
Bagi ibu bapa yang ada anak masuk darjah satu, masuk sesi persekolahan ini memang agak sibuk. Banyak perkara perlu diatur dan diajar pada anak tentang rutin persekolahan.
Salah satunya adalah cara untuk menyusun jadual waktu kelas. Biasanya untuk anak darjah satu ibu bapalah yang perlu melakukannya supaya tiada buku yang tertinggal.
Nampak mudah tapi sebenarnya remeh dan setiap malam kita perlu melakukannya.
Namun melalui perkongsian Syikin Zahir ada cara yang cukup mudah melakukan rutin ini. Malah anak yang darjah satu pun boleh buat sendiri tanpa ada buku yang tertinggal.
1. Guna kaedah simpan buku dalam fail macam ni!
Caranya adalah dengan menyimpan semua buku ikut mata pelajaran dalam fail khusus. Apa yang perlu dilakukan cuma beli fail ini dalam kuantiti ikut mata pelajaran anak dan labelkan.

2. Satu subjek satu fail
Satu subjek satu fail, dan pastikan semua buku diletakkan dalam fail ini. Kalau anak ramai, label juga ikut nama. Bimbang tertukar.
3. Tengok jadual, tarik fail
Bila nak menyusun buku, cuma lihat jadual dan tarik fail. Insya-Allah tiada buku yang tertinggal. Mudahkan, anak darjah satu pun confirm boleh buat.
Kaedah ini juga pantas. Satu lagi kelebihan berbanding guna stiker, tiada masalah kalau jadual waktu kelas bertukar walaupun banyak kali.
Selamat mencuba!
Sumber: Syikin Zahir
Tip Dapatkan Sayur Bayam Yang Lebih Manis & Sedap, Jangan Tanam Pokok Tengah Panas

Ramai yang tanam sayur bayam ini di halaman rumah tapi mungkin tak ramai yang tahu cara untuk dapatkan bayam yang manis.
Bagi mendapatkan sayur bayam yang manis kita sebenarnya hanya perlu menjaga pencahayaan saja. Dikongsi oleh Harun Arun berdasarkan pengalaman beliau menanam bayam, ini tip yang dikongsi dan boleh kita praktikkan.
Tip dapatkan bayam yang manis
Ini bayam yang saya tanam. Bayam ada separuh merah, benih sama, usia sama (22 hari) tapi warna berbeza.
-Yang kurang merah dapat cahaya dalam 2-3 jam sehari, tanam depan rumah.
-Yang menonjol merah dapat cahaya penuh dari pagi hingga petang, tanam tepi padang.
-Yang dapat cahaya penuh lebih cepat matang berbanding yang kurang dapat cahaya.
-Dari segi rasa sudah semestinya yang kurang dapat cahaya lebih sedap, lembut & manis.
Jadi tip untuk dapatkan bayam yang manis, tanam pokok di lokasi yang hanya kena sedikit cahaya matahari contoh di tepi rumah. Elak tanam di lokasi cahaya penuh atau tengah panas.

Tip ekstra, cara mudah tanam bayam
Nak tanam bayam boleh tabur saja terus benih atas batas. Tak perlu nak alih-alih. Gaul biji benih dengan pasir supaya senang nak tabur.
Biarkan anak pokok bayam tumbuh rapat supaya bila spray atau siram pokok tak tumbang sangat ada tempat bersandar sesama sendiri.
Sebaiknya bila anak pokok bayam kecil, jangan siram. Gunakan spray saja, cuma spray lama sikit dan elakkan kena hujan.
Semoga bermanfaat.
Sumber: Harun Arun
Elak Terkena Renjatan Elektrik Ketika Banjir, Ini Tip Keselamatan Kena Tahu

Kejadian renjatan elektrik selalu berlaku ketika banjir, malah beberapa hari lalu turut dilaporkan di Kelantan yang melibatkan kematian seorang lelaki.
Wayar-wayar elektrik yang ditenggalami air di rumah dan tak nampak di mata kita boleh mendatangkan bahaya. Oleh sebab itu kita memang kena berhati-hati dan paling penting kena tahu langkah keselamatan elektrik di musim banjir untuk mengelakkan terkena bahaya renjatan.
Berikut ini adalah antara tip keselamatan elektrik semasa dan selepas banjir yang perlu kita praktikkan jika kediaman ditenggelami air.
Sebelum banjir
-SIMPAN kelengkapan elektrik di tempat yang tinggi dan selamat daripada ditenggelami atau terkena air banjir.
-LAPORKAN segera kepada TNB jika air telah mula naik untuk pemantauan atau pemotongan bekalan elektrik bagi mencegah bahaya.
-PASTIKAN menyimpan nombor telefon untuk hal-hal kecemasan seperti nombor balai polis, bomba, hospital, pejabat TNB yang berdekatan, dan pastikan nombor tersebut mudah diakses semasa kecemasan
Semasa banjir
-ELAKKAN berenang atau meredah air di kawasan yang mempunyai talian elektrik, kerana paras air yang tinggi akan menyebabkan talian tersebut mudah disentuh, terutamanya pada waktu malam di mana kadar penglihatan tidak begitu jelas.
Sekiranya paras air meningkat dan bersentuh dengan talian hidup tanpa pengetahuan anda, renjatan berlaku pada sesiapa yang berada dalam air.
-JAUHKAN diri daripada lokasi yang terdapat talian elektrik jatuh atau putus, bagi mengelak daripada renjatan elektrik akibat talian yang masih berarus elektrik.
-JANGAN menghampiri atau pegang tiang elektrik atau dawai umbang (stay wire) semasa banjir atau hujan kerana kemungkinan terdapat arus bocor.
-DILARANG menggunakan tiang elektrik dan dawai umbang sebagai tiang ampaian.
-JANGAN hampiri pepasangan elektrik seperti pencawang atau bilik suis elektrik yang ditenggelami air.
-JANGAN mengalih atau membaiki tiang elektrik tumbang atau talian elektrik putus atau jatuh ke tanah dan hendaklah laporkan segera kepada pihak pemegang lesen/utiliti (TNB) sekiranya terdapat kejadian tersebut.
-JANGAN menggendalikan peralatan elektrik atau memetik suis elektrik dengan tangan yang basah atau semasa berdiri dalam air.
-SEKIRANYA ternampak individu terkena renjatan elektrik akibat terkena talian elektrik, jangan sekali-kali menyentuhnya atau cuba membantu mengalihkan talian elektrik tersebut.
– AWASI anak-anak. Usah biarkan mereka bermain di dalam kawasan pencawang elektrik yang telah ditenggelami banjir atau berhampiran dengan tiang elektrik yang patah atau disekitar talian elektrik yang kendur atau jatuh di atas tanah.
Selepas banjir
– BERHATI-HATI apabila berada di kawasan banjir kerana kelengkapan elektrik dan pepasangan elektrik yang ditenggelami air berpotensi mendatangkan bahaya.
Ia boleh mengalirkan arus elektrik di kawasan persekitarannya dan boleh membawa kepada kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda.
-JANGAN gunakan kelengkapan elektrik yang terendam di dalam air atau pastikan semuanya diperiksa dan berkeadaan kering sebelum menggunakannya.
-ELAKKAN mengguna kelengkapan elektrik yang diragui keselamatannya.
Sebelum menghidupkan suis utama, PERIKSA semua pendawaian rumah dan kelengkapan elektrik yang terdapat di dalam rumah.
Pemeriksaan ini hendaklah dilakukan oleh kontraktor elektrik yang bertauliah atau berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga.
Semoga bermanfaat
Sumber: Suruhanjaya Tenaga
Kalau Ada Pokok Degil Tak Mahu Berbuah, Cuba Buat Teknik Kelaran. Hasilnya Memang Lebat

Jika di halaman rumah kita ada menanam pokok buah-buahan tapi setelah sekian tak juga berbuah mungkin sudah sampai masa anda buat teknik kelaran seperti yang dikongsi oleh Abdul Hamid Ahmad ini.
Daripada merungut depan pokok, sebaik ambil parang dan buat teknik kelaran ini. Buat dengan penuh perasan ya, hasilnya memang buah keluar lebat.
Teknik inilah juga yang digunakan oleh pekebun untuk memaksa pokok berbuah.
Teknik kelaran atau girdling
Sebelum ini saya ada menyebut teknik kelaran (atau girdling technique) yang telah saya buat pada pokok tin dan pokok mangga.
Beberapa sahabat serta tuan admin Izham Alias mencadangkan dibuat pautan kepada maklumat ini. Maka dikesempatan ini saya tuliskan sebuah nota ringkas yang menerangkan sedikit-sebanyak tentang teknik ini.
Teknik girdling diamalkan oleh penanam pokok buah-buahan, baik untuk kegunaan sendiri atau di ladang. Ada dua tujuan teknik ini dilakukan:
a) Untuk mendapatkan buah yang banyak pada sesuatu musim, dan untuk menjadikan buah lebih besar dan lebih perisa.
b) Untuk memaksa pokok berbuah.
Ramai yang merungut pokok yang ditanam sehingga kini tak berbuah. Maka mahu ditakik dan ditabur garam. Ada yang cadangkan bakar pangkalnya. Disuruh bercakap dan berunding dengan pokok. Malah ada yang suruh ikatkan selipar buruk.
Paling dahsyat, disuruh sarungkan coli pada pokok durian! Apa sahajalah, asalkan bahagia. Jika tak dapat buah, dapat lucunya.
Apa kata buat teknik kelaran?
Teori
Tumbuhan membentuk makanan (dalam bentuk karbohidrat, atau disebut juga “gula”) melalui fotosistesis di daun. Kemudian gula ini disebarkan ke seluruh pokok, tetapi akhirnya dihantar ke akar untuk tujuan simpanan. Jalan penghantaran bahan gula ini adalah melalui tisu floem yang banyak terdapat pada kulit.
Pokok yang lambat berbuah itu terus-terus sahaja menyimpan gula ini di akar. Ini kita tak mahu. Kita mahu dia simpan di dahan-dahan dan apabila cukup bekalan, cepat-cepat membentuk bunga dan buah.
Jika itu yang kita mahu, maka lakukan sesuatu supaya gula itu tidak dihantar ke akar.
Bagaimana? Potong jalan penghantaran itu. Iaitu dengan membuat kelaran pada kulit.
Kelaran boleh dibuat pada:
a) pangkal dahan-dahan utama
b) sekeliling paksi pokok.
Cara membuat kelaran
- Senang sahaja. Kelar.
- Potong kulit sehingga menyentuh tisu kayu. Sentuh saja. Jangan potong kayu itu. Buat potongan pertama. Kemudian potongan kedua. Lebar kelaran ini hendaklah tidak lebih daripada 5mm. Jika pokok kecil seperti pokok tin, 2mm cukuplah.
- Potonglah menggunakan pisau yang tajam. Jika pokok ini subur, selepas dua potongan dibuat, tinggal siat sahaja. Kulitpun tanggal. Lihat gambar.
- Selepas kelar, terpulanglah. Boleh dibalut dengan plastik cantuman. Boleh cat. Boleh biarkan sahaja.
- Maka selepas beberapa minggu, seharusnya pokok mula mengeluarkan bunga dan seterusnya berbuah. Selepas dua bulan, kelaran tadi sudah bercantum semula. Sebab itu jangan kelar lebar. Nanti pokok mati. Tinggal bacakan talkin sahajalah.
- Jika kelaran ini bertujuan untuk membesarkan dan memaniskan buah, kelarlah selepas bunga kembang. Jangan lewat. Jangan terlalu awal.
- Jika kelaran bertujuan untuk memaksa pokok berbuah, buatlah bila anda geram dan marah-marah.
Kaedah
Saya tunjukkan gambar sebenar girdling pada dahan mangga Honey Dew yang saya buat. Kelaran boleh dibuat dengan dua cara iaitu dengan bersambung atau bertindih.
a) Bersambung jika anda dapat buat potongan dengan lurus. Jika mahu buat begini, tandakan dengan pensel atau pen. Baru potong dengan pisau.
b) Bertindih. Hujung tidak bertemu tetapi MESTI bertindih.
Kalau tak bertemu? Kalau tak bertindih?
Kalau tak ikut teknik dan nasihat cikgu, tak menjadilah.
Selamat mencuba.
Sumber: Abdul Hamid Ahmad