Cara Buat Nasi Tomato & Ayam Merah Yang Simple Tapi Sedap Untuk Tetamu Datang Beraya Tengah Hari

Share

Bila tetamu nak datang ke rumah terutama waktu tengah hari, kita mula terfikir menu apa nak hidang. Kenalah hidang yang berat sikit sebab dah masuk waktu makan.

Kalau boleh yang ringkas, senang masak tapi sedap. Salah satu yang boleh kita buat adalah nasi tomato. Untuk hidangan nasi tomato yang ringkas ini boleh ikut cara Muhamad Muktamin Abdul Karim. Abang-abang style memang ringkas.

Cara buat nasi tomato mudah

Bahan-bahan:
– Beras basmathi/beras biasa
– Air secukupnya (masukkan 1 sukatan susu cair dalam bilangan sukatan air beras, contoh: 4 cawan air 1 cawan susu cair)
– Rempah – bunga cengkih,bunga lawang, pelaga (letak satu dua ketul saja sebabnya kita nak lebih rasa tomato tapi ada aroma beriyani, itu saja).
– 4 biji tomato – dipotong dadu kecil
– 1/2 tin tomato puri
– Minyak sapi/Ghee
– Bawang dihiris/dikisar
– Sedikit garam atau kiub ayam

Cara membuat:

1. Masukkan minyak sapi biar cair dan masukkan bawang, rempah tomato dan garam/ kiub ayam.

2. Tumis semua bahan sampai wangi dan sebati.

3. Masukkan beras, air dan susu cair gaul rata dan biarkan saja sampai masak.

4.Masak nasi ini guna dapur gas saja, jika nak guna periuk elekrik selepas tumis dalam periuk atas dapur gas dan masukkan air boleh terus masak guna periuk ini.

Cara buat ayam masak merah ringkas

Bahan-bahan
1 ekor ayam – potong dan gaul dengan kunyit dan garam, goreng
3 biji bawang besar -kisar
5 biji bawang putih -kisar
1 sudu serbuk/biji ketumbar -kisar
3 biji tomato dipotong dadu(kecil), nak lebih pun boleh
Cili kering kisar atau cili boh
Daun limau purut jika suka
Kiub ayam separuh kiub
5 sudu sos cili
Garam gula secukup rasa

Cara membuat:

1. Tumis bahan kisar & cili kisar sehingga pecah minyak (satu senduk besar atau lebih minyak/secukupnya)

2. Masukkan garam, gula dan kiub ayam, gaul sebati, masukkan ayam, tomato dan gaul rata.

3. Biarkan dalam beberapa minit dengan api perlahan sambil sesekali gaul ayam biar semua meresap. Siap

Boleh hidang dengan papadom dan juga acar jelatah, dah setel untuk jamu tetamu. Confirm kenyang.

Selamat mencuba.

Sumber: Muhamad Muktamin Abdul Karim.

IKLAN