Kelebihan Guna Kulit Telur Untuk Semai Biji Benih Sayur. Tanaman Makin Subur!

Share

Kalau selama ini kulit telur selalunya kita buang saja, lepas ni simpan sikit untuk semai biji benih untuk bercucuk tanam.

Senang dan jimat, tak perlu beli bekas semaian. Nak ubah ke pasu pun mudah. Cuma pecahkan dan tanam. Penggunaan kulit telur ini juga ada kelebihan untuk tanaman.

Jika nak cuba kaedah ini boleh ikuti langkah yang dikongsi oleh Siti Yahya yang memang mempraktikkan cara semaian begini.

Cara semai biji benih guna kulit telur

1. Mula-mula bersihkan dulu kulit telur yang nak digunakan untuk buang lendir. Boleh jemur atau ;ebih mudah, masukkan dalam microwave dan panaskan selama 2 minit.

2. Seterusnya boleh masukkan tanah campuran dalam kulit telur. Tapi pastikan tanah ini dibasahkan terlebih dahulu sebelum dimasukkan.

3. Letak satu biji benih saja dalam kulit telur.

4. Tempatkan kulit telur berisi biji benih ini di ruang yang teduh, tidak terkena matahari terus. Boleh juga letak atau tumpang di mana-mana pasu berisi tanaman supaya terlindung.

5. Siram sekali sehari saja. Memandangkan kulit telur ini kecil saiznya, boleh celupkan tangan dalam bekas air kemudian titiskan dalam bekas semaian telur tadi.

6. Bila biji benih bercambah dan keluar 4 helai daun bolehlah alihkan ke pasu. Caranya, angkat dan genggam kulit telur supaya pecah sedikit dan terus tanam dalam pasu bersama kulit telur tadi.

Penggunaan kulit telur ini sebenarnya ada kelebihan,  baik untuk tanaman kerana kulit telur itu sendiri ada unsur kalsium untuk suburkan tanaman.

Selamat mencuba.

Sumber: Siti Yahaya

IKLAN