Berita

Baru Habis Syif Malam, Jururawat Terus Bantu Selamatkan Wanita Tercekik Di Kafe

Share

Baru selesai bekerja syif malam, seorang jururawat membuktikan tugas menyelamatkan nyawa bukan hanya terhad ketika berada di wad atau dalam waktu bertugas.

Kejadian yang berlaku pada pagi 4 Mei 2026 ini melibatkan jururawat, Siti Maisyura, yang ketika itu sedang menunggu janji temu anaknya di sebuah kafe dalam kawasan Hospital Pantai Ipoh.

Menurut perkongsian Pantai Hospital Ipoh di Facebook, suasana di kafe tersebut tiba-tiba bertukar cemas apabila seorang wanita berhampiran dipercayai tercekik hingga mengalami kesukaran bernafas.

Ahli keluarga mangsa yang berada di lokasi mula panik dan segera meminta bantuan apabila keadaan wanita berkenaan semakin genting.

Melihat situasi itu berlaku di depan mata, Siti Maisyura tidak berlengah. Walaupun baru sahaja tamat syif malam dan berada dalam keadaan “off duty”, beliau terus berlari ke arah mangsa untuk memberikan pertolongan kecemasan.

Jururawat Pantai Ipoh Bertindak Pantas Bantu Mangsa

Dengan tenang dan berpandukan latihan profesional, Siti Maisyura menggunakan teknik Heimlich manoeuvre, iaitu kaedah pertolongan cemas yang biasa digunakan untuk membantu individu yang tercekik.

Hasil tindakan pantas itu, objek yang menghalang saluran pernafasan wanita berkenaan berjaya dikeluarkan. Tidak lama kemudian, mangsa kembali boleh bernafas seperti biasa.

Tindakan pantas jururawat Pantai Ipoh itu sekali gus mengelakkan kejadian lebih buruk daripada berlaku.

Kisah berkenaan turut mendapat perhatian ramai selepas dikongsikan di media sosial rasmi hospital tersebut.

Ramai memuji tindakan Siti Maisyura yang tetap mengutamakan keselamatan orang awam walaupun beliau ketika itu sudah tamat waktu bertugas.

Gambar: Facebook Pantai Hospital Ipoh

Perkongsian Pantai Hospital Ipoh turut menyifatkan tindakan Siti Maisyura sebagai cerminan kepada tema Hari Jururawat Antarabangsa 2026, “Our Nurses. Our Future. Empowered Nurses Save Lives.”

Tanda Seseorang Tercekik Yang Perlu Diketahui

Antara tanda seseorang tercekik ialah tidak dapat bercakap, sukar bernafas, batuk lemah, memegang leher dan kelihatan sangat panik.

Jika berdepan situasi begini, perkara paling penting adalah jangan panik. Dapatkan bantuan orang sekeliling, hubungi talian kecemasan dan bantu mengikut pengetahuan yang betul sementara menunggu bantuan lanjut.

Teknik Heimlich manoeuvre misalnya boleh membantu menyelamatkan nyawa jika dilakukan dengan cara yang betul dan pantas.

Bagaimanapun, orang awam disarankan mendapatkan latihan pertolongan cemas asas supaya lebih bersedia menghadapi situasi kecemasan seperti tercekik, pengsan atau serangan jantung.

Syabas buat Siti Maisyura. Walaupun baru habis syif malam, jiwa prihatin dan tanggungjawab menyelamatkan nyawa tetap tidak pernah berhenti.

Sumber: Facebook Pantai Hospital Ipoh

Published by
Nana