Ads

Anak Jati Sabah Cipta Momen Membanggakan, Atikah Karim Berjalan Untuk Chanel Spring/Summer 2027

Nama model kelahiran Sabah, Atikah Karim, sekali lagi mencuri perhatian di pentas fesyen antarabangsa apabila terpilih memperagakan koleksi Chanel Spring/Summer 2027 di Paris Fashion Week.

Lebih istimewa, penampilan kali ini turut menjadi debut Atikah bersama Chanel, antara rumah fesyen paling berprestij dan berpengaruh di dunia. Rekod barisan model untuk pertunjukan tersebut menyenaraikan Atikah sebagai antara 71 model yang berjalan untuk koleksi berkenaan.

Koleksi Spring/Summer 2027 Chanel dipersembahkan di Paris pada 5 Oktober 2026 di bawah arahan artistik Matthieu Blazy. Untuk musim ini, Blazy terus memberi nafas baharu kepada identiti klasik Chanel menerusi interpretasi moden terhadap elemen ikonik rumah fesyen itu termasuk tweed dan skirt suit.

Kejayaan Atikah berdiri sebaris bersama model antarabangsa dalam pertunjukan tersebut tentunya menjadi satu lagi pencapaian membanggakan buat industri fesyen Malaysia.

Dari Kota Kinabalu Ke Pentas Fesyen Dunia

Pemilik nama penuh Dayang Nur Atikah Karim ini merupakan anak kelahiran Kota Kinabalu, Sabah dan berdarah Bajau-Brunei. Perjalanannya dalam bidang peragaan bermula selepas memenangi pertandingan Ford Models Supermodel of the World Malaysia 2011.

Ads

Atikah kemudian mengembangkan kerjayanya ke luar negara dan pernah bekerja di pusat fesyen utama dunia seperti London, Milan, Paris dan New York. Dia berpindah ke New York sekitar 2015 selepas melalui proses panjang mendapatkan tempat bersama agensi antarabangsa.

Anak Jati Sabah Cipta Momen Membanggakan, Atikah Karim Berjalan Untuk Chanel Spring/Summer 2027

Sepanjang lebih sedekad membina nama di luar negara, Atikah pernah berjalan untuk beberapa jenama dan pereka ternama termasuk Rick Owens, Marine Serre, Lemaire, Peter Do dan Polo Ralph Lauren.

Ads

Apa yang menarik, perjalanan Atikah bukanlah kisah kejayaan yang berlaku dalam sekelip mata. Dia pernah berkongsi mengenai pengalaman berdepan kritikan terhadap warna kulitnya ketika membesar, namun ciri fizikal yang pernah dipandang berbeza itu akhirnya menjadi antara kekuatan yang membentuk identitinya dalam dunia modelling antarabangsa.

Chanel, Satu Lagi Pencapaian Besar

Mungkin bagi mereka yang mengikuti perkembangan Atikah, melihatnya berjalan di pentas fesyen antarabangsa bukanlah perkara baharu. Namun, mendapat tempat dalam barisan model Chanel mempunyai nilai tersendiri.

Ads

Data pertunjukan Chanel Spring/Summer 2027 merekodkan penampilan ini sebagai kali pertama Atikah berjalan untuk rumah fesyen Perancis tersebut. Malah, daripada keseluruhan 71 model yang terlibat, hanya 13 merupakan wajah yang membuat debut bersama jenama itu untuk pertunjukan kali ini.

Menarik juga apabila Atikah pernah memberitahu bahawa antara model yang menjadi idolanya sejak kecil ialah Chanel Iman. Daripada seorang remaja Sabah yang menonton video catwalk idolanya untuk belajar berjalan, hari ini Atikah sendiri sudah sampai ke pentas sebuah jenama sebesar Chanel.

Perjalanan panjang itu menjadikan kejayaan terbaharunya lebih bermakna. Bukan sahaja membawa nama sendiri, Atikah secara tidak langsung membuktikan bahawa bakat dari Malaysia, termasuk dari Sabah, mampu mendapat tempat dalam kelompok fesyen antarabangsa yang cukup kompetitif.

Dari Kota Kinabalu ke Paris, langkah Atikah Karim kali ini ternyata bukan sekadar catwalk biasa, tetapi satu lagi momen membanggakan buat Malaysia.

Dapatkan tip memancing, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Life-hacks petik jari je! Jom baca VANILLA KISMIS seeNI Download sekarang!

KLIK DI SEENI
∞
∞
Ads

Cerita Lain