Buat Sendiri Laksam, Ini Cara Masak Lengkap Dari Kuah, Laksam & Sambal

Share

Hidangan laksam popular di pantai Timur tapi ramai saja dari negeri lain yang gemarkannya.

Kalau susah nak jumpa menu ini di kedai, kita buatlah sendiri. Untuk mudah, boleh ikut resipi lengkap yang dikongsi oleh Ameera. Cara masak dari kuah, laksam hingga sambal dan penyediaan sayur.

Cara buat kuah laksam

Bahan-bahan
8 ekor ikan kembung – rebus dan tos airnya

Bahan kisar
2 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
Sedikit halia

Bahan lain
2 batang serai-diketuk
Asam keping
Lada hitam
Garam & gula secukupnya
1 kotak santan 200ml

Cara membuat:

1. Kisar ikan rebus tadi. Nak senang boleh kisar kesemuanya tanpa asing tulang. Kisar sampai hancur.

2. Kemudian tuang ikan kisar dan tapis. Ketepikan.

3. Masukkan bahan kisar dalam periuk. Jangan letak minyak.

4. Masukkan serai dan asam keping. Masak sekejap.

5. Masukkan lada hitam dan tuang ikan yang dikisar tadi.

6. Tuang santan 1 kotak 200 ml. Tambah garam, gula secukupnya.Jangan masak lama santan takut pecah minyak. Tak cantik kuah.

7. Macam ni dah siap.

Cara buat laksam

Bahan-bahan:
1/2 cawan tepung gandum
2 cawan tepung beras (3 gajah)
Air 4 cawan.
1 sudu kecil garam

Cara membuat:

1. Bancuh tepung dengan air, memang cair tau. Jangan risau.

2. Masukkan garam. Gaul rata dan boleh letak dalam bekas.

3. Panaskan periuk kukus. Boleh guna penutup Tupperware, pinggan atau tudung periuk, janji leper (sediakan lebih dari satu). Tuang bancuhan rata.

4. Kukus. Bila nampak dah menggelembung itu tanda dah masak. Boleh keluarkan. Tuang bancuhan pada bekas penutup lain dan kukus.

5. Laksam yang dah masak tadi boleh gulung dan asingkan. Ulang sampai tepung tadi habis.

Cara buat sambal

Bahan-bahan
Cili padi- kepedasan
Garam 1 sudu kecil
Gula 1 sudu makan
4 biji limau kasturi

Cara membuat:

  1. Tumbuk cili bersama garam dan gula.
  2. Kemudian perah limau kasturi dalam cili
Bahan sayur

Kacang panjang
Bunga kantan
Taugeh
Timun
Kobis
Bawang

Hiris semua bahan ini dan letak dalam bekas.

Cara penyediaan

1.Boleh hidang kuah, laksam, sambal dan sayur.

2.Kerat laksam, masukkan dalam pinggan. Tuang kuah, letak sayur dan sambal.

3.Sedia untuk dimakan.

Selamat mencuba.

Sumber: Ameera

IKLAN