
Setiap ibu bapa tentu mahu melihat anak mereka berjaya. Ada yang berharap anak mendapat keputusan cemerlang, mempunyai kerjaya stabil atau mencapai sesuatu yang boleh dibanggakan. Namun bagi pempengaruh dan usahawan, Khairul Aming, kejayaan seorang anak tidak seharusnya ditentukan semata mata melalui ukuran yang dicipta oleh ibu bapa.
Sebaliknya, beliau percaya anak anak perlu diberikan ruang untuk mengenali minat sendiri, membuat pilihan dan berkembang dalam persekitaran yang membolehkan potensi mereka benar benar terserlah.
Pandangan itu dikongsikan Khairul Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman, ketika menjawab pertanyaan seorang netizen mengenai doa serta amalan yang dilakukan ibunya sehingga dirinya mampu mencapai kedudukan seperti hari ini.
Bagi Khairul Aming, dia sendiri tidak mengetahui secara khusus apakah doa yang sering dipanjatkan oleh ibunya.
“Saya pun tak tahu mak saya doa apa…”
Namun dia percaya seperti kebanyakan ibu, antara perkara yang sentiasa diharapkan pastinya agar perjalanan hidup anak dipermudahkan.
“Saya pun tak tahu mak saya doa apa tapi saya rasa mak saya doakan supaya urusan anaknya dipermudahkan,” katanya.
Daripada persoalan mengenai doa seorang ibu, perbualan itu kemudian berkembang kepada satu isu yang lebih besar iaitu bagaimana ibu bapa seharusnya melihat perjalanan dan masa depan anak anak.
Menurut Khairul Aming, salah satu perkara yang perlu dielakkan ialah kecenderungan ibu bapa menetapkan satu bentuk kejayaan yang mesti dicapai oleh anak.
Apabila meningkat dewasa kelak, anak itu sendiri yang akan menjalani kehidupannya. Justeru, ruang untuk menentukan minat, hala tuju dan pilihan perlu diberikan sejak awal.
“Kadang-kadang kita nak anak ikut template kejayaan yang kita nak. Tapi kita kena ingat dia one day, dia akan jadi dewasa. Dia akan carry hidup dia,” ujarnya.
Bagi usahawan berusia 33 tahun itu, setiap individu mempunyai kecenderungan dan potensi yang berbeza. Ada anak yang mungkin menyerlah dalam akademik, manakala ada yang lebih sesuai dalam bidang seni, perniagaan, kemahiran teknikal atau perkara lain yang tidak semestinya berada dalam acuan konvensional.
Apa yang penting adalah memastikan mereka berada dalam ruang yang membolehkan bakat tersebut berkembang.
“Kalau kita letak dia dalam environment dia tak minat, dia takkan boleh bloom, dia takkan boleh berjaya.
“Kalau kita letak anak kita dalam environment yang dia suka, yang dia passion, dia minat, dia akan mekar setinggi yang boleh. Itu je,” katanya.
Pandangan tersebut bukan semata mata datang daripada pemerhatiannya terhadap orang lain.
Khairul Aming sendiri membesar dengan pendekatan seorang ibu yang memberikan ruang kepadanya untuk menentukan apa yang sesuai dengan dirinya.
Bukannya mengatur setiap keputusan atau menetapkan satu jalan yang perlu diikuti, ibunya memberikan kebebasan untuk dia mencuba, membuat pilihan dan belajar daripada pengalaman sendiri.
Daripada situlah dia melihat bagaimana sokongan ibu bapa boleh memainkan peranan besar dalam membentuk keyakinan seorang anak.
“Sebab kadang-kadang kita nak anak-anak ni follow template kita, kena jadi itu, kena jadi ini. Barulah mak bangga. Try to avoid that lah.
“Biar kita bangga anak kita jadi manusia berguna. Jangan kita bangga berdasarkan kejayaan dia on paper sahaja,” katanya.
@khairulamingfans_ Replying to @nursyalee ♬ original sound – Khay.
Dalam masyarakat yang sering mengaitkan kejayaan dengan keputusan peperiksaan, universiti atau jenis pekerjaan, Khairul Aming berpandangan ukuran seperti itu tidak seharusnya menjadi satu satunya kayu pengukur seseorang.
Seseorang mungkin mempunyai rekod akademik yang hebat, tetapi pencapaian tersebut belum tentu menggambarkan nilai peribadi atau bagaimana dia membawa diri dalam kehidupan.
Dalam masa sama, individu yang mungkin tidak menyerlah dalam akademik tidak semestinya gagal dalam kehidupan.
“Ramai orang yang cemerlang on paper tapi perangai tak guna.
“Ramai juga yang on paper tak perform tapi dia yang jaga kita sampai ke hujung,” katanya.
Pandangan itu menyentuh perkara yang kadang kala terlupa apabila kejayaan terlalu banyak dinilai melalui angka, gred dan gelaran.
Akhirnya, nilai seseorang juga terbentuk melalui sikap, tanggungjawab, empati dan bagaimana dia memperlakukan orang lain.
Sebagai pempengaruh yang mempunyai jutaan pengikut, Khairul Aming turut terdedah kepada pelbagai kisah kehidupan daripada masyarakat.
Pengalaman tersebut membuatkan dia sedar bahawa perjalanan manusia terlalu berbeza untuk dinilai menggunakan satu ukuran yang sama.
“Saya dah terdedah dengan jutaan kisah orang. So banyak benda saya belajar. There’s a lot for me to learn,” katanya.
Setiap cerita, sama ada tentang kejayaan, kegagalan, keluarga atau cabaran hidup, memberikan perspektif baharu tentang bagaimana manusia melalui perjalanan masing masing.
Dan mungkin kerana itulah definisi kejayaan Khairul Aming tidak berhenti pada apa yang boleh ditulis pada sijil atau resume.
Bagi beliau, perkara lebih penting ialah seorang anak dapat membesar sebagai manusia yang berguna, mempunyai nilai baik dan mampu menjalani kehidupan berdasarkan jalan yang benar benar sesuai dengan dirinya.
Kerana pada akhirnya, anak bukan projek untuk memenuhi cita cita ibu bapa. Mereka adalah individu yang suatu hari nanti perlu berdiri, membuat keputusan dan membawa kehidupan mereka sendiri.
