
Ada banyak hidangan yang menggunakan cekur atau kencur. Dari masak lemak, kerabu, tumis malah daun cekur ini juga enak bila dijadikan ulam. Bukan saja sedap tapi punya khasiat kesihatan tersendiri.
Ia juga tanaman yang sangat mudah untuk ditanam dan membiak. Cekur ini boleh saja di tanam dalam pasu atau atas batas. Memang berbaloi tanam kerana bukan saja daun, ubinya pun boleh dimakan.
Jika nak cuba tanam panduan berikut boleh digunakan.
– Untuk penanaman cekur boleh gunakan benih atau ubinya dari pokok cekur yang sedia ada. Atau boleh beli ubi atau rhizom dari pasar tani atau pasar biasa. Pastikan benih masih elok dan belum kering serta mempunyai tunas yang baik.
– Sediakan pasu atau dalam bekas khas isikan dengan tanah campuran (3:2:1 – Tanah, pasir dan baja organan). Pastikan pasu mempunyai lubang air keluar.
– Masukkan benih 2-3 cm dalam tanah dan buat penyiraman. Tunas baru akan keluar daripada ubi yang ditanam ini. Jika tanam dari pokok cekur sedia ada, boleh tanam sekali dengan pokoknya.
– Bagi pembajaan pokok cekur boleh gunakan baja organik (tahi ayam proses) sama ada tanaman di dalam pasu atau pun dalam kebun.
– Daun cekur boleh dikutip seawal 3-4 bulan lepas tanam, bagaimana pun umbisi cekur akan matang selepas 10-12 bulan.
Sumber : Anim Hosnandan Facebook Berkebun D Rumah
Kalau Nak Tanam Pokok Peria Di Rumah, Guna Cara Mudah Ini. 2 Bulan Dah Boleh Petik

Sayur peria ini walau ada yang kata pahit tapi tetap ramai peminatnya. Rasa pahit ini kalau hilang kalau betul cara basuh dan masak.
Peria ini juga antara sayuran yang boleh kita tanam di rumah. Nak cuba tanam? Boleh ikut panduan yang dikongsi oleh Siti Rokiah Che Hat.
Cara tanam peria yang betul dan mudah
Penyediaan dan pemilihan benih
Terdapat dua cara yang boleh digunakan untuk menanam peria.
1. Menanam peria terus pada tanah.
2. Semai biji peria dalam polibeg terlebih dahulu. Apabila telah besar sedikit, baru tanam di dalam tanah kebun.
Penggunaan kedua-dua cara ini bergantung pada musim penanaman.Sekiranya penanaman dilakukan pada musim hujan, lebih baik jika penanaman dilakukan dengan menggunakan kaedah pertama iaitu biji benih ditanam terus pada tanah, kerana daya pertumbuhan benih dalam keadaan ini adalah baik.
Sementara itu, jika penanaman dilakukan pada musim kemarau, penanaman harus dilakukan dengan menggunakan kaedah kedua iaitu biji benih perlu disemai terlebih dahulu, kerana akan menjamin pertumbuhan benih yang bagus di dalam polibeg. Biji peria mesti berasal dari tanaman yang sihat, kuat dan mempunyai produktiviti yang tinggi.
Penyediaan tanah
Tanah untuk penyemaian adalah campuran tanah dan kompos dengan nisbah 1: 1 atau kompos yang dicampur dengan tanah dan pasir dalam nisbah 1: 1: 1. Benih disemai dengan jarak 2 cm x 2 cm. Setelah berumur lebih kurang 10 hari, benih dipindahkan ke polibeg kecil.
Cara tanam peria
Anak benih siap dipindah dari polibeg kecil ke dalam pasu / polibeg besar setelah berumur lebih kurang 3 minggu iaitu setelah mempunyai 3-4 daun. Perkara ini dibuat agar peria yang dipindahkan tumbuh dengan baik dan sistem akar anak benih tidak boleh terganggu.
Sebelum dipindahkan ke pasu / polibeg besar, pasu / polibeg harus diisi dengan campuran tanah dan baja dan tambahkan baja phosphor dan kalium secukupnya.
Selanjutnya, bahagian bawah periuk / polibeg diberikan lapisan serpihan bata merah. Anak benih dikeluarkan dari polibeg kecil bersama tanahnya lalu pokok ditanam dan dipadatkan.
Pada awal penanaman, peria mesti terkena sinar matahari pagi tetapi perlu mengelakkan panas terik pada waktu siang. Oleh itu, penanaman peria dalam polibeg lebih digalakkan daripada di tanah. Selain mengelakkan panas terik matahari, nutrien dalam beg poli juga lebih terkawal, dan pembersihan rumpai lebih mudah.
Pembajaan
Baja asas dilakukan dengan mencampur 2-3 kg baja dengan tanah 1 minggu sebelum penanaman. Ketika penanaman dilakukan, 20 gram baja NPK perlu ditambah. Pembajaan tambahan pertama diberikan semasa tanaman berumur 3 minggu dengan dos 10 gram baja NPK. Sementara itu, pembajaan seterusnya dilakukan pada selang waktu 2 minggu sehingga tanaman berumur 4 bulan dengan dos sama.
Penyelenggaraan
Pembersihan rumpai dilakukan seminggu sekali bersama dengan penimbunan agar sistem akar menjadi sihat. Peria tidak tahan kekeringan, jadi pada musim kering penyiraman harus dilakukan setiap hari.
Peria memerlukan sokongan, atau tiang supaya ia boleh menjalar. In i akan meningkatkan pengeluaran buah, mengurangkan kebarangkalian buah busuk, memudahkan kawalan dari perosak dan memudahkan penuaian.
Sokongan diberikan ketika berumur 3 minggu. Sokongan boleh dibuat berupa tiang, dan terowong atau pembinaan gerbang setinggi 1.5-2 m. Pemangkasan mesti dilakukan untuk menghilangkan dahan sampingan yang tidak produktif dan ia dilakukan semasa umur 3 dan 6 minggu.
Pengurusan perosak
Perosak yang paling biasa adalah lalat buah, Epilachna sp., Aphids, tryps, tungau dan siput. Pengawalan lalat buah dilakukan dengan membungkus buah menggunakan kertas ketika buahnya masih kecil (panjang 2-3 cm).
Penyakit yang biasa berlaku ialah cendawan tepung, layu bakteria, layu fusarium, serkospora, dan virus (CMV). Pengawalan dilakukan dengan membersihkan dan menggunakan racun kulat secara selektif.
Tuaian
Penuaian buah boleh dilakukan apabila buah tidak tua sangat dan nodul masih rapat. Ia boleh dibuat dengan cara memotong tangkai buah dengan pisau tajam.
Berbeza apabila penuaian untuk diambil biji/benih, tuai buah yang masak, iaitu ketika warna kulit buah kuning atau merah. Peria boleh dituai pada usia kira-kira 55 hari selepas penanaman dan boleh dilakukan berkali-kali.
Pengeluaran buah boleh mencapai 10-12 buah per tanaman atau 10-15 ton / ha. Buah yang rosak dan berpenyakit perlu dipisahkan daripada tanaman agar ia dapat menjaga kualiti tanaman.
Buah peria tidak tahan lama, oleh itu lebih baik dimasak atau dijual segera selepas tuai. Penyimpanan pada suhu 12-130C dan kelembapan 85-90% dapat mengekalkan kualiti buah selama 2-3 minggu.
Semoga bermanfaat
Sumber: Siti Rokiah Che Hat.
Cara Mudah Check Tayar Kereta Masih Elok Atau Kena Tukar, Guna Duit Syiling 10 Saja

Kalau setiap hari memandu kereta, ilmu tentang penjagaan kenderaan ini haruslah kita tahu. Salah satunya adalah berkenaan dengan tayar kereta. Antara perkara penting yang perlu diperhatikan jalur atau bunga pada tayar ini. Bila dah semakin kurang maka tayar hendaklah ditukar demi keselamatan.
Sebabnya apabila kedalaman bunga pada tayar kurang, maka ia juga secara tidak langsung akan menyebabkan fungsi tayar berkurangan. Ini bermakna, keupayaan ia untuk menyingkirkan air dan cengkaman berkurangan dan jarak membrek juga akan meningkat.
Dikongsi oleh seorang mekanik berpengalaman Mohd Khairulrizal Ramli atau dikenali sebagai Abang Comot melalui akaun TikTok, beliau menurunkan cara paling mudah untuk menentukan keadaan tayar kereta masih elok dan boleh digunakan atau sudah perlu ditukar.
Katanya apa yang diperlukan adalah menggunakan sekeping syiling 10 sen. Caranya;
1. Lihat tayar dan cari lambang segi tiga.
2. Letak duit syiling dalam jalur di tengah tayar secara menegak.
3. Perhatikan jika tulisan ‘Malaysia’ tenggelam atau tidak. Jika perkataan “Malaysia’ tidak nampak atau tenggelam bermakna tayar kereta masih dalam keadaan baik.
Namun jika perkataan ‘Malaysia’ sudah dapat dilihat maka sebaiknya tayar kereta ditukar kerana kedalaman jalur sudah berkurang atau dalam bahasa mudah tayar sudah botak.
Semoga bermanfaat
Sumber: Mohd Khairulrizal Ramli @ Abang Comot
Tip Tentukan Bancuhan Roti Jala Cukup Likat & Menjadi Cantik. Waktu Blend Lihat Lubang Pusaran

Roti jala antara hidangan pagi dan petang kegemaran ramai. Sekarang dah ada pula roti jala jelita dengan pelbagai warna.
Tapi sebelum buat yang itu kena tahu asas buat roti jala yang cantik iaitu cara bancuhan atau adunan tepungnya.
Bagi yang dah biasa buat mungkin sudah tahu sukatan atau bancuhan tepung yang sesuai, tapi buat yang baru mencuba atau amatur, boleh ikut tip mudah yang dikongsi oleh Huda Ayob ini.
Katanya untuk pastikan adunan roti jala dah cukup likat untuk ‘dijalakan’ dan hasilnya menjadi, boleh lihat lubang lusaran waktu kisar atau blend bancuhan.
Tip pastikan bancuhan roti cukup likat, tengok lubang pusaran
Saya cuba share ilmu mudah buat roti jala. Bagi pembuat roti jala amatur macma saya, setiap kali nak tau adunan tepung dah cukup likat untuk dijalakan cuma tengok “lubang pusaran”.
Pastikan lubang pusaran sebesar jari kelingking
Kalau besar lubang pusaran, tambah tepung sedikit sampai lubang sebesar “jari kelingking”.

Lubang pusaran sebesar jari kelingking ini tanda bancuhan dah sempurna dan likat untuk dijalakan.
Jika lubang pusaran kecil dari jari kelingking, tambah air sikit. Insya-Allah hasil menjala elok menjadi.
Cara buat roti jala
Disertakan juga resipi yang digunakan untuk 25 biji roti jala
Bahan-bahan
1 biji telur
2-3 sudu besar santan/susu segar
2 cawan tepung gandum
1 cubit pewarna kuning/kunyit
1 sudu besar gula
1 sudu kecil garam
Air secukupnya
Cara membuat
1. Masukkan semua bahan dalam blender.
2. Kemudian masukkan air sampai tenggelam tepung (dalam 2 cawan air/ikut cawan sukatan tepung)
3. Kacau untuk sebatikan guna sudip panjang.
4. Kemudian boleh kisar. Waktu inilah kena perhatikan lubang pusaran.
5. Dah dapat bancuhan yang sesuai masukkan dalam botol 5 corong untuk dapatkan hasil jala yang halus.
Tip ini juga boleh digunakan sewaktu membuat bancuhan kuih ketayap. Cuma lubang pusaran perlu besar (tambah air) supaya senang untuk ratakan dalam pan.
Selamat mencuba.
Sumber: Huda Ayob