
Friendster kembali selepas lebih sedekad ditutup, kini fokus hubungan dunia sebenar berbanding penglibatan digital semata-mata.
Laman rangkaian sosial yang pernah popular satu ketika dahulu ini mengumumkan kemunculan semula dengan konsep baharu. Tidak lagi seperti dahulu, Friendster kali ini mahu menggalakkan interaksi luar talian antara pengguna.
Laman web Friendster mula didaftarkan pada 22 Mac 2002 dan menghentikan operasi pada 2015, sebelum syarikat itu ditutup secara rasmi pada 2018.

Domain berkenaan kemudian kekal tidak aktif selama beberapa tahun sebelum dibeli oleh usahawan Mike Carson dalam satu urus niaga peribadi selepas muncul dalam lelongan domain tamat tempoh.
Dalam satu hantaran, Carson mendedahkan domain itu pada awalnya dibeli oleh pembeli lain pada harga AS$7,456 sebelum dijual kepadanya melalui perjanjian melibatkan AS$20,000 dalam Bitcoin serta satu lagi domain yang menjana pendapatan pengiklanan.
Carson kemudiannya memperoleh tanda dagang Friendster pada 13 Mei 2025 selepas melalui proses undang-undang.
Pada April 2026, platform itu dilancarkan semula di bawah Friendster Labs Inc. dengan konsep baharu yang bertujuan menangani kebimbangan terhadap persekitaran media sosial yang dipacu algoritma.
Versi baharu Friendster memperkenalkan beberapa ciri yang direka untuk mengutamakan interaksi luar talian.
Antara yang diperkenalkan ialah ciri “relationship decay”. Melalui ciri ini, hubungan digital akan menjadi semakin lemah dari masa ke masa jika pengguna tidak berinteraksi dalam dunia sebenar.
Selain itu, perkhidmatan ini kini beroperasi tanpa iklan dan tanpa algoritma cadangan.
Carson berkata reka bentuk semula itu turut dipengaruhi maklum balas daripada komuniti dalam talian, termasuk cadangan bahawa keperluan interaksi bersemuka boleh menggalakkan hubungan lebih bermakna.
Beliau kemudian membangunkan aplikasi mudah alih itu berdasarkan idea tersebut.

Aplikasi ini kini tersedia di Apple App Store selepas melalui tempoh semakan antara satu hingga dua bulan.
Antara ciri masa depan yang sedang dipertimbangkan termasuk membolehkan pengguna melihat rakan kepada rakan serta menghantar permintaan mesej kepada mereka.
Pembangunan lanjut konsep “hubungan yang semakin pudar” juga sedang dipertimbangkan.
Carson berkata, pelan langganan berbayar untuk ciri premium mungkin diperkenalkan pada peringkat akan datang.
Pelancaran semula ini mencerminkan usaha untuk mentakrif semula rangkaian sosial dengan menggalakkan interaksi luar talian.
Ia sekali gus meletakkan Friendster sebagai alternatif kepada platform sedia ada yang berasaskan pengedaran kandungan algoritma.
Life-hacks petik jari je! Jom baca VANILLA KISMIS seeNI
Download
sekarang!




