Ads

Sultan Selangor Tidak Perkenan Solat Jumaat Di Surau Pusat Beli-Belah

Sultan Selangor tidak memberi perkenan untuk mana-mana surau atau musolla di pusat beli-belah di negeri itu diberi kebenaran mendirikan solat Jumaat buat masa ini.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) susulan cadangan mewujudkan surau solat Jumaat di pusat beli-belah di seluruh negara seperti yang dinyatakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr. Zulkifli Hasan.

Menurut MAIS, urusan berkaitan masjid, surau dan musolla berada di bawah bidang kuasa kerajaan negeri sebagaimana diperuntukkan dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan.

Sultan Selangor Tidak Perkenan Solat Jumaat Di Surau Pusat Beli-Belah

Di Selangor, Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam mempunyai kuasa prerogatif untuk membuat ketetapan berhubung pentadbiran agama Islam termasuk memberikan kebenaran mendirikan solat Jumaat di surau atau musolla.

Selain itu, penubuhan masjid dan surau serta penggunaan mana-mana bangunan sebagai masjid atau surau turut tertakluk kepada kebenaran bertulis MAIS di bawah Seksyen 97 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003.

Sultan Selangor Pertimbang Lima Faktor Sebelum Membuat Ketetapan

MAIS menjelaskan keputusan tersebut dibuat selepas mengambil kira lima faktor utama yang melibatkan fungsi masjid, kemudahan sedia ada, kesucian solat Jumaat, aspek tadbir urus serta pemantauan khutbah.

1. Mengimarahkan Masjid Sedia Ada

Menurut MAIS, sekiranya surau atau musolla di pusat beli-belah dibenarkan mendirikan solat Jumaat, keadaan itu dikhuatiri akan menjejaskan usaha memakmurkan masjid sebagai pusat ibadah utama umat Islam.

Ads

Selain itu, jumlah jemaah di masjid dan surau yang telah mendapat kebenaran mendirikan solat Jumaat juga berkemungkinan berkurangan kerana orang ramai mempunyai pilihan untuk menunaikan ibadah tersebut di pusat beli-belah.

2. Kemudahan Solat Jumaat Di Selangor Sudah Mencukupi

Pada masa ini terdapat sebanyak 448 buah masjid dan 379 buah surau yang telah diberikan kebenaran mendirikan solat Jumaat di seluruh Selangor.

Menurut MAIS, jumlah itu menunjukkan kemudahan sedia ada mencukupi untuk menampung keperluan umat Islam di negeri berkenaan.

Malah, kebanyakan pusat beli-belah juga mempunyai masjid atau surau solat Jumaat berhampiran yang memudahkan orang ramai menunaikan ibadah tersebut.

3. Menjaga Kesucian Dan Syiar Solat Jumaat

MAIS berpandangan bahawa solat Jumaat merupakan ibadah yang mempunyai kedudukan istimewa dalam Islam dan lebih sesuai didirikan di masjid atau surau yang dibina khusus sebagai tempat beribadah.

Ads

Ini berbeza dengan surau atau musolla di pusat beli-belah yang lazimnya terletak di kawasan perniagaan, hiburan dan rekreasi yang dikunjungi masyarakat pelbagai kaum dan agama.

Bagi pekerja Muslim pula, tempoh waktu rehat yang diperuntukkan dianggap mencukupi untuk mereka bergerak ke masjid atau surau solat Jumaat yang berhampiran.

4. Aspek Tadbir Urus Perlu Dipenuhi

MAIS turut menegaskan bahawa sebarang surau yang dibenarkan mendirikan solat Jumaat perlu memenuhi syarat tadbir urus yang ditetapkan.

Antaranya termasuk pelantikan imam, bilal serta petugas lain bagi memastikan pengurusan surau berjalan mengikut dasar dan peraturan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa agama.

5. Memastikan Pemantauan Dan Keseragaman Khutbah

Menurut MAIS, jika petugas surau solat Jumaat di pusat beli-belah tidak dilantik secara rasmi, ia boleh menyukarkan aspek pemantauan dan kawalan pengurusan.

Ads

Keadaan itu juga boleh menjejaskan usaha memastikan setiap khutbah Jumaat yang disampaikan mematuhi teks rasmi dan garis panduan yang disediakan oleh MAIS.

Satu Surau Di Pusat Beli-Belah Diberi Kebenaran Sementara

Dalam masa sama, MAIS memaklumkan terdapat sebuah surau atau musolla di pusat beli-belah di Selangor yang telah diberikan kebenaran mendirikan solat Jumaat.

Bagaimanapun, kebenaran tersebut hanyalah bersifat sementara kerana ketika ini tiada masjid yang berhampiran dengan premis berkenaan.

Menurut MAIS, kelulusan itu boleh ditarik balik sekiranya sebuah masjid dibina berhampiran lokasi tersebut dan mampu menampung kapasiti penduduk Islam setempat.

MAIS Seru Umat Islam Terus Mengimarahkan Masjid

MAIS menjelaskan bahawa ketetapan Sultan Selangor adalah selaras dengan usaha memelihara syiar Islam serta memperkukuhkan fungsi masjid sebagai pusat ibadah, penyebaran ilmu dan aktiviti dakwah.

Justeru, umat Islam di Selangor diseru supaya terus mengimarahkan masjid dan surau yang telah diberi kebenaran agar institusi tersebut kekal menjadi pusat perpaduan, pembangunan ilmu dan pengukuhan ukhuwah dalam masyarakat.

Sumber: Facebook Majlis Agama Islam Selangor

Dapatkan tip memancing, perkongsian dan info menarik. Free jer!
Dengan ini saya bersetuju dengan Terma Penggunaan dan Polisi Privasi

Life-hacks petik jari je! Jom baca VANILLA KISMIS seeNI Download sekarang!

KLIK DI SEENI
Ads

Tips Lain

Aktif Bersukan Tapi Tiba-Tiba Rebah, Pakar Dedah Bahaya Aritmia Dalam Kalangan...

Aritmia jantung dalam kalangan orang muda boleh berlaku tanpa simptom dan meningkatkan risiko henti jantung mengejut. Ketahui punca, tanda awal, pemeriksaan serta rawatan yang tersedia.