
Isu pemandu warga asing yang melanggar undang-undang jalan raya terus menjadi perhatian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dengan kira-kira 500,000 saman dikeluarkan sejak 2023 menerusi Operasi Pemandu Warga Asing (Op PeWA).
Jika mengambil kira kadar maksimum RM300 bagi setiap saman, jumlah keseluruhan kesalahan itu boleh mencecah RM150 juta. Antara kesalahan yang dikesan termasuk memandu tanpa lesen sah, tiada cukai jalan serta perlindungan insurans.
Namun, pendekatan JPJ kini tidak lagi terhenti pada pengeluaran saman. Bermula Julai lalu, kenderaan yang dipandu warga asing dan didapati tidak mematuhi peraturan boleh disita serta-merta, manakala pemilik serta pemandunya berdepan kemungkinan dibawa ke mahkamah.
Pengarah Kanan Penguat Kuasa JPJ, Datuk Muhammad Kifli Ma Hassan, berkata langkah itu merupakan pendekatan lebih tegas bagi memastikan kesalahan yang dilakukan benar-benar diselesaikan.
“Bila kita keluarkan saman, perkara ini tidak berakhir di situ. Jadi, mulai Julai tahun ini, kita telah mengubah pendekatan.
“Kes berkenaan perlu diselesaikan di mahkamah dan sekiranya tidak diselesaikan, kenderaan terbabit tidak akan dibenarkan berada di jalan raya,” katanya menerusi audio siar PodX Utusan Malaysia.
Bukan Hanya Pelancong, Pekerja Asing Turut Dikesan
Menurut Muhammad Kifli, warga asing yang dikenakan tindakan bukan hanya terdiri daripada pelancong, malah melibatkan pekerja asing yang berada di negara ini.
Antara masalah yang dikenal pasti ialah terdapat individu yang memandu tanpa pernah mengikuti latihan pemanduan yang sah, selain menggunakan pengalaman memandu di negara asal sebagai rujukan ketika berada di jalan raya Malaysia.
“Apabila mereka membawa kenderaan, mereka tidak mematuhi peraturan dan menganggap seolah-olah undang-undang negara kita ini sama seperti undang-undang mereka.
“Disebabkan perkara itu, kita mengambil pendekatan memperkenalkan Op PeWA dengan mengambil tindakan terhadap warga asing melakukan kesalahan jalan raya,” katanya.
Keadaan ini bukan sahaja menimbulkan persoalan mengenai pematuhan undang-undang, malah boleh memberi kesan kepada keselamatan pengguna jalan raya lain.

JPJ Mahu Pemilik Kenderaan Turut Bertanggungjawab
Dalam masa sama, JPJ melihat tindakan penguatkuasaan terhadap pemandu semata-mata tidak mencukupi.
Muhammad Kifli menegaskan pemilik kenderaan tempatan juga mempunyai tanggungjawab, khususnya mereka yang menyewakan atau membenarkan kenderaan digunakan oleh warga asing yang tidak mempunyai kelayakan sewajarnya.
“Kita sekat punca berlakunya masalah ini. Puncanya ialah rakyat Malaysia jangan membenarkan kenderaan mereka disewa dan digunakan oleh warga negara asing.
“Kenapa mereka masih berada di atas jalan raya? Kerana pengkhianatan, sabotaj dan sikap pentingkan diri sendiri oleh warga negara Malaysia, ia hanya segelintir, bukan semua.
“Segelintir yang menyewa kenderaan kepada warga negara asing demi sedikit keuntungan. Perkara inilah yang perlu kita atasi,” jelasnya.
Pendekatan itu menunjukkan Op PeWA kini bukan sekadar menyasarkan individu di belakang stereng, tetapi turut melihat bagaimana kenderaan berkenaan boleh berada di jalan raya sejak awal.
Pemeriksaan Diperluaskan Ke Seluruh Negara
JPJ turut mengarahkan semua negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak melakukan pemeriksaan terhadap pemandu warga asing yang ditahan.
Antara isu yang dikesan ialah penggunaan motosikal untuk membawa barangan seperti besi buruk dan barangan terpakai dalam keadaan yang menimbulkan rungutan pengguna jalan raya.
Siasatan turut menemukan warga asing yang tidak mempunyai lesen memandu atau Lesen Memandu Kenderaan Barangan (GDL) tetapi masih menggunakan kenderaan untuk tujuan berkaitan kerja.
“Perkara-perkara ini menimbulkan rungutan dan membawa masalah kepada pemandu-pemandu yang sah yang berada dalam negara,” ujarnya.
Unit risikan JPJ juga telah mengenal pasti beberapa kawasan tumpuan pemandu warga asing di seluruh negara, termasuk di Kedah, Kelantan, Johor, Sabah dan Sarawak.
Bagaimanapun, kuasa JPJ tertumpu kepada kesalahan jalan raya, pemandu serta kenderaan. Sekiranya pemeriksaan menemukan isu berkaitan status imigresen, tindakan seterusnya perlu melibatkan agensi berkaitan.
“Dari segi bidang kuasa JPJ, kami hanya boleh mengambil tindakan terhadap pemandu dan kenderaan itu sendiri. Tetapi sekiranya warga negara asing itu tidak mempunyai permit atau tinggal lebih masa, kita terpaksa serahkan kepada Jabatan Imigresen,” katanya.
Dengan pendekatan sitaan dan tindakan mahkamah yang kini dilaksanakan, mesej JPJ semakin jelas bahawa pematuhan undang-undang jalan raya terpakai kepada semua pengguna, tanpa mengira kewarganegaraan.
Pada masa sama, tanggungjawab itu turut terletak pada pemilik kenderaan tempatan untuk memastikan kenderaan mereka tidak diserahkan kepada individu yang tidak layak memandu di negara ini.
Sumber: Utusan Malaysia

sekarang!
