Nak Tanam Semula Sayur Dalam Pasu, Rawat Dulu Tanah Lama Supaya Kembali Subur. Ini Langkahnya

Share

Tanam sayur di rumah dalam pasu saja dan dah pun beberapa kali tuai hasil. Hajatnya nak tanam sayur lain pula, tapi sebelum itu seeloknya dirawat dulu tanah lama dalam pasu sebelum digunakan semula.

Ia penting supaya tanah kembali bernutrisi dan mampu menyuburkan tanaman. Langkah untuk merawat tanah ini ada dikongsi oleh usahawan tani Faiz Kebun AB Goncang.

7 langkah rawat tanah lama untuk digunakan semula

1. Keluarkan tanah lama daripada pasu. Buangkan akar, dahan dan reranting lama yang bersaiz besar daripada tanah.

2. Jemur seharian tanah lama di bawah pancaran cahaya matahari yang terik untuk mematikan segala serangga perosak, ulat, semut dan telur serangga.

3. Kemudian, rawat tanah lama yang telah dijemur tadi dengan menabur satu sudu besar dolomite untuk menstabilkan pH tanah supaya tidak berasid. Tanah yang stabil mempunyai pH dalam lingkungan 5.5-6.5 supaya penyerapan nutrien lebih berkesan.

4. Setelah itu, campurkan 1 bahagian kompos pada tanah lama bagi menambah kandungan nutrien dan mikrob baik pada tanah.

5. Gaul sebati campuran dolomite dan kompos tadi.

6. Setelah sebati dan rata, masukkan semula tanah yang telah dirawat tadi di dalam pasu yang telah kita cuci bersih.

7. Siram tanah tersebut dengan air, dan seeloknya biarkan selama seminggu sebelum diguna semula untuk menanam pokok. Jika ada, boleh juga sembur EM (Effective microbe) untuk menambah kandungan mikrob pada tanah.

📌NOTA

  • Jika tiada dolomite untuk stabilkan pH tanah, boleh guna epsom salt (tabur dalam 2 sudu besar)
  • Jika tiada kompos untuk tambah kandungan nutrien pada tanah, boleh guna baja tahi ayam (tabur dalam segenggam) atau boleh campurkan tanah lama dengan tanah baru seperti tanah campuran 6 in 1 (gunakan sebanyak 1 bahagian).

Semoga bermanfaat.

Sumber: Faiz Kebun AB Goncang

 

IKLAN