
Satu ketika dulu ramai yang menggunakan wallpaper di rumah kerana mengikut trend. Tapi bila dah lama wallpaper pun dah rosak, kita pun rasa nak tukar deko atau cat baru.
Masalahnya, nak tanggalkan wallpaper ini memang kerja remeh. Silap cara atau salah tarik dengan cat sekali tertanggal. Lagi sakit mata ada pula kesan gam tertinggal kat dinding.
Bagi korang yang nak tanggalkan wallpaper di rumah, tip dikongsi oleh penyampai radio Shah Gegar ini sangat membantu.
Katanya untuk tanggalkan wallpaper dengan mudah cuma guna semburan air dua bahan ini, wallpaper akan mudah ditarik tanpa tanggalkan cat.
Cara mudah tanggalkan wallpaper
Bahan yang diperlukan:
Botol penyembur
Cecair pelembut pakaian (Softlan)
Scrapper plastik
Air panas dan air paip

Cara-caranya:
1. Tuang Softland dalam botol penyembur, tak perlu banyak kuantitinya.
2. Kemudian campur dengan air panas diikuti dengan air paip.

3. Tarik wallpaper yang sudah tertanggal.
4. Kemudian sembur air bancuhan tadi pada wallpaper yang tertinggal. Biarkan ia kembang seketika.

5. Bila wallpaper dah kembang cuma tarik ke bawah dan ia akan tanggal dengan mudah tanpa menanggalkan cat. Memang senang.

Boleh juga tonton video beliau di TikTok
@shah_gegar Mudah & Jimat.. cara Tanggalkan wallpaper di Rumah #fyp #foryoupage #malaysia #indonesia ♬ Monkeys Spinning Monkeys – Kevin MacLeod & Kevin The Monkey
Selamat mencuba.
Sumber : Shah Gegar
Life-hacks petik jari je! Jom baca VANILLA KISMIS seeNI
Download
sekarang!
Ustazah Asma’ Kongsi Tip Redakan Sakit Gigi Yang Amat Sangat, Memang Berkesan Macam Bius Sementara

Sakit gigi dek masalah gigi berlubang, jangkitan pada gigi, gusi antara yang menyebabkan kesakitan. Sakitnya pula memang tak boleh bincang, berdenyut-denyut dan hanya yang pernah melaluinya saja tahu.
Lagi memeritkan jika sakit gigi ini dialami waktu malam, tatkala klinik gigi tak dibuka tak boleh dapatkan rawatan. Memang boleh makan ubat penahan sakit tapi kalau ambil banyak kali tak elok juga.
Dalam keadaan menahan kesakitan dek sakit gigi bagi yang sedang mengalaminya boleh amalkan tip yang dikongsi oleh Ustazah Asma’ Harun.
Beliau yang baru-baru ini berdepan dengan sakit gigi yang amat sangat telah menurunkan satu tip untuk meredakan kesakitan sakit gigi yang dialami. Malah cara ini katanya memang disarankan oleh doktor sendiri.

Lagi sakit daripada beranak
Saya pernah sakit yang teramat begini tapi lebih lagi ketika kami tinggal di Brisbane Australia. Sakitnya pada waktu malam, entahlah, saya rasa ia lebih sakit daripada beranak. Maaflah saya cakap begini, sebab saya dah beranak 7 kali yang ada tahap maksimum dan sakit tempoh lama.
Masa itu kami memang tak mampu, tak ada duit langsung untuk ke klinik gigi, kosnya untuk rawatan jika waktu malam dalam 1k dolar aus, bersamaan dalam RM 3k lebih, jika siang servis rawatan lebih murah dalam 300 dolar.
Sementara itu usahakan hampir semua kaedah tradisonal dalam carian google, namun semua tak menjadi. Bertempiklah juga dengan air mata mencurah-curah bak air terjun, rasa nak hempuk-hempuk kepala kat dinding, ketika tu sedang mengandung anak ke 5 iaitu Sofwan.
Kemam air ais
Akhirnya Allah izinkan saya baca satu tip iaitu kemam air ais yang betul-betul seju. Saya pun cuba, memang mulanya akan rasa sengal amat, tapi kesannya kesakitan teramat itu boleh hilang sekelip mata. Allahu Akbar, rasa ajaib sangat time tu.
Tapi, ada tapi tuan puan sekalian, bukan sekali buat hilang terus, kena buat selang satu minit. Maksudnya selepas hilang kebas kesan ais, sakit tu terasa balik. Bermaksud saya perlu ais yang agak banyak, untuk bertahan daripada awal malam hingga ke pagi esok.

Sampai masa ais kat rumah habis, ketika itu suami ada urusan urgent di Uni, saya selaku isteri solehah, cuba tak nak ganggu dia, saya pun berjalan kaki meredah malam ke rumah kawan yang agak jauh juga, ketuk pintu minta ais tengah malam.
Macam bius sementara
Syukur dia simpan stok ais yang banyak. Daripada malam sampai pagi memang tak dapat tidur langsung, selang satu minit perlu kemam air ais sampai rasa kebas.
Esoknya awal pagi ke klinik gigi, dokor nampak botol air penuh ais di tangan saya, dia cakap, tindakan awak bijak, sebab itu antara cara terbaik, ia macam bius sementara.
Fuh, memang rasa bijak time tu, tapi yang lebih adalah rasa syukur, Allah izinkan saya jumpa ilmu dan kaedah tersebut.
Kembali ke cerita sakit gigi ni, saya nak beritahu, jika anda sedang sakit gigi teramat, cuba ya tip kemam dengan air ais, dan sengaja kumurkan fokus kepada gigi yang sakit tu. InsyaAllah ia sangat membantu, sementara nak tunggu jumpa doktor.
Sumber: Ustazah Asma’ Harun
Life-hacks petik jari je! Jom baca VANILLA KISMIS seeNI
Download
sekarang!
Cara Buat Kuah Lontong Yang Sedap & Pekat

Nasi impit dan kuah lodeh atau dipanggil lontong ini dah sinonim dengan selera kita walaupun ia masakan dari negara seberang.
Selalunya dimakan waktu pagi dan memang mengenyangkan kerana meriah dengan sayur-sayuran.
Bagi yang pertama kali nak cuba menyediakan lontong ini boleh ikut perkongsian dari أختي اراني. ini. Kuahnya pekat dan sedap.
Cara buat kuah lontong yang pekat sedap

Bahan untuk kuah lemak lontong :
1/4 biji kubis
1 batang lobak merah – potong panjang
9 batang kacang panjang
1 ikat soo hoon
1 keping fucuk – potong panjang
1 keping tempe – potong dadu dan goreng dahulu
2 batang serai – ketuk
1 cawan udang hidup
1/2 biji kelapa parut
Garam gula secukup rasa
Serbuk kunyit

Bahan kisar :
8 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
1 inci kunyit hidup
1 inci halia
2 sudu besar udang kering
Cara membuat:
1) Masukkan bahan kisar dan serai bersama separuh periuk air sehingga mendidih supaya bahan kisar masak sepenuhnya.
2) Masukkan udang dan sayur-sayur yang keras.
3) Masukkan santan separuh periuk. Kacau sampai mendidih.

4) Masukkan kunyit sampai warna nampak cantik, semua sayur, soo hoon dan tempe yang digoreng. Sayur lembik baru sedap makan lontong. Kacau guna api perlahan.
5) Akhir sekali, masukkan gula dan garam secukup rasa.
6) Hidangkan dengan nasi impit yang siap direbus bersama sambal.

Semoga bermanfaat.
Sumber: أختي اراني.
Artikel berkait: Cara buat lontong darat atau lontong goreng
Life-hacks petik jari je! Jom baca VANILLA KISMIS seeNI
Download
sekarang!
Rumah 4 Bilik, Semua Ada Aircond Tapi Bil Elektrik Kurang Dari RM70 Sebulan. Lelaki Ini Kongsi Apa Yang Dilakukan Setiap Hari

Kebelakangan ini banyak rungutan tentang kenaikan bil elektrik. Kalau anda salah seorang daripadanya mungkin boleh mempraktikkan apa yang dilakukan oleh Fawwaz Johari.
Pakai Smart Meter sejak Februari tapi bil rendah
Sebelum saya mulakan, izinkan untuk saya kongsikan dahulu mengenai latar belakang kediaman kami di Melaka ini. Rumah yang kami duduki ini adalah rumah 2 tingkat. Ia ini mempunyai 4 bilik, dan setiap bilik dipasang dengan alat penghawa dingin. Di ruang tamu rumah pula dipasang dengan 2 set alat penghawa dingin.
Rumah ini secara kebiasaannya di diami oleh ibu bapa saya, dan setiap malam mereka akan memasang alat penghawa dingin di bilik mereka. Manakala bilik-bilik lain pula akan dipenuhi dengan adik beradik saya yang lain pada setiap kali hujung minggu dan setiap kali musim cuti.
Rumah ini telah dipasang dengan ‘Smart Meter TNB’ pada bulan Februari 2019 yang lalu. Di sini saya sertakan gambar bil elektrik terkini rumah saya pada bulan lepas, iaitu HANYA SEBANYAK RM 62.30.

Bagaimanakah kami lakukannya?
Di bawah ini saya kongsikan tips dan gambar-gambar tentang bagaimana cara ia dapat dilakukan.
1. Gunakan teknologi inverter
Pertama sekali, bagi yang menggunakan alat penghawa dingin, pastikan anda menggunakan penghawa dingin yang mempunyai teknologi inverter.
Kesemua penghawa dingin dan peti ais yang ada di rumah kami ini telah dilengkapi dengan teknologi inverter ini. Harganya mungkin mahal sedikit berbanding dengan peralatan yang biasa, namun anda hanya perlu membayar harga tersebut sekali sewaktu pembelian, dan kemudian anda boleh dapat menikmati penjimatan elektrik yang berterusan dalam jangka masa yang panjang.
2. Peralatan elektrik berstatus “5 bintang”
Apabila anda pergi ke kedai peralatan elektronik seperti One Living, Seng Heng, Home Pro, Courts Mammoth dan sebagainya, anda akan mendapati terdapat tanda 1-5 bintang pada setiap barangan elektronik yang dijual. Belilah barangan yang mempunyai 5 bintang. Bintang itu adalah Standard yang telah dikeluarkan oleh pihak Sirim untuk menyatakan “Energy Efficiency” peralatan tersebut. Peralatan yang efisien akan dapat lebih menjimatkan penggunaan elektrik di rumah anda.
3. Tidak menggunakan alat-alat pemanas elektrik

Diantara peralatan yang tidak digunakan di rumah kami di Melaka ini termasuklah:
– pemasak nasi elektrik
– cerek air elektrik
– water dispenser
Bagi tujuan memasak, kami menggunakan gas api. Kami menanak nasi di dalam periuk dan menggunakan cerek api untuk memanaskan air. Pemanas elektrik yang digunakan di rumah kami ini hanyalah seterika dan ‘water heater’ untuk mandi.
4. Menggunakan lampu LED
Kesemua lampu yang dipasang di rumah kami ini diperbuat dari LED. Penggunaan lampu LED ini dikatakan dapat mengurangkan 75% penggunaan elektrik berbanding dengan lampu-lampu biasa.
5. Mencabut plug selepas menggunakan alat elektrik
Selepas menonton TV, mengecas telefon bimbit, menggunakan seterika, atau menggunakan mesin basuh, tutup suis dan cabut sekali plug yang digunakan. Sekiranya extension wire digunakan, cabut sekali plug extension wire tersebut apabila ianya tidak digunakan.
Melalui pengalaman di rumah-rumah yang pernah melakukan cara ini, kadar elektrik adakalanya dapat dikurangkan sebanyak RM15-RM50. Kadar penjimatan bergantung kepada jenis rumah dan jenis peralatan elektrik yang digunapakai.

Untuk mendapatkan penjimatan yang lebih banyak, anda juga boleh mencabut plug ‘wifi’ di rumah anda pada waktu malam apabila semua orang tidur dan tidak menggunakannya.
6. Menggunakan ‘Turbine Ventilator’ di bumbung
Untuk memastikan rumah berada di dalam keadaan sejuk, Turbine Ventilator telah dipasang di atap rumah ini. Turbine ventilator ini berfungsi untuk membenarkan udara-udara panas yang terperangkap di dalam bumbung untuk keluar.
Kekosongan udara di bahagian bumbung itu pula akan menyebabkan udara panas lain yang ada di dalam rumah ditarik pergi ke bahagian atas bumbung tersebut. Dengan menggunakan Turbine Ventilator ini, suhu rumah dapat diturunkan.
7. Memanam pokok di dalam dan luar rumah

Antara hobi ibu saya adalah menanam pokok. Ibu saya telah menanam pelbagai jenis pokok dan tumbuhan di sekeliling dan juga di dalam rumah kami. Bapa saya pula akan membantunya untuk menyiram pokok-pokok tersebut pada setiap hari.
Pokok diketahui dapat mengurangkan suhu udara. Dengan adanya pokok-pokok ini, udara di rumah kami biasanya berada pada suhu yang rendah. Oleh itu, kami jarang perlu membuka penghawa dingin di waktu tengah hari, melainkan pada hari yang benar-benar panas ataupun ketika tetamu datang ke rumah.

Di samping itu, pokok juga berfungsi untuk mengeluarkan oksigen dan menyerap karbon dioksida. Dengan mempunyai pelbagai jenis pokok di sekeliling rumah kami, kami sekeluarga dapat menikmati udara yang segar dan pemandangan yang indah pada setiap hari.
8. Penggunaan elektrik penghawa dingin dapat dikurangkan dengan suhu sekeliling yang rendah.
Apabila sekeliling rumah bersuhu rendah, penghawa dingin tidak perlu menggunakan tenaga yang lebih untuk menurunkan suhu kepada suhu yang dikehendaki.
Sebagai contoh, jika suhu sekeliling adalah 30°C, manakala suhu yang dikehendaki pula adalah 23°C. Maka perbezaan suhu adalah sebanyak 7°C, ini menyebabkan penghawa dingin perlu bekerja keras untuk menurunkan 7°C tersebut.
Bayangkan jika suhu sekeliling rumah hanya 25°C, penghawa dingin cuma perlu menurunkan suhu sebanyak 2°C untuk mendapatkan suhu yang dikehendaki. Maka dengan adanya pohon-pohon tanaman berserta dengan Turbine Ventilator, tenaga elektrik dapat dijimatkan dengan lebih banyak.
9. Jaga alam sekitar
Kredit kepada ibu bapa saya iaitu Johari Judan & Dr Zorina Khalid kerana telah berusaha untuk menjaga alam sekitar. Dengan semangat mereka, kami dapat menikmati pemandangan yang indah, udara yang nyaman dan sejuk apabila pulang ke rumah di melaka, di samping ia dapat menjimatkan bil elektrik rumah kami.

[Nota tambahan: perkongsian ini mungkin tidak relevan bagi mereka yang tidak menggunakan alat penghawa dingin di rumah mereka]
Diharapkan perkongsian ini bermanfaat kepada anda semua untuk menjimatkan bil elektrik di rumah anda. Kongsikan kaedah-kaedah ini kepada rakan lain yang mempunyai masalah bil elektrik yang tinggi, dan selamat mencuba.
Sumber: Fawwaz Johari
Life-hacks petik jari je! Jom baca VANILLA KISMIS seeNI
Download
sekarang!

