
Isi Kandungan
Toggle
Selain untuk masakan ramai yang tak tahu bahawa kunyit hidup berguna untuk mencegah dan merawat penyakit kanser dan juga beberapa penyakit lain.
Antara cara yang boleh kita lakukan di rumah adalah dengan menyediakan jus kunyit untuk dijadikan amalan. Berikut adalah kebaikan kunyit yang djelaskan oleh Dr Zubaidi Haji Ahmad dan cara mudah membuat jus kunyit sebagai langkah pencegahan penyakit kanser.
Kunyit boleh cegah kanser
Kunyit adalah antara bahan penting dalam masakan. Nutrien paling bermanfaat dalam kunyit ialah curcumin yang dapat merawat penyakit kanser dan nyanyuk.
Selain curcumin, kunyit mengandungi paras tinggi zat besi dan tahap sederhana vitamin B6 serta kalium. Semua vitamin dan mineral berkenaan adalah sebahagian daripada diet yang sihat dan seimbang.
Curcumin, bahan aktif dalam kunyit memiliki kandungan antioksidan dan dikatakan amat kuat seperti vitamin C dan E. Kunyit adalah agen antiseptik dan antibakteria semula jadi dan berguna dalam pembasmian luka serta kesan terbakar.
Rawatan untuk kanser payudara dan prostat
Antara penyakit kanser yang boleh dirawat menggunakan kunyit ialah kanser prostat dan payu dara. Bahan itu juga dapat mengurangkan risiko penyakit leukemia terhadap kanak-kanak.
Khasiat lain adalah boleh digunakan sebagai bahan antiradang, merawat masalah pencernaan dan hati, penyakit kulit serta luka. Kunyit juga boleh digunakan untuk menghalang proses penuaan dan membantu mengurangkan berat badan.
Dalam perubatan Cina, kunyit telah lama digunakan dalam rawatan kemurungan, melancarkan peredaran darah, menghilangkan kesan lebam dan darah beku. Bagi masyarakat Melayu, kunyit diminum sebagai jamu terutamanya oleh ibu selepas bersalin untuk mengecutkan rahim dan mencuci darah.
Cara buat jus kunyit
1. Ambil 2-3 inci kunyit hidup, bersihkan kulitnya.
2. Rendam kunyit selama satu jam dengan dicampur sedikit garam untuk membuang getah.
3. Kisar kunyit dengan lima gelas air. Tapis dan masukkan dalam botol kaca.
4. Jika terlalu pekat, tambah sedikit air lagi bersama asam keping atau asam jawa. Tambahkan sedikit madu atau gula kabong.
5. Simpan dalam peti sejuk. Minum suku cawan setiap pagi dan malam. Amalkan jus ini seminggu dua kali sahaja sudah mencukupi.
-Dr Norzaidi Zakaria. PERDIM
Sumber: Dr Zubaidi Hj Ahmad
Harga Emas Dah Turun Tapi Mana Lagi Baik Beli Gold Bar Atau Barang Kemas

Harga emas dah turun, dah bolehlah kalau nak beli apa koleksi barang kemas yang berhajat di hati.
Tapi alang-alang dah turun elok juga beli gold bar untuk pelaburan. Jadi mana satu nak beli, barang kemas atau gold bar? Mungkin ramai yang dalam dilema ini juga kan.
Bagi membantu anda buat pilihan boleh baca perkongsian daripada Akhtar Syamir ini.
Gold Bar atau Barang Kemas? Yang mana saya patut beli?
Ini soalan yang sering saya dapat. Selalunya soalan begini saya akan balas dengan soalan pula.
Soalan pertama, nak beli emas untuk apa?
Jika untuk simpanan, kedua-duanya bagus. Beli emas tak pernah salah. Yang salah ialah ada duit tapi tak beli emas.
Jika untuk pelaburan, kedua-duanya juga bagus tetapi di dalam jangka masa yang panjang. Tidak semestinya 1 tahun. Kadang-kala 2 atau 3 tahun baru ada perbezaan.
Sebagai contoh sekarang apabila harga emas kembali turun. Ini bermakna, jika anda beli emas pada beberapa bulan yang lalu, anda masih belum untuk dari segi nilai duit.
Jika untuk perhiasan, orang yang senget sahaja akan pakai gold bar letak kat jari atau cuping telinga. Kalau nak buat loket mungkin tiada masalah, tapi macam takde erti. Jadi, untuk perhiasan terutamanya wanita, belilah barang kemas.
Soalan kedua, adakah anda lelaki atau wanita?
Jika anda seorang lelaki, satu soalan susulan saya perlu tanya. Adakah anda ada isteri atau tiada? Jika anda seorang suami, saya nasihatkan anda beli barang kemas. Bagi sahaja isteri pakai. Kenapa tidak beli gold bar?
Kerana barang kemas boleh beri apa yang gold bar beri, tetapi gold bar tidak boleh beri apa yang barang kemas boleh beri pada isteri iaitu kegembiraan, rasa dihargai, rasa cantik, rasa yakin dan segala rasa yang membuatkan senyuman dia meleret.
Ini bagi saya satu nilai bonus yang anda dapat apabila anda membeli barang kemas. Selain dapat menyimpan, anda juga dapat tengok pelaburan anda tergantung-gantung di sebelah sewaktu keluar atau di dalam rumah.
Jika anda beli gold bar sahaja, bagi saya anda sangat rugi kerana anda terlepas peluang percuma untuk menggembirakan isteri. Gold bar akan disimpan di dalam album dan diletakkan di suatu sudut. Mungkin sebulan sekali anda belek dan rasa puas hati kerana berjaya ada simpanan emas.
Tetapi apabila membeli barang kemas, kesannya setiap masa, setiap hari dan setiap ketika. Bayangkan masa isteri hulur nasi pun anda nampak pelaburan dan simpanan anda. Berkilau-kilau nasik lauk singgang ikan dengan budu anda. Hebat kan?
Takkan nak beli barang kemas je? Berapa banyak nak beli, jari ada 5 je, leher ada 1, pergelangan tangan ada 2, cuping telinga ada 2, pergelangan kaki ada 2 je. Kalau semua dah penuh, nak pakai kat mana?
Tak perlu risau bab tu, pandailah si isteri sesuaikan nak pakai yang mana, di mana dan masa bila. Tak salah pun ada pelbagai jenis dan rekaan. Belikan je kotak simpan barang kemas dan tengok simpanan anda semakin lama semakin memenuhi kotak.
Namun, ada para isteri yang “saya tak suka pakai emas”.Manusia kan diciptakan berbeza-beza? Tak salah pun kalau tak suka pakai emas. Kalau di kategori ini, selalunya orang sebegini tidak suka rekaan yang besar atau terlalu terperinci.
Jadi, nasihat saya beli barang kemas yang padu. Selalunya rekaan yang padu ini sangat ringkas tetapi berat. Contohnya rantai Gajah atau Dunhill yang padu. Beli sahaja satu yang 50 gram ke atas. Tak perlu dah nak beli yang cincin 20 bentuk untuk sampai ke 50 gram.

Ada juga yang gatal-gatal bila pakai barang kemas atau risau nak pakai emas. Ini ada dua pilihan. Sama ada beli juga barang kemas dan simpan, hanya pakai sekali sekala atau beli sahaja gold bar. Selesai masalah.
Mengenai soalan tentang jantina tadi. Jika anda seorang wanita pula, ada juga satu soalan susulan. Minat pakai barang kemas atau tidak? Jika ya, belilah barang kemas semampu yang boleh. Jika tidak, belilah gold bar dan simpan. Nak simpan dua-dua pun tiada masalah.
Soalan seterusnya, adakah anda seorang isteri. Jika ya, belilah barang kemas sebanyak yang boleh. Pakailah supaya anda sentiasa cantik, menarik dan gembira. Barang kemas juga boleh digunakan apabila keadaan memaksa.
Sama ada di masa yang memerlukan untuk membeli barang keperluan atau untuk membeli benda lain yang lebih penting. Ingatlah, emas sangat berguna dan sangat mudah dicairkan tak kira barang kemas atau gold bar.
Kemudian kita masuk pula bab Zakat Emas
Zakat Emas wajib dibayar apabila sudah sampai kadar uruf yang ditetapkan mengikut negeri. Ada dua kategori iaitu emas perhiasan (yang dipakai) dan emas bukan perhiasan (yang disimpan atau tidak dipakai).
Kadar uruf emas bukan perhiasan untuk seluruh negeri dalam Malaysia ialah 85 gram. Gold bar secara automatiknya masuk di dalam kategori emas bukan perhiasan. Jadi, jika anda ada gold bar seberat 100g, kali sahaja dengan harga emas semasa dan darab 2.5%. Dapatlah amaun zakat emas bukan perhiasan yang anda wajib bayar.
Untuk kadar uruf emas perhiasan pula berbeza mengikut negeri. Jika anda tanya mengapa, ini ada kena mengena dengan maksud uruf itu sendiri iaitu “adat kebiasaan”. Mungkin ada negeri-negeri yang sangat sinonim dengan emas, jadi kadar urufnya lebih tinggi berbanding negeri yang lain.
Untuk negeri Selangor contohnya, kadar uruf emas perhiasan ialah 800 gram. Jadi, apa yang lebih dari 800 gram itulah yang wajib dibayar zakatnya. Sebagai contoh emas perhiasan anda ada 900 gram, jadi 900 – 800 akan jadi 100 gram. Kali sahaja dengan harga emas semasa dan darab dengan 2.5%. Dapatlah nilai zakat emas perhiasan yang wajib dibayar.
Mudah bukan? Di sini saya senaraikan kadar uruf mengikut negeri. Ada kebarangkalian kadar ini ada pindaan, sila dapatkan kepastikan di pusat zakat negeri anda.
Selangor, Kuala Lumpur = 800g
Johor, Terengganu = 850g
Perak, Pahang = 500g
Negeri Semilan = 200g
Melaka = 180g
Kedah = 170g
Pulau Pinang = 165g
Sabah = 152g
Sarawak = 90g
Perlis = 85g
Kelantan = Tiada uruf
Kemudian masuk bahagian kepelbagaian. Dari segi mudah untuk menyimpan dan kepelbagaian pemakaian. Jika untuk perhiasan memang barang kemas paling mudah dipelbagaikan. Untuk kepelbagaian cara menyimpan, kedua-duanya mudah.
Untuk gold bar, boleh sahaja beli yang 1 gram. Harganya pun ikut harga semasa. Untuk barang kemas, ada sahaja cincin, subang atau charm yang beratnya kurang dari 1 gram.
Ada juga skim simpanan emas dari bank ternama yang boleh tambah ikut kemampuan dan anda tak perlu pegang emas pun. Ini pun boleh beli bawah 1 gram.
Jadi, yang mana satu patut beli? Tepuk dada tanya selera. Kedua-duanya tak salah jika anda mampu. Namun, saya secara peribadi lebih berminat untuk membeli barang kemas berbanding gold bar buat masa ini kerana ia memberi kebahagiaan dan kegembiraan buat isteri saya di samping dapat buat simpanan.
Yang penting, beli dan simpan emas. Bagus untuk simpanan, baik untuk pelaburan dan salah satu medium yang menggembirakan. Seperti yang saya kata sebelum ini. Beli emas tak salah, yang salah adalah apabila ada duit tapi tak beli emas.
Semoga dapat membantu anda membuat keputusan.
Sumber: Akhtar Syamir
Buat Sendiri Sup Cendawan Berkrim Yang Pekat, Enak & Rasa Berlemak Ala Perancis

Sup cendawan berkrim ini selalu kita makan bila menikmati western food. Tapi selalu juga yang kita dapat tak kena dengan tekak. Sama ada cair, masin dan beberapa lagilah.
Kalau nak kena cita rasa elok sup cendawan berkrim ini kita buat sendiri. Jika buat ikut cara yang dikongsi oleh Siti Hazneza Abdul Hamid ini hasilnya insya-Allah sedap pekat, berkrim dan rasa lemaknya yang memang kena dengan selera.
Cara buat sup cendawan berkrim yang enak, pekat dan rasa lemaknya
Dahulu saya berniaga sup cendawan berkrim. Macam-macam bahan dan macam-macam kaedah saya cuba. Ada saya kongsi resipi dengan seorang guru dan beliau berikan komen yang membantu saya merombak lagi resipi.
1. Sediakan bahan;
-½ tin 450 g cendawan butang
-6 ulas bawang putih
Boleh guna cendawan butang segar atau campuran cendawan lain yang disukai. Saya elakkan mengguna cendawan shitake kerana rasanya yang terlalu kuat dan profil rasanya lebih Jepun berbanding dengan Amerika. Namun jika mahu guna cendawan shitake, tidak ada salahnya.
2. Panaskan 2 sudu makan marjerin/mentega.
3. Tumis cendawan dan bawang putih. Gunakan api perlahan dan biarkan sehingga cendawan ‘meletit’/ ‘meletup’ kecil (popping). Saya dapati dengan cara ini rasanya kurang ‘plastik’ dan lebih asli.
4. Tumis sehingga keemasan begini memadai. Jika terlalu garing, warna sup akan jadi lebih gelap.
5. Masukkan dalam pengisar (blender)
6. Tambah 2 – 3 sudu makan krim putar (bukan yang manis ya!). Jika banyak sangat rasanya sedikit muak.
Krim saya berketul di sini kerana saya simpan dalam tempat sejuk beku (frozen). Jika tiada krim, boleh guna susu segar, susu tepung atau susu sejat.
7. Tambahkan serbuk stok ayam (jika mahu), serbuk lada hitam dan garam.
8. Tambah secawan air.
9. Kisar sehingga halus.
10. Tuang semula ke dalam kuali/periuk gorengan tadi yang masih berbekas dengan marjerin/mentega. Panaskan atas api perlahan.
11. Tambah Italian herbs atau oregano
12. Jika mahu lebih pekat, tambah bancuhan 2 sudu teh tepung jagung dan ¼ cawan air.
13. Pada saya, apabila kepekatan boleh menyalut sudip begini sudah cukup. Matikan api, sup cendawan berkrim siap.
Boleh makan bersama piza atau roti bawang putih. Cicah roti biasa pun tetap sedap.
INFO
Jika mengingatkan sup cendawan berkrim jenama Campbell yang popular maka kita bermula dari Amerika Syarikat.
Tetapi, syarikat Campbell mengambil daripada asas sos bechamel dari Perancis yang direka oleh Chef Marquis Louis de Béchamiel de Nointel. Daripada nama beliaulah yang setelah beberapa lama hilang huruf ‘i’ lalu jadi bechamel sahaja.
Chef Béchamiel pula diinspirasikan oleh tukang-tukang masak Catherine de Medicis yang membawa salsa colla (gam) dari Tuscany, Itali. Salsa colla dipanggil begitu kerana sos ini digunakan untuk ‘mengikat’/ ‘memegang’ bahan-bahan dalam satu hidangan.
Semoga bermanfaat.
Sumber: Siti Hazneza Abdul Hamid
9 Perubahan Ini Akan Berlaku Pada Tubuh Bila Masuk Usia 40 Tahun

Isi Kandungan
Toggle
Anda mungkin masih nampak cantik bergaya pada usia 40 tahun tapi keadaan berbeza pula dengan dalaman tubuh anda.
Pada usia ini tubuh akan melalui fasa perubahannya atau lebih tepat lagi keadaan tubuh semakin merosot dan kebanyakannya akan dapat dirasai oleh empunya diri.
Berikut adalah 9 perubahan tubuh yang akan dialami apabila usia memasuki fasa usia 40 tahun.
1. Deria rasa berubah
Ketika dilahirkan, manusia dikurniakan lebih kurang 9,000 reseptor rasa. Namun bila usia bertambah jumlahnya akan berkurang dan kita kehilangan beberapa sensasi rasa. Boleh jadi kita kehilangan deria rasa masin, manis, pahit atau masam.
Biasanya perubahan ini berlaku lebih awal pada kaum wanita berbanding lelaki. Tapi perubahan ini bukanlah bermakna selera kita juga berubah cuma deria rasa kita saja jadi kurang tajam.
2. Sistem imun tubuh semakin kuat
Pada usia 40 tahun, tubuh akan menerima serangan virus dalam kadar yang lebih banyak berbanding usia sebelumnya. Namun begitu disebabkan sistem imuniti tubuh semakin kuat, kita akan jarang sakit.
Bagi mengekalkan dan meningkatkan sistem imun ini digalakan menjalani gaya hidup sihat, menjaga pemakanan dan bersenam selain mengurangkan tahap stres.
3. Deria pendengaran dan penglihatan kurang jelas
Rasanya ramai kalangan mereka berusia 40-an merungut tentang perkara ini. Sebabnya pada usia, deria penglihatan mula akan mengalami masalah atau lebih tepat kabur. Mungkin mengalami masalah rabun dekat atau jauh. Boleh jadi juga rabun warna.
Selain penglihatan, pendengaran juga akan mula terjejas pada usia ini kerana berlaku perubahan struktur membran dan telinga bahagian dalam.
4. Tapi keyakinan diri bertambah
Walaupun penglihatan, pendengaran mungkin merosot tapi menariknya keyakinan diri mereka yang berusia 40-an ini makin bertambah.
Psikologi menyatakan wanita terutamanya lebih yakin pada diri setelah menginjak usia 40 tahun, daripada mereka yang berumur 20 atau 30 tahun.
Fakta ini membantu mereka untuk semakin menghargai diri, tidak memikirkan hal remeh dan negatif. Ini sekaligus mereka berasa lebih puas bahagia dengan kehidupan yang dijalani.
5. Tahap metabolisme menurun
Bagi anda yang berusia 40-an pasti perasan bahawa berat badan mudah naik walaupun cara pemakanan anda sama seperti anda usia 30 tahun.
Ini disebabkan metabolisme yang semakin turun dan otot-otot yang lebih cepat mengendur. Rata-rata berat badan wanita akan naik antara usia 40 hingga 55 tahun, dengan berat sekitar 6 atau 8 kg. Jadi sebaiknya pada usia ini kita perlu lebih menjaga badan dan banyak melakukan senaman.
6. Ketinggian berubah
Jika berat badan mudah bertambah, satu lagi berita yang kurang best adalah ketinggian tubuh juga mungkin berkurangan. Perubahan ini dilihat berlaku pada usia 40 tahun.
Menurut data yang dikumpulkan oleh University of Arkansas, lelaki akan kehilangan ketinggian mereka satu inci antara usia 30 dan 70, dan wanita pula kehilangan ketinggi lebih kurang 2 inci.
Bagi mempertahankan keadaan tubuh, sebaiknya makan makanan yang mengandung kalsium dan vitamin D dan jangan lupa melakukan senaman.
7. Gigi sensitif
Jika anda mengalami masalah gigi sensitif ketika usia muda, masalah ini akan kurang ketika memasuki usia 40 tahun. Sebabnya sensitiviti semakin berkurangan.
8. Intoleransi laktosa
Pada usia ini anda boleh mengalami intoleransi terhadap produk susu. Ia biasa menyerang wanita Asia, Amerika dan juga Afrika.
Pada usia ini, tahap enzim laktase yang membantu mencerna laktosa menurun secara drastik. Akibatnya susu tidak dapat dicerna hingga menyebabkan masalah dalam usus besar. Sebagai alternatif pada susu, ambillah minuman probiotik.
9. Masalah rambut
Masalah ini berlaku terutamanya kalangan lelaki. 53% lelaki mengalami kebotakan setelah 40 tahun. Bagi wanita pula, mereka mungkin mengalami masalah rambut gugur namun lebih lewat daripada lelaki.
Sebaiknya jagalah rambut dengan cara memberinya nutrisi sejak daripada awal lagi. Selain itu elakkan juga penggunaan pengering rambut.