Cara Buat Mee Jawa Yang Simple Tapi Sedap Sangat

Share

Asyik buka puasa dengan nasi je pun bosan juga. Kadang kadang tak tahu dah nak masak lauk apa.

Sebagai kelainan boleh buat pulak mi jawa. Resipi yang dikongsi Hidayah Dona ini antara yang simple tapi sedap.

Cara buat mee jawa yang simple tapi sedap

1. Daging dan tulang 2 ketul direbus. Isi daging hiris halus dan ketepikan. Tulang dan air rebusan simpan.

2. Keledek oren dalam 700 gram direbus dan dikisar.

3. Kisar juga bawang merah 5 ulas, bawang putih 5 ulas, 2 batang serai dan seinci lengkuas.

4. Bancuh serbuk kari ayam/daging (Adabi) 5 sudu.

5. Sediakan bahan-bahan lain seperti daun sup, bawang goreng, tauhu goreng, daging rebus hiris, cili besar dan telur rebus.

6. Tumis rempah 4 sekawan dan bahan kisar hingga naik bau.

7. Kemudian masukkan udang kering dan tumis. Seterusnya masukkan bancuhan rempah kari. Tumis hingga masak.

8. Kemudian masukkan keledek yang dikisar dan kacau.

9. Seterusnya masukkan air rebusan daging dan tulang kuantiti hampir penuh periuk. Biar mendidih.

10. Waktu ini bolehlah masukkan garam, gula secukup rasa, serbuk perasa, sedikit lada putih dan sedikit kicap untuk beri warna yang gelap. Jika suka aroma rempah boleh letakkan sedikit saja serbuk ketumbar, jintan manis dan jintan putih. Jika tak suka tak perlu masuk ya.

11. Bila semua rasa dah sebati dan sedap, baru pekatkan kuah dengan sedikit bancuhan tepung jagung. Dah siap kuah.

12. Celurkan mi kuning dan sediakan bahan-bahan sampingan. Tuang kuah dalam mangkuk berisi mi dan letak bahan-bahan sampingan tadi.

INFO: Mi jawa ada banyak versi, ada guna cili giling, ada tak guna rempah. Terpulang kepada selera masing-masing.

Selamat mencuba.

Sumber: Hidayah Dona

 

IKLAN