Makan

Cara Buat Kacang Pool Yang Sedap. Guna 2 Jenis Kacang Saja, Cicah Dengan Roti Memang Layan

Share

Hidangan kacang pool yang popular di negeri Johor ini memang ramai yang suka. Bukan asal dari Johor pun gemar menikmatinya. Malah ada yang sanggup ke negeri Johor untuk mencari kacang pool yang enak.

Walaupun biasa makan di restoren, menu yang sesuai untuk sarapan ini boleh saja kita buat sendiri. Dikongsi oleh Marina Ismail, ini caranya.

Buat sendiri kacang pool sedap dan mudah

Bahan-bahan:
400 gram daging kisar – boleh guna jenama Ramly
2 camca besar rempah kari daging
2 tin kacang pool (foul)
1 tin baked beans
1 camca besar serbuk ketumbar
1 camca teh lada hitam -ditumbuk halus
2 camca besar minyak sapi
Gula dan garam secukupnya
Air secukupnya
Minyak untuk menumis

Bahan kisar halus:
2 biji bawang besar
4 ulas bawang putih
1 inci halia

Bahan lain:
Limau kasturi – belah 2
Bawang besar – dadu kecik
Cili hijau – dadu boleh, potong serong boleh
Roti – terpulang nak guna roti apa, gardenia pun boleh

Cara membuat

1. Cuci bersih daging cincang dan letak dalam tapis dan tos.

2. Ramas kacang pool dan baked beans hingga pecah tapi tak payah sampai lumat.

3. Satukan serbuk ketumbar, rempah kari, dan air 1/3 cawan kemudian kacau rata hingga menjadi pes dan ketepikan.

4. Panaskan sedikit minyak dalam periuk kemudian masukan minyak sapi dan biar sekejap. kemudian tumis bahan kisar halus tadi sampai naik bau.

Masukkan pes rempah dan kacau hingga rata. Gunakan api kecil dan kacau sentiasa sampai naik minyak. Kemudian masukan daging cincang dan masak lagi sampai naik minyak lagi.

5. Masukan 1 liter air (boleh kurangkan kalau nak lebih pekat) kacau hingga air mendidih. Masukkan baked bean dan kacang pool tadi. Kacau sentiasa dan gunakan api sederhana selama lebih kurang 15 – 20 minit.

6. Akhir sekali, masukan lada hitam tumbuk dan perasakan dengan gula dan garam. Kacau rata dan masak sekejap dan bila dah masak boleh matikan api.

Cara hidang:

Cedok kacang pool mangkuk kemudian taburkan cili hijau, bawang besar dadu dan letak sekeping telur mata.

Perahkan sedikit jus limau kasturi dan hidangkan bersama roti yang awak suka. Roti Perancis, roti keping biasa pun boleh

Asal usul kacang pool

Asalnya makanan ini dibawa oleh orang-orang Arab. Menu ini dimasak dengan daging cincang dan juga kacang pool atau dipanggil ‘foul medammas. Biasanya saya guna yang jenis dalam tin jenama Kimball ada jual pasar raya, atau pun kedai-kedai arab.

Selain kacang pool, boleh jugak masukkan kacang-kacang lain. Contoh baked beans, red beans atau pun chick peas. Macam-macam resepi kacang pool ni sebenarnya. Nak guna kacang pool sahaja pun boleh. Apa-apa resipi pun kita boleh olah ikut kesuaian tekak kita. Mulanya nak letak red beans, tak jumpa plak jadi guna 2 jenis kacang saja.

Selamat mencuba.

Sumber: Marina Ismail

IKLAN