Kewangan

Suka Suka Tanam Cendawan Di Dapur, Tak Sangka Boleh Jana Sampai RM3 Ribu Sebulan

Share

Suka Suka Tanam Cendawan Di Dapur, Tak Sangka Boleh Jana Sampai RM3 Ribu Sebulan

Kadang-kadang rezeki datang daripada idea spontan, seperti satu soalan ringkas daripada pasangan yang betul-betul minat makan cendawan.

Siapa sangka, minat makan bertukar jadi peluang jana duit poket, dan dapur rumah berubah jadi ‘ladang mini’ yang hasilnya dituai setiap hari. Tak perlu tanah luas, tak perlu baja mahal. Hanya perlukan ruang kecil, spray air, dan sikit kesungguhan.

Ini sebenarnya kisah Khairul Johari yang menanam cendawan tiram hanya untuk suka-suka, tapi akhirnya menjana pendapatan hampir RM3,000 sebulan, dengan modal serendah RM1.40 satu bongkah!

Paling best, aktiviti ni bukan hanya menyeronokkan, tapi juga jadi projek keluarga yang buat anak-anak dan isteri tersenyum puas. Boleh baca perkongsian beliau.

Awalnya suka suka tanam cendawan di dapur akhir jadi serius

“Tiga bulan lepas, waktu tengah pilih ayam kat pasar, wife tiba-tiba tanya,
“Awak, agaknya susah ke tanam cendawan tiram? Kenapa mahal sangat ya, 200 gram dah RM5, beli sekilo dah RM25.”

Persoalan inilah yang mencetuskan idea untuk Khairul menanam sendiri cendawan, apatah lagi anak-anak pun semua menyukai hidangan ini.

Setelah membuat carian ternyata caranya cukup mudah hingga dia berazam untuk mencubanya.

“Rupanya senang yak amat. Tak payah tanah, tak payah cahaya matahari, tak perlu baja kimia pun. Hanya beli bongkah siap, spray air hari-hari. 3–7 hari lepas tu, cendawan keluar sendiri!”

Selepas tahu semua info penanaman, beliau teus memesan secara online 200 bongkah cendawan tiram. Satu bongkah berharga RM1.40.

“Sampai saja barang, terus susun penuh atas meja dapur. Tiap-tiap hari spray air.
Sekali sehari. Macam siram kasih sayang.

“Masuk hari ke-5, muncul kepala-kepala putih gebu. Cendawan tiram yang keluar macam bunga ros liar. Meriah dan cantik. Bila ambil dan masak masyaAllah… rasanya lembut, manis, segar.

“Bukan macam yang dah berhari dalam plastik kat pasar tu. Esoknya keluar lagi, masak cendawan celup tepung pula. Sedap, rasa macam makan kat food court yang RM12 satu bekas tu. Bezanya, kat rumah boleh ulang sampai kenyang,” cerita beliau.

Tapi bila setiap hari makan cendawan dah tentu terasa jemu. Bayangkan satu hari keluar 5–10kg. Memang tak larat nak masak semua. Hinggalah isteri beri cadangan menjualnya kepada jiran.

“Wahai orang taman, saya ada jual cendawan tiram. Sekilo RM10 sahaja. Fresh. Datang petik sendiri dari dapur rumah saya!”

Ayat ini membuatkan ramai yang tertarik untuk membeli, termasuklah beli bongkah sekali. Memandangkan dapat sambutan dari 200 bongkah, beliau membeli lagi 100 bongkah hingga dapur rumah jadi seperti ladang.

Bongkah cendawan macam mesin ATM

“Tiap-tiap pagi, aku akan berjalan antara bongkah, tengok mana yang keluar hasil.
Spray. Cabut. Timbang. Jual. Bongkah tu dah macam mesin ATM. Hari-hari keluar duit. Aku gelak dalam hati

“Tak payah buka Shopee, tak payah pos. Dalam rumah pun boleh jadi kilang.”
Dan duit tu semua, aku tak simpan pun. Aku bagi wife, bagi anak-anak.”

Namun katanya selepas tiga bulan dia terpaksa berhenti. Bukan sebab rugi tapi kerana risau keadaan dapur yang penuh dengan habuk putih.

Bila buat secara besar-besaran lokasi penanaman tak sesuai di rumah, jadi aku stop kejap. Tapi dalam hati, aku tanam impian. Kalau satu hari nanti aku ada tanah sendiri, aku nak buka ladang cendawan tiram betul-betul.

Isteri Khairul Johari bersama cendawan yang ditanam sendiri

“Yang boleh masuk orang lawat.Yang boleh buat tuai harian. Sebab tanam cendawan tiram ni, serius paling senang dalam dunia. Tak payah ilmu tinggi. Tak perlu modal besar.
paling cikai modal kita RM1.40 sahaja, mana nak dapat biz modal permulaan RM1.40? Cara penjagaan juga mudah.

“Dan harga cendawan kat pasaran bukan main murah. RM18–RM30 sekilo. Tapi modal bongkah baru RM1.40. Paling bestnya lagi, cendawan ni tak perlukan matahari langsung. Letak dalam bilik air pun hidup. Letak bawah sinki pun boleh. Tepi dapur pun boleh. Tak makan ruang, tapi bagi pulangan,”tulisnya.

Berdasarkan pengalaman selama empat bulan, dari segi pendapatan sebulan boleh menjana dalam RM2,000-RM3,000 jika dijual terus.

“Bagi yang nak cuba boleh start kecil-kecilan dulu dengan 5-6 bongkah, kalau dah yakin boleh mulakan dengan 200-300 bongkah beli pada pembekal terus yang mana harga lebih murah,”ujar Khairul lagi.

Semoga bermanfaat

Sumber: Khairul Johari

Baca Lagi: Tanam Cendawan Tiram Paling Mudah, Cari Tempat Redup Letak Situ. Tak Nak Tanam Boleh ‘Off’ Kan Saja

Published by
VK