
Supaya pokok sayur, buah atau bunga yang kita tanam hidup subur, berbuah atau berbunga lebat penggunaan baja perlu dilakukan.
Namun kita tak perlu pun mengeluarkan belanja yang lebih untuk membeli baja ini. Ada banyak cara untuk membuat baja untuk tanaman dengan menggunakan apa yang ada di rumah saja.
Selain sisa sayur atau buah, sisa ikan bilis juga boleh ditukar menjadi baja yang sangat baik untuk pokok termasuk pokok bunga.
Sisa ikan bilis ini termasuklah kepala, tulang ikan bilis yang selalu kita asingkan malah serbuk hancur di bawah bungkusan ikan bilis juga boleh digunakan
Bagaimana untuk buat baja dari sisa ikan bilis ini? Caranya sangatlah mudah.
1. Ambil 1 cawan sisa ikan bilis campur dengan 2 liter air.
2. Kisar keduanya hingga hancur dan ia boleh terus digunakan.
3. Boleh terus siram pada pangkal pokok bunga untuk supaya berbunga lebat. Jika tanam pokok cili juga siram untuk melebatkan buahnya.
Selamat mencuba.
Sumber: Ardi Tani
Tak Payah Tunggu Kerja, Bapa Ini Daftar Anak Jadi Ahli KWSP Untuk Simpan Duit. Seawal 14 Tahun Pun Boleh

Selalu bila bekerja barulah kita daftar jadi ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP). Tapi rupanya untuk jadi ahli ini tak perlu tunggu bekerja pun boleh.
Seawal usia 14 tahun dan boleh mendaftar jadi ahli untuk buat simpanan. Lagi awal menyimpan lagi banyak tabungan, selain itu dapat juga dividen dan insentif lain.
Perkara ini dikongsi oleh Mo Ameen yang telah mendaftar dua orang anaknya yang berusia 15 dan 16 tahun menjadi ahli KWSP. Berikut dalam perkongsian beliau.
Seawal 14 tahun pun boleh jadi ahli KWSP rupanya
2 orang anak saya yang sulung dan no.2 (kedua-duanya masih sekolah menengah) telah pun mendaftar sebagai ahli KWSP pada tahun lepas (24 Disember 2021).
Ramai yang tak tahu, seawal umur 14 tahun sebenarnya sudah boleh menjadi ahli KWSP dan tidak perlu tunggu apabila mula bekerja.
Pendaftaran pula boleh dibuat di kios KWSP sahaja, tidak perlu ke kaunter.
Selepas daftar, perkara pertama yang saya suruh anak buat ialah daftar akaun online KWSP (i-Akaun) di kios yang sama.
Kedua, daftar akaun Simpanan Shariah menggunakan i-Akaun.
Ketiga, saya daftarkan caruman i-Saraan.
Alhamdulillah, akaun anak-anak saya telah pun ditukar ke akaun Simpanan Shariah berkuat kuasa 1 Jan. 2022. i-Saraan pula adalah caruman secara sukarela.
Di samping dapat menyimpan pada usia muda dan dapat dividen setiap tahun, kerajaan juga telah memperuntukkan insentif sebanyak 15% (jumlah insentif maksimum RM250 setahun).
Bayaran caruman i-Saraan secara online saya buat melalui Bank Islam. Sebagai ahli KWSP juga akan mendapat manfaat kematian RM2500.
Mungkin ada yang bertanya, kalau sekadar nak menyimpan, boleh sahaja buka akaun bank atau tabung haji.
Berdasarkan pengalaman saya, simpanan anak-anak dalam Tabung Haji, akhirnya ayahnya juga yang guna. Sekian!
INFO: Duit simpanan ini boleh dikeluarkan lebih awal tapi ikut jenis pengeluaran yang dibenarkan seperti pendidikan, kesihatan, beli rumah dari akaun 2.
Semoga bermanfaat
Sumber: Moo Ameen
Cara Buat Puding Laici Yang Sedap, Kalau Tak Nak Berketul Kena Masak Macam Ni

Puding ada banyak jenis antara yang sedap dan disukai ramai adalah puding laici. Makan pulak puding yang dah disejukkan waktu cuaca panas memang nikmat.
Cuma puding ini memang jarang orang jual, kalau nak makan kena buat sendiri. Bagi yang nak cuba boleh ikut perkongsian dari Aida Sarina. Resepi ini dipelajari dari ibunya dan digemari oleh rakan dan ahli keluarga.
Cara buat puding laici sedap dan mulus tak berketul
Bahan A
1 tin susu cair
1 cawan air laici
2 sudu makan tepung kastard
1 sudu kecil esen vanilla
2 biji kuning telur
Bahan B
25g agar-agar tali
10 cawan air
250g gula pasir
1 sudu kecil garam
1 ketul kecil gula batu
3 helai daun pandan – carik dan ikat simpul.

Cara membuat:
- Campur semua bahan A, sebatikan dan ketepikan
2. Didih semua bahan B atas api sehingga semua larut.
3. Bila bahan B sudah larut, kecilkan api, masukkan bahan A ke dalam bahan B, kacau sebati dalam 4-5 minit sahaja. Jangan biar sampai mendidih nanti berketul, kemudian tutup api.
4. Kemudian, boleh tapis dan masukkan dalam bekas pilihan. Sama ada nak buat dalam loyang besar terus atau bekas kecil kecil.
5. Selepas itu boleh carik carikkan laici dan masukkan dalam puding. Kalau nak buat surprise laici tenggelam, boleh terus bubuh laici masa puding masih cair.
Kalau nak biar nampak laici kat atas permukaan sikit, boleh bubuh laici masa dah sedikit mengeras. Bila tak panas sangat, boleh masukkan dalam peti ais. Makan sejuk sejuk baru sedap.
INFO
- Satu adunan ini saya masuk bekas tak penuh dapat 46 bekas. Kalau letak penuh sampai garisan dapat dalam 40 bekas.
- Puding ni boleh adjust nak kurang/lebih sikit air jika suka puding yg lebih pejal/lembut, ikut preference masing-masing.

- Kalau suka manis, boleh lebih kan gula. Ikut sukatan ini tak manis sangat, tak tawar sangat.
- Sesiapa yang nak share, nak buat jualan, nak buat makan makan, silakan. Moga semua pahala sampai kepada mama dan abah saya.
Selamat mencuba
Sumber: Aida Sarina
Begini Caranya Buat Air Asam Yang Sedap, Sampai Ketagih Nak Cicah Hari-Hari

Selain sambal, air asam ini juga antara yang boleh kita buat stok simpan dalam peti ais. Senang kalau nak makan ikan, daging atau ayam bakar. Ceduk saja.
Air asam ini juga ada macam-macam versi tapi kalau nak yang sedap dan boleh buat kita ketagih nak makan hari-hari boleh guna resipi dari Afy AL Habibi ini.
Air asam ketagih, cicah dengan ikan, ayam daging semua ngam
Kenapa saya letak namanya ketagih? Sebab boleh buat kita rasa nak makan hari-hari. Rasanya memang sedap gila. Sebenarnya versi ini saya buat untuk diet. Nak cicah dengan ikan bakar ke, daging atau ayam bakar semua ngam. Ikuti resepi di bawah okay.
Bahan-bahan:
2 biji bawang merah
1 biji bawang besar Holland
1 biji tomato
3 ulas bawang putih
2 inci belacan
Belah dua bahan di atas kecuali belacan. Bakar atas pan non stick.
Bahan tambahan:
1 biji lemon – ambil jusnya, asingkan biji ambil sekali sari buah.
3 tangkai cili padi hijau
3 tangkai cili padi merah
Cara membuat:
- Masukkan semua bahan yang siap dibakar dan bahan tambahan dalam pengisar.
2. Tambahkan sekali 1 1/2 gelas air asam jawa (segenggam besar asam jawa dan 1 1/2 gelas air) atau ikut kepekatan yang diingini.
3. Masukkan juga 1 sudu besar garam bukit dan 1/2 sudu besar gula perang. Kemudian kisar selumatnya.
4. Selepas dikisar, masukkan stok air asam ke dalam bekas kedap udara. Simpan dalam peti.
Cara hidangan untuk kesegaran berpanjangan
- Ambil beberapa sudu besar stok air asam. Masukkan dalam mangkuk.Tambahkan potongan bawang merah, tomato dan cili padi. Sedia dihidangkan.
- Untuk kelainan rasa air asam versi Thai, boleh juga masukkan hirisan daun ketumbar dan bunga kantan.
- Jika ingin tambahkan sekali hirisan lemon, pastikan makan terus. Tak boleh biar lama sebab pahit kulit lemon akan merosakkan rasa air asam.
Selamat mencuba
Sumber: Afy AL Habibi