
Penduduk sekitar Kampung Takung, Pos Perwor, Sungai Siput (U), Perak diminta meningkatkan kewaspadaan susulan kejadian seorang lelaki Orang Asli berusia 43 tahun yang maut dipercayai diserang harimau belang.
Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) menasihatkan penduduk supaya mengelakkan kawasan hutan atau lokasi yang menunjukkan tanda kehadiran harimau, sementara siasatan dan pemantauan masih dilakukan.
“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak menghampiri lokasi sekiranya menemui tanda kehadiran harimau belang, termasuk kesan tapak kaki, bunyi ngauman atau bangkai haiwan yang disyaki menjadi mangsa.
“Sebarang penampakan atau tanda kehadiran harimau belang boleh dilaporkan kepada PERHILITAN menerusi talian 1-800-88-5151 atau Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA) di laman sesawang rasmi jabatan,” menurut kenyataan itu.
Mangsa Ditemui Berhampiran Jalan Balak
PERHILITAN Perak menerima aduan berhubung kejadian tersebut sekitar jam 4.30 petang sebelum anggota digerakkan ke lokasi bagi menjalankan pencarian, mendapatkan maklumat awal serta memeriksa kawasan kejadian.
Berdasarkan pemerhatian awal, mangsa ditemukan di kawasan berhampiran jalan balak.
“Pemerhatian awal turut mendapati terdapat kesan pergelutan di lokasi yang dipercayai berkaitan dengan kejadian, dengan jarak antara lokasi kesan pergelutan dan lokasi penemuan mangsa dianggarkan kira-kira 200 meter,” kata PERHILITAN.

Operasi berkenaan turut melibatkan kerjasama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk setempat.
Bagaimanapun, jabatan itu menegaskan siasatan masih berjalan dan punca sebenar kejadian belum diputuskan. Sebarang kesimpulan lanjut akan dibuat berdasarkan bukti serta hasil siasatan di lapangan.
Perangkap Dipasang, Kawasan Dipantau
Susulan kejadian, pasukan PERHILITAN menjalankan pemantauan dan pemeriksaan lebih menyeluruh di sekitar kawasan berkenaan.
“Pasukan PERHILITAN turut melaksanakan pemantauan dan pemeriksaan di kawasan kejadian, termasuk mengenal pasti tanda kehadiran harimau belang, mendapatkan maklumat daripada penduduk setempat serta memasang perangkap di kawasan yang dikenal pasti sesuai.
“Tindakan pengurusan selanjutnya akan dilaksanakan berdasarkan hasil siasatan dan penilaian risiko terhadap keselamatan penduduk,” katanya.
Orang ramai turut diingatkan supaya tidak menghampiri, mengejar, menangkap atau mengambil tindakan sendiri sekiranya terserempak dengan harimau belang.
PERHILITAN berkata pihaknya memandang serius kejadian yang melibatkan keselamatan dan nyawa penduduk, selain akan terus bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli, PDRM, kerajaan negeri serta komuniti setempat dalam menguruskan konflik manusia dan hidupan liar.
“PERHILITAN merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan memaklumkan pihaknya akan terus mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan hasil siasatan serta penilaian risiko bagi mengurangkan konflik manusia-hidupan liar,” katanya.
Sumber:Astro Awani, Sinar Harian

sekarang!
