
Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Malaysia menafikan dakwaan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang bahawa wakil negara itu pernah menawarkan bantuan kepada PAS untuk menjatuhkan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2014.
Dalam kenyataan ringkas, Kuasa Usaha Sementara Kedutaan AS di Malaysia, David H. Gamble Jr. menegaskan bahawa Amerika Syarikat tidak pernah cuba menentukan siapa yang harus menerajui kepimpinan politik Malaysia.
“Amerika Syarikat tidak pernah berusaha menentukan kepimpinan politik Malaysia.
“Sebarang kenyataan yang mengatakan sebaliknya adalah palsu,” katanya menerusi kenyataan yang disiarkan di laman rasmi Kedutaan AS.

Penafian itu dibuat susulan kenyataan Abdul Hadi ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Muktamar Tahunan PAS ke-72 di Kota Bharu, Kelantan pada 5 September lalu.
Menurut Abdul Hadi, kejadian berkenaan berlaku ketika PAS masih bersama Pakatan Rakyat dan bertepatan dengan lawatan Presiden Amerika Syarikat ketika itu, Barack Obama ke Malaysia pada 2014.
Beliau mendakwa beberapa pemimpin PAS telah dijemput untuk mengadakan pertemuan dengan wakil Kedutaan AS dan dalam pertemuan berkenaan, pihak terbabit didakwa menawarkan bantuan untuk menjatuhkan kerajaan BN yang memerintah ketika itu.
Abdul Hadi turut mendakwa seorang duta AS kemudiannya mahu bertemu dengannya dan bertanyakan mengenai individu yang dicadangkan PAS untuk menjadi Perdana Menteri.
Susulan kenyataan tersebut, Polis Diraja Malaysia (PDRM) kini membuka kertas siasatan berhubung dakwaan berkenaan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk M. Kumar memaklumkan sehingga 8 September, sebanyak 12 laporan polis telah diterima dan keterangan 12 saksi turut direkodkan.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan berkaitan kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam. Keterangan Abdul Hadi pula masih belum direkodkan setakat laporan terkini.
Sebelum ini, setiausaha politik Abdul Hadi, Syahir Sulaiman memaklumkan bahawa Presiden PAS itu telah dihubungi Bukit Aman dan bersedia memberikan kerjasama penuh kepada pihak polis berhubung siasatan tersebut.
Life-hacks petik jari je! Jom baca VANILLA KISMIS seeNI
Download
sekarang!

