sokong alas dulang serta dapur gas. Penutup kuali pastikan ada aliran udara supaya biskut naik cantik dan sekata.

2. Tak perlu letak air atau pasir dalam pan. Sebab dah letak alas pelapik besi sebagai sokongan untuk dulang biskut.

3. Sebelum mulakan kerja membakar, panaskan sekejap kuali dan alas pelapik besi dalam 10 minit, kemudian barulah letak dulang untuk bakar biskut.

4. Gunakan api paling kecil sepanjang proses membakar.

5. Sukatan masa membakar ikut jenis biskut, contoh biskut bunga Cina ambil 15 minit / sehingga kekuningan.

6. Tak perlu sapukan minyak pada dulang biskut.

Siapa cakap tanpa oven maka tiada biskut raya? Lepas ni boleh la buat sendiri biskut raya, tak ada dah ‘kuih tunjuk’.

Selamat mencuba!

Sumber: Noriza Awang Hamat

 

IKLAN